Antara kunci kefahaman dalam kehidupan

Antara kunci kefahaman dalam kehidupan.

Fahamilah Al-Quran dalam kerangka Al-Fatihah, kerana Al-Fatihah adalah kesimpulan Al-Quran.

Fahamilah kewujudan dalam kerangka Al-Quran, kerana Al-Quran adalah kesimpulan kewujudan.

Jadi, fahamilah kewujudan dalam kerangka Al-Fatihah.

Agar hidup kita sentiasa dibayangi kerangka Al-Quran, dan sentiasa dinaungi hakikat ‘Solat’.

Suatu hari Abu Musa Al-Asy’ari RA mengetuk pintu Saidina Umar Al-Khattab RA selepas waktu Isyak. Perihal para sahabat RA persis dengan saranan hadis iaitu tiada ‘perbualan’ dan ‘perkara-perkara biasa / harus’ selepas Isyak kerana waktu itu adalah waktu tidur (agar boleh bangun pada waktu sepertiga malam).

Saidina Umar RA berkata : Apa yang menjadikan kau datang pada waktu malam ini ?

Abu Musa Al-Asy’ari RA menjawab : Ini adalah urusan ‘fiqh’.

Lalu Umar RA pun membuka pintu dan mereka berbincang hingga nak masuk waktu Subuh.

Abu Musa RA memberitahu Umar RA untuk mengambil sedikit masa untuk menunaikan solat (berqiamulail) sebelum masuk waktu Subuh.

Umar RA menjawab : Wahai Abu Musa, bukankah kita (hakikatnya) sedang di dalam Solat ?

Perhatikan bagaimana Umar RA membesarkan makna hakikat Solat, dan bagaimana Umar RA sendiri merasakan bahawa dirinya di dalam solat, walaupun beliau sedang berbincang perihal fiqh dengan sahabatnya.

Demikianlah kefahaman yang seharusnya kita pegang dalam urusan seharian, bahawa kita sedang berada di dalam kehidupan yang sedang menjelaskan makna-makna Al-Quran, dan menterjemahkan hakikat-hakikat Solat.

“Dan langit itu Kami bina ia dengan tangan-tangan (kekuasaan Kami), dan Kami jugalah yang meluaskannya” – Surah Adz-Dzariyat, ayat 48

Sepertimana Dia meluaskan langit … hakikatnya Dialah juga yang meluaskan makna-makna dalam Al-Quran.

“Sesungguhnya Kami telah mudahkan Al-Quran untuk dijadikan peringatan, maka tiadakah lagi orang yang mahu mengambil peringatan ?” – Surah Al-Qamar, ayat 22

Wallahua’lam bissawab.

 

Ustaz Syamil Esa

Penolong Setiausaha Majlis Ulama Isma (MUIS)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat