Ayuh, Kita Bantu Mereka Yang Memerlukan Seikhlas Hati

Oleh : Zaid Bin Zainur Rashid

“Ambiklah ni, bagi dekat kawan-kawan kamu. Diorang boleh pakai ni. Ni barang jual sebenarnya. Tapi ambik sajalah. Elok lagi ni.”

Abang tu hulurkan satu beg plastik, dipenuhi baju jersey yang elok setiap satu terlipat dalam plastik macam yang nak dijual di kedai.

“Eh takpelah bang. Kitorg ok, abang ni yang baju-baju dah rosak. Adik beradik abang lagi. Elok bagi diorg” Kami balas, tolak dengan baik. Kita tahu dialah yang lebih memerlukan, lagi lagi waktu seperti ini.

“Eh takpe, adik beradik ni bukan duduk sini, diorang tak kena pun banjir, datang tolong tolong je. Kamu ambiklah.” Dia letak baju baju itu. Sekali lagi kami tolak dengan baik dan teruskan dengan dia angkat barang2 rosak.

Ini dialog kami dengan tuan rumah dalam gambar ini. Ini adalah salah satu rumah yang kami berjaya bantu kemas. 90% daripada barang rumah terpaksa dibuang, katil, almari, rak, toto, buku sekolah, baju, barang elektronik, dapur, boleh kata hampir semua.. kira jersey tadi tu, antara barang dia yang terselamat.

Rumah terpaksa ditebuk lebih 3 lubang untuk mengalirkan air dan lumpur keluar rumah. Kereta juga dimasuki sampah sarap dan lumpur termasuk lah bahagian enjin.

Dalam keadaan yang diuji seperti ini, tuan rumah nampak tenang bekerja dan tidak mengeluh.

Bila tiba tengahari pukul 12 orang mula rehat. Adiknya pula beli satu beg ais dan bancuhkan air manis untuk penduduk. Cuba menceriakan hati jiran tetangga yang teruji. Walaupun mereka sendiri susah dan diuji, tapi mereka tetap ingin membantu dan menceriakan hati orang lain. Ini satu peribadi yang wajar dicontohi.

Pelbagai reaksi dan sisi positif terlihat di sebalik ujian yang melanda. Di sebalik kesusahan ada pemandangan dan peristiwa yang mendidik hati.

Kita kena ingat sebenarnya di sebalik ujian orang lain, adalah ujian untuk diri kita sejauhmana kita mengambil tanggungjawab sebagai saudara untuk membantu mereka.

Deras sungai berlumpur,
Deras hujan muncul pelangi,
Ada ujian buat tersungkur,
Ada ujian jadi berbakti.

Jom bersama Isma. Sukarelawan kita sedang membantu di Seremban, Mambau, Semporna, Sandakan, bahkan di Selangor juga ramai keluarga yang susah perlu dibantu. Ayuh kita ringankan beban mereka yang diuji. Kita bina negara sejahtera.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat