Childfree adalah suatu konsep dalam perkahwinan yang mana pasangan yang berkahwin memilih untuk tidak mempunyai anak sama ada anak kandung, anak angkat, mahupun anak tiri. Idea dan konsep ini berasal daripada Eropah pada akhir abad ke-20 yang mana pada waktu yang itu gerakan feminisma juga mula berkembang. Jika kita telusuri, mengapakah idea ini timbul adalah disebabkan keterlibatan wanita dalam dunia industri dan meningkatnya bilangan wanita yang menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Hal ini menyebabkan tekanan yang dihadapi oleh para wanita dalam mereka membina kerjaya dan kedudukan mereka di arena perindustrian dalam masa yang sama perlu menghadapi alahan mengandung, melahirkan dan membesarkan anak-anak. Ditambah pula dengan tekanan ekonomi yang menyempit. Akhirnya, wanita yang berkahwin memutuskan untuk tidak mempunyai anak supaya mereka dapat membina kesejahteraan diri dan menjadi lebih bahagia apabila bebas daripada komitmen membesarkan anak-anak.
Kebelakangan ini, kita melihat trend Childfree ini mula menembusi masyarakat Malaysia dan sebahagian pasangan muda mempraktiskannya dalam kehidupan rumah tangga. Mereka juga mengajak ramai pasangan lain untuk turut serta dalam trend Childfree ini, kononnya mampu memberi kebahagian dan meningkatkan kesejahteraan diri. Menurut Syazwan dalam kajiannya mengenai trend Childfree di Malaysia, pasangan muda yang memilih untuk Childfree adalah disebabkan beberapa faktor. Yang pertama, ingin bebas daripada tanggungjawab sebagai ibubapa. Kedua, disebabkan faktor ekonomi yang merosot dan yang ketiga, disebabkan oleh dasar semangat individualistik dan hak kebebasan diri. Ketiga-tiga faktor ini merupakan faktor utama pasangan muda memilih untuk Childfree. Bila diamati, faktor memilih Childfree dengan tujuan untuk kesenangan diri tanpa komitmen dan tanggungjawab membesarkan anak adalah pilihan yang tidak bijak. Kerana ianya hanya akan memberi kesenangan yang sementara.
Sebagai muslim, kita harus bertanya, benarkah pendirian dan cara fikir ini? Adakah pemikiran ini sesuatu yang sesuai dengan agama Islam yang merupakan agama fitrah?
Di dalam Islam, kita sering ditekankan agar jangan terhadkan kebahagian dan kesenangan kita untuk dunia semata-mata kerana ianya hanyalah sementara. Lihatlah kebahagiaan dengan kaca mata akhirat. Disana lah hakikatnya kita dapat mengecapi kebahagiaan yang selama-lamanya. Allah berfirman dalam Surah Hud, ayat 108.
۞ وَأَمَّا ٱلَّذِينَ سُعِدُوا۟ فَفِى ٱلْجَنَّةِ خَـٰلِدِينَ فِيهَا مَا دَامَتِ ٱلسَّمَـٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ إِلَّا مَا شَآءَ رَبُّكَ ۖ عَطَآءً غَيْرَ مَجْذُوذٍۢ ١٠٨
“Adapun orang-orang yang berbahagia (disebabkan imannya dan taatnya), maka di dalam Syurgalah tempatnya. Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu sebagai pemberian nikmat yang tidak putus-putus”.
Dalam ayat diatas menerangkan bahawa kebahagiaan yang hakiki hanya dapat dikecapi didalam syurga sahaja. Adapun hakikat di dunia, ia adalah tempat untuk kita berusaha, memperbaiki dan meningkatkan diri, semuanya sebagai ibadah bagi mengumpul bekal di hari akhirat.
Berkahwin dan memiliki anak adalah Sunnatullah dalam kehidupan manusia.
Allah SWT mensyariatkan perkahwinan kepada manusia adalah untuk 3 tujuan. Yang pertama, untuk menjaga kehormatan diri. Yang kedua, untuk mengembangkan zuriat,dan yang ketiga adalah untuk menjaga keutuhan rumah tangga sebaik mungkin. Allah SWT tidak akan mensyariatkan suatu ibadah dengan tujuan yang sia-sia kerana dengan berkahwin dan memiliki anak akan dapat memberi kebahagian dan kesejahteraan diri bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat.
Berikut adalah penjelasan bagaimana anak-anak boleh memberi kebahagian kepada ibu bapa di dunia dan di akhirat.
Anak sebagai penyejuk mata dan penenang jiwa ibu bapa.
Allah menjelaskan di dalam Surah Furqan, ayat 74, bahawa di antara ciri-ciri Ibadur Rahman (Hamba Allah) adalah mereka yang berdoa agar isteri dan anaknya menjadi penyejuk mata baginya. Berdoa dan mengharapkan anak yang soleh sahaja sudah dirakamkan oleh Allah sebagai satu ibadah dan ciri-ciri hambaNya yang disayangi.
وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَٰجِنَا وَذُرِّيَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍۢ وَٱجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa”.
Kehadiran anak-anak dalam keluarga adalah sebagai Qurrata a’yun yang bermaksud penyejuk mata. Para ulama’ berpendapat anak sebagai penyejuk mata merujuk kepada anak-anak yang soleh, taat pada perintah Allah, berbakti kepada ibu bapa, taat beragama, serta bermanfaat kepada masyarakat. Dengan melihat anak-anak yang soleh ini akan memberi ketenangan jiwa kepada ibu dan ayah.
Anak yang berbakti dan menyayangi ibu bapa disaat tua.
“Barangsiapa yang tidak menyayangi, nescaya ia tidak akan disayangi.” (HR Al-Bukhari No. 328, dalam Kitab Al-Tayamum)
Alangkah indahnya institusi keluarga yang dipenuhi dengan kasih sayang. Kasih sayang yang ditumpahkan kepada anak-anak, akan membentuk anak yang sangat bersyukur. Kesyukuran itu akan terzahir pula dalam bentuk kasih sayang yang baru. Ia membentuk satu putaran kasih sayang, ibarat potret yang sangat cantik. Anak-anak menjadi ladang akhirat buat ibu bapa ketika mereka kecil, dan ibu bapa pula menjadi ladang akhirat buat anak-anak ketika mereka telah tua. Semua kesabaran dan kasih sayang ini menjadi satu sistem ibadah yang berterusan dan mendekatkan keluarga kepada Allah.
Anak menyambung salurkan pahala walaupun kita telah meninggal dunia.
Dalam sebuah Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tirmizi, daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda,
“Kalau seseorang meninggal dunia, maka amalnya akan terputus kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya.”
Daripada hadis ini, dapat kita fahami, kebahagiaan yang anak yang soleh bawa kepada ibu bapa tidak terhenti sewaktu hidup semata-mata. Doa anak yang soleh dapat memberi pahala dan cahaya kepada ibu bapa walaupun sudah meninggal dunia. Amat rugilah kita jika memandang kebahagian sewaktu hidup didunia adalah segala-galanya kerana hidup di akhirat adalah sebenar-benar kehidupan.
Anak yang hafaz al-Quran dapat hadiahkan ibu bapanya mahkota disyurga kelak.
Bonus buat ibu bapa yang berjaya mendidik anak-anaknya menghafaz al-Quran. Dalam hadis ini, Rasulullah memberi jaminan buat ibu bapa yang mendidik anak nya menghafaz al-Quran. Iaitu di akhirat kelak, anak-anak yang menghafaz al-Quran dapat menyarungkan mahkota yang sinarnya lebih terang daripada matahari kepada ibu bapa.
مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ وَعَمِلَ بِمَا فِيهِ ، أُلْبِسَ وَالِدَاهُ تَاجًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ ، ضَوْءُهُ أَحْسَنُ مِنْ ضَوْءِ الشَّمْسِ فِي بُيُوتِ الدُّنْيَا لَوْ كَانَتْ فِيكُمْ ، فَمَا ظَنُّكُمْ بِالَّذِي عَمِلَ بِهَذَا
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca al-Quran dan mengamalkan isi kandungannya, maka pada hari kiamat kedua ibu bapanya akan di pakaikan mahkota, sinarnya lebih terang daripada cahaya matahari berada di rumah kita. Bagaimana menurut perkiraan kalian, bagaimana agaknya ganjaran untuk orang yang mengamalkannya sendiri?”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 1453]
Kesimpulan
Daripada 4 poin diatas, dapat kita simpulkan bahawa besarnya ganjaran memiliki anak yang soleh dan solehah kepada ibu bapa. Namun, untuk melahirkan dan mendidik anak menjadi soleh dan solehah, ibu dan bapa perlu ada ilmu agama, jelas hala tuju pendidikan anak, kesabaran yang tinggi serta pengorbanan terhadap hawa nafsu sendiri daripada bersikap individualistik.
Setiap kerja keras ibu bapa dalam memberi kefahaman dan membesarkan anak-anak mengikut acuan Islam akan dicatat dan diganjari dengan pahala oleh Allah SWT sesuai dengan janjinya. Rasulullah bersabda;
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال ﷺ: من كن له ثلاث بنات، فصبر على لأوائهن وضرائهن؛ أدخله الله الجنة برحمته إياهن. فقال رجل: وابنتان يا رسول الله!؟ قال: وابنتان. قال رجل: يا رسول الله! وواحدة؟ قال: وواحدة!
Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang mempunyai tiga orang anak perempuan, lalu dia bersabar dengan kesusahan dan kesukaran mereka (dari segi fizikal dan kewangan), Allah akan memasukkannya ke dalam syurga kerana belas kasihannya terhadap mereka. Lalu lelaki itu bertanya: Jika ada dua orang anak perempuan wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Ya, jika ada dua orang anak perempuan. Lelaki itu bertanya: Jika ada seorang anak perempuan? Baginda bersabda: Ya, walaupun jika hanya seorang anak perempuan.
Sinonim dengan pepatah melayu:
“Berakit-rakit ke hulu, Berenang ke tepian
Bersusah-susah dahulu bersenang kemudian.”
Ya. Suka dan duka, gelak tawa dan tangisan, pelbagai ragam dan warna dalam dalam mendidik dan membesarkan anak-anak di dunia, namun yakinlah, kesenangan dan kebahagian yang dituai dari suka duka mendidik anak itu, kita harapkan mendapatnya secara hakiki dalam kehidupan abadi di akhirat kelak.
Dr. Siti Sarah Amran
Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA