Biden atau Trump?

Sehingga hari ini, dunia menyambut dengan penuh kegembiraan apabila Joe Biden (Demokrat) berjaya mengalahkan Donald Trump (Republikan) dalam pilihanraya presiden US yang ke-46. Saya boleh faham perasaan seluruh dunia kerana melihatkan perangai Trump yang sentiasa tidak konsisten dengan pelbagai perkara.

Tetapi saya mempunyai pandangan berbeza sedikit. Saya lebih suka jika Trump terus menang berbanding Biden kerana beberapa sebab :-

1. Trump tidak suka kepada peperangan dan semasa beliau menjadi Presiden tidak ada satu pun peperangan yang beliau mulakan. Berbanding dengan Obama (Demokrat), semasa pemerintahannya selama 8 tahun, beliau telah memerangi tak kurang dari 7 negara antaranya Iraq, Sudan, Libya, Afghanistan, Yemen, Somalia dan Pakistan. Kita kena ingat semasa itu Joe Biden adalah Timbalan Presiden (Vice Presiden).

Sememangnya tidak asing lagi, Demokrat mempunyai polisi untuk mengukuhkan kedudukan Amerika di dunia dan menguasai dunia keseluruhannya. Hillary Clinton pernah berkata di dalam kempen beliau bahawa jika dipilih sebagai Presiden beliau akan pastikan Amerika akan terus menjadi ‘polis’ dunia. Saya jangka dunia akan sedikit aman jika Trump terus memerintah. Malah Trump telah mula berbaik dengan musuh utama Amereka Kim Jong-Un dari Korea Utara.

2. Trump tidak suka kepada golongan L-.G..B-.T manakala Obama telah meluluskan undang-undang mengiktiraf golongan ini sehingga seluruh dunia mula mengikutinya. Malah salah seorang pengacara TV terkenal US, Ellen yang merupakan seorang l.es-b.ian mengucapkan terima kasih kepada Obama. Trump tidak mengiktiraf golongan ini dan pasti ia adalah lebih baik untuk dunia memandangkan Amerika seringkali dijadikan ‘kiblat’ dalam pelbagai perkara oleh banyak negara.

3. Trump tidak suka kepada Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA) dan tidak mengiktirafnya, manakala polisi Demokrat yang di pelopori oleh Hillary Clinton ketika itu memang telah mendesak dunia (termasuk Malaysia) menerima TPPA yang mana ia akan menyebabkan kedaulatan negara akan terjejas. Negara tidak akan dapat menentukan nasib mereka sendiri tetapi sebaliknya ditentukan oleh US. Kita dimaklumkan jika Malaysia mengiktiraf TPPA ini, 18 undang-undang negara terpaksa diubah. Adakah kita mahu undang-undang negara diubah hanya sekadar mahu memenuhi tuntutan US.

4. Trump tidak suka syarikat-syarikat besar Amerika melabur di negara-negara luar. Beliau meminta semua syarikat ini melabur dalam Amerika sendiri dan beliau telah mengurangkan cukai untuk menarik minat syarikat-syarikat berkenaan. Ini sudah pasti baik untuk dunia kerana ekonomi dunia akan mula tidak dicengkam oleh syarikat-syarikat Amerika lagi.

5. Yang paling pastinya, Trump seorang yang kelam-kabut dan sentiasa mengubah-ubah kenyataannya dan ini pasti akan menyebabkan Amerika berada dalam keadaan tidak stabil. Dunia akan semakin tidak percaya dengan Amerika dengan telatahnya dan sudah pasti apabila Amerika tidak tenteram ia adalah baik untuk dunia.
Mungkin ada yang kata bahawa kedua-dua calon itu tidak baik kerana mereka menentang islam dan menyokong Yahudi. Saya katakan bahawa itu kenyataan yang benar. Tetapi dalam konteks ini saya mengambil kaedah syarak; menolak sesuatu yang lebih mudharat dari dua kemudaratan.

Aminuddin Yahaya
9 November 2020

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat