Oleh : Ustazah Hajjah Kaslawati Kassim
Sesungguhnya dari Allah kita datang kepada Allah jua kita kembali.
Saya diizinkan Allah menziarahi lagi rakan di Kelas Pengajian Al-Quran dan Tajwid saya di Kg Mambau. Beliau diuji Allah dengan ujian kehilangan anak sulungnya di keheningan pagi sebelum masuk waktu Subuh.
Hari yang tragis ini saya bertemu ibu-ibu hebat, rakan-rakan kelas al-quran saya yang sudah lebih lima bulan tidak bertemu muka. Mereka semua sabar menunggu jenazah, masing-masing dengan mata yang merah dek kerana merasai peritnya satu kehilangan seorang permata berharga dan dek kerana kuatnya ikatan hati antara mereka.
Perginya puteri sulung beliau pergi bertemu PenciptaNya dalam keadaan yang tragis tetapi sangat indah dan pastinya dicemburui oleh kita yang masih bernyawa.
Arwah dilanggar oleh sebuah kereta ketika berjalan kaki untuk menunaikan solat Subuh berjamaah betul-betul di hadapan Surau Al-Muqarrabin, Kg Mambau. Saya masih terlihat merahnya darah di tembok surau dan kesan-kesan kemalangan ngeri yang meragut nyawa.
Kereta yang dipandu oleh suspek berbangsa India dikatakan menyebabkan mangsa terseret jauh beberapa meter dan pada masa yang sama suspek juga melanggar sebuah motor yang dinaiki oleh sepasang suami isteri berbangsa India. Pasangan ini turut terkorban pada hari kejadian.
Arwah dan ibunya adalah antara wanita yang banyak memberi khidmat di Surau Al-Muqarrabin Kg Mambau. Khabarnya malam sebelum kejadian arwah sempat mengemas surau seperti kebiasaannya.
Arwah dan ibunya antara jemaah wanita yang sering solat berjamaah di Surau Al-Muqarrabin, surau tempat saya bertemu ibu-ibu hebat dalam kelas al quran dan tajwid setiap pagi Khamis. Jarak yang dekat antara surau dan rumahnya memanggil mereka untuk sering berjalan kaki ke surau.
Ibunya cukup tabah, sempat dia berbicara dengan saya selepas saya memeluknya erat.
“Mak pergilah dulu, nanti Along menyusul kemudian.” Ini antara bicara terakhir kedua beranak ini.
Selepas menunaikan solat sunat, sebelum azan subuh lagi ibunya terdengar bunyi dentuman yang cukup kuat di luar surau.
Ibunya berada di surau sehingga beliau selesai solat Subuh berjamaah, namun sangat gusar kerana Along tidak ada di surau. Dikhabarkan beliau berlari ke rumahnya untuk mencari Along.
Kemudian, barulah beliau mengetahui bunyi dentuman yang kuat tadi dentuman tadi adalah dentuman kereta yang meragut nyawa anaknya.
Along pergi meninggalkan tiga orang puteri dan seorang putera yang masih bersekolah.
Saya betul-betul terkesan dengan kejadian ini.
Terkesan dengan peribadi arwah Along dan ibunya yang dekat dihati saya. Terkesan dengan keindahan ukhuwwahfillah rakan-rakan dalam usrah saya.
Terkesan dan kesal dengan kejadian kemalangan oleh pemandu mabuk yang membunuh insan yang tidak berdosa semakin kerap berlaku di negara kita. Andai ini juga salah satu daripadanya, ia cukup meresahkan kita.
Justeru, saya seru kepada pihak berkuasa ambillah tindakan sewajarnya. Haramkanlah arak yang telah membunuh sekian banyak nyawa manusia yang tidak berdosa.
Moga Allah kurniakan rahmat dan keampuanan buat allahyarham Along, Puan Noraniza Binti Hj Amin dan tempatkan rohnya di tempat yang paling mulia. Juga diberikan kesabaran yang tinggi buat keluarga Tuan Haji Amin dan Hajjah Normah seisi keluarga atas kehilangan ini.
Innalillahi wa inna ilaihiroji’un.