10 CARA DIDIK ANAK CARA ISLAM

Cabaran dunia hari ini bebeza. Begitu juga cabaran dalam mendidik anak-anak kita pada zaman ini.

Dengan pelbagai tarikan buruk di luar sana, kita ibubapa mesti berhati-hati. Sedikit sahaja kelekaan kita dalam didikan anak-anak kita, akan beri kesan buruk pada pembentukan peribadi mereka yang akan kekal selamanya.

Melihat kepada risiko ini dan tanggungjawab yang berat sebagai ibubapa, kita tak ada jalan lain melainkan kembali kepada cara yang diajarkan oleh Islam dalam mendidik anak-anak kita.

Saya nak kongsikan 10 cara yang diajarkan oleh Islam dalam mendidik anak-anak, yang saya rasakan amat berkesan dan sesuai diadaptasikan pada zaman ini, terutamanya bagi ibubapa yang punyai anak-anak usia 2 – 18 tahun.

1. IBUBAPA SEBAGAI CONTOH

Setiap anak dilahirkan dalam fitrah, bermaksud suci. Anak-anak yang lahir pada zaman dulu tak lebih baik daripada anak-anak yang lahir zaman sekarang. Semuanya sama sahaja. Bila zaman lahir itu tak tentukan masa depan anak-anak kita.

Faktor terbesar yang paling mengesani pembesaran dan peribadi anak-anak ialah ibubapa sendiri. Daripada lahir hingga ke usia sekolah, ibubapa adalah individu yang anak-anak akan ikut kemana-mana jua pagi petang siang malam, hampir 24 jam sehari. Jadi ibubapa lah pencorak kehidupan anak-anak bermula drp buaian lagi.

Sebab itulah hadis mengatakan “Setiap anak yang lahir adalah didalam fitrah. Ibubapa lah yang menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani” (Bukhari, Muslim, Baihaqi, Thabarani)

Peranan ibubapa adalah paling penting dalam menentukan peribadi dan halatuju hidup anak-anak. Kita semua nak jadikan anak-anak kita soleh dan solehah, sebab hanya dengan anak yg soleh atau solehah sahaja doa mereka untuk kita akan diterima oleh Allah sebagai bekalan dialam kubur kelak.

Sebelum kita jadikan anak-anak kita seorang doktor, jurutera, akauntan atau businessman, terlebih dahulu kita kena jadikan mereka sebagai anak yang soleh dan solehah, sbb dengan hanya ini sahaja jaminan saham kita akan berterusan hingga ke alam kubur kelak.

Ramai kata yang dia “tak mampu nak didik agama kepada anak-anak sendiri”.

Tak apa untuk hantar anak-anak ke kelas-kelas agama, tapi menjadi kewajipan lebih besar kepada diri ibu dan bapa tersebut untuk dia sendiri pergi belajar ilmu agama sewajarnya daripada kelas-kelas agama, atau kuliah-kuliah agama, atau sesi-sesi bersama ustaz atau ustazah, atau daripada pembacaan buku-buku agama, untuk dia sendiri menambah ilmu dan kefahaman agamanya, dan dia sendiri yang mengajarkan kepada anak-anaknya asas-asas agama tersebut. Ini barulah kaedah yang paling berkesan untuk didikan peribadi anak-anak kita.

Guru yang terbaik bagi anak-anak kita, ialah diri kita sendiri. Kalau ibu dan bapa tak bersedia, maka wajib bagi ibu dan bapa itu untuk pergi belajar dan kuasai ilmu agama sebaiknya, untuk diajarkan kepada anak-anaknya dirumah. Dengan itu barulah lepas tanggungjawabnya keatas anak-anaknya.

2. IKUTI CONTOH TERBAIK

Saya faham, kita ibubapa juga manusia yang ada banyak kelemahan. Kita tak sempurna. Walaupun kita dah cuba untuk kekalkan karakter baik kita dirumah, tapi ada masanya kita pun terlepas cakap, terlajak emosi, panas baran, hilang sabar dan sebagainya. Ini sebenarnya perkara biasa. Sayangnya, walaupun bukan inilah yang kita nak ajarkan pada anak-anak kita, tapi sedikit sebanyak mereka akan terkesan dengan tindakkan kita tersebut.

Allah itu Maha Mengetahui. Sebab itulah Dia utuskan pada kita seorang manusia yang boleh kita jadikan contoh dan tauladan yang paling baik, sebagai ikutan anak-anak kita. Iaitu Rasulullah saw.

Kalau kita tak mampu untuk menjadikan diri kita sebagai contoh tauladan kepada anak-anak kita, atas kelemahan diri kita sendiri, maka tugas utama kita adalah untuk memperkenalkan diri dan sifat peribadi Rasulullah saw kepada anak-anak kita dalam setiap aspek kehidupan mereka.

Contohnya; bila anak kita marah – ajarkan hadis ini:

“Jika kamu marah dalam keadaan berdiri, duduklah. Jika kamu masih marah, berbaringlah. Jika kamu masih marah, padahal sudah dalam keadaan berbaring, segera bangkit dan ambil air wudu’ untuk bersuci dan lakukan solat sunah dua rakaat.” (Abu Daud)

Sekira anak tidak berkata benar – ajarkan hadis ini:

“Hendaklah kamu selalu berlaku jujur, kerana kejujuran membawa kepada kebaikan, dan kebaikan membawa seseorang ke Syurga” (Ahmad, Bukhari, Muslim, Termizi)

Sekiranya anak bercakap dengan bahasa kasar – ajarkan hadis ini:

“Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, hendaklah dia berkata yang baik atau diam sahaja.” (Bukhari)

Sekiranya anak tidak mahu berkongsi mainannya – ajarkan hadis ini:

“Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu, sehingga dia mengasihi saudaranya sama seperti dia mengasihi dirinya sendiri” (Bukhari, Muslim)

Terlalu banyak pengajaran daripada kisah hidup dan hadis Rasulullah saw untuk kita ajarkan kepada anak-anak kita. Maka sebagai ibubapa, cubalah kita melazimi setiap teguran, setiap nasihat, setiap tunjuk ajar kepada anak-anak kita, dikaitkan kepada peribadi Rasulullah saw, supaya mereka membesar melihat Rasulullah saw sebagai role model terhebat untuk dirinya.

3. JAGA PERSEKITARAN DI RUMAH

Persekitaran juga memainkan peranan dalam pendidikan anak-anak. Mana lagi tempat yang mereka banyak meluangkan masa kalau bukan dirumah sendiri.

Jadi berhati-hatilah dengan apa yang kita “benar”kan dirumah kita. Kita tak nak sia-siakan usaha kita nak mendidik mereka jadi anak yang soleh dan solehah, akhirnya di “musnah”kan oleh siaran-siaran di TV atau di internet sebagainya.

Contohnya, bagaimana kita nak ajarkan kepada anak lelaki kita “menundukkan pandangan terhadap wanita” sekiranya dikaca TV rumah kita terdedah wanita-wanita tidak menutup aurat, malah lebih terus, wanita-wanita seksi yang terdedah sana sini?

Bagaimana kita nak didik anak-anak perempuan kita supaya menutup aurat berhijab, sekiranya dia didedahkan oleh rancangan-rancangan yang dilakonkan oleh wanita-wanita tidak bertudung memakai baju-baju ketat?

4. KAWAL DENGAN SIAPA MEREKA BERKAWAN

Perhatikan hadis ini:

“Seorang mukmin itu berada diatas agama (gaya hidup dan perilaku) sahabatnya, Maka perhatikanlah dengan siapa kamu bersahabat” (Termizi dan Abu Daud).

Dan beberapa cerita ini:

Ummu Sulaim r.ha, telah memberikan anaknya, Anas Bin Malik rh, menjadi khadam kepada Rasulullah saw, kerana dia mahukan anaknya menjadi sehebat Rasulullah saw. Akhirnya, Anas Bin Malik rh menjadi seorang yang hebat peribadinya dalam sejarah Islam, berilmu dan banyak meriwayatkan hadis-hadis yang sahih.

Ummu Huzaifah r.ha, ibu kepada sahabat Huzaifah Bi Yaman rh, amat merisaukan dengan siapa anaknya berkawan, selalu bertanya kepada Huzaifah “Bilakah kali terakhir engkau bertemu Rasulullah saw”

5. CEPAT MENGENAL DAN ATASI SIFAT BURUK, WALAUPUN KECIL

Sekecil-kecil perkara, seperti berkata buruk pasal guru atau kawan-kawan lain, berkata buruk pada makanan, cepat marah, mudah bergaduh dengan adik-beradik; perlu ditangani dengan segera dengan berhemah, sebelum perkara ini menjadi lebih besar dan berlarutan.

Banyak kisah-kisah daripada Quran, daripada sirah malah daripada hadis-hadis yang boleh kita gunakan dalam membuang sifat-sifat buruk ini.

6. KOMUNIKASI

Lazimi kisah-kisah para Nabi, Rasul dan kisah-kisah sahabat r.hum sebagai kisah-kisah “bed-time story” mereka. Daripada diceritakan kisah-kisah rekaan dalam buku kanak-kanak, apa kata kita bawakan kepada anak-anak kita kisah-kisah yang benar-benar berlaku yang dipetik drp kisah-kisah dalam Quran, kisah-kisah para Nabi dan Rasul, mahupun kisah-kisah perjuangan para sahabat.

Kisah-kisah ini bukan sahaja sebagai santapan ditelinga mereka, tapi akan bentuk karakter mereka. Kita nak bentuk karekter anak-anak kita sebaik dan sehebat para Nabi dan Rasul, maka kita perlukan banyak ceritakan kisah-kisah berkaitan supaya mereka kenal, mereka admire, dan akhirnya mereka ikut.

7. BINA PELUANG

Ada benda yang boleh diajar dengan lisan. Ada benda yang tak boleh diajar dengan lisan, tapi boleh diajar dengan perbuatan. Bagi anak-anak kita, mereka lebih banyak belajar dengan melihat dan perbuatan. Kalau mereka tak pernah melihat atau membuat sesuatu yang kita mahukan mereka belajar, maka kita ibubapa perlu sediakan “peluang” tersebut. If the opportunity is not there, then we create it.

Kalau kita nak ajar anak-anak kita menjadi seorang yang pemurah, maka kita cipta peluang belajar ini dengan beli hadiah-hadiah dan minta dia untuk berikan kepada guru atau rakan-rakan sekolahnya.

Atau kalau kita nak ajar anak kita bersedekah, maka kita berikan dia duit dan minta dia sendiri yang memasukkan duit itu ke tabung kebajikan atau diberikan kepada orang miskin.

Kalau kita nak ajar dia lasak dan tahan kental, maka kita bawa dia tempat-tempat yang dia boleh belajar untuk beraktiviti lasak.

8. KAITKAN DENGAN ALLAH

Ingatkan mereka selalu, bahawa setiap apa yang mereka buat adalah dilihat oleh Allah, dan akan sentiasa ditulis oleh malaikat, dan setiap perbuatan mereka, baik kecil atau besar, akan dibalas oleh Allah setimpalnya.

Ajar mereka bahawa setiap amalan baik amat disukai oleh Allah, dan menjadikan Allah sayang kepadanya. Memberi makan binatang, menjaga binatang, mengemas rumah, mengemas bilik, solat lima waktu, puasa, menolong ibu atau ayah semuanya perlu diberi pujian.

Ajar juga mereka bahawa setiap amalan buruk atau jahat amat dibenci oleh Allah dan Allah pasti akan membalasnya juga. Memukul binatang, merosakkan barang adik-beradik lain, marah-marah, malas solat, mencuri, berbohong.. semuanya perlu diberikan peringatan dan nasihat awal.

9. BERBUAT BAIK PADA KANAK-KANAK

Rasulullah saw amat disukai oleh kanak-kanak. Kenapa?

Baginda tidak pernah memarahi mereka. Baginda sentiasa menziarahi mereka ketika mereka sedih. Baginda selalu bermain dengan mereka. Baginda juga tidak kisah ketika kanak-kanak memanjat belakangnya walaupun dalam solat.

Kanak-kanak sangat suka dan sayang kepada Rasulullah saw kepada layanan baiknya kepada mereka. Sebab inilah kanak-kanak begitu mesra dengan baginda dan amat mudah untuk mendengar nasihat-nasihat yang disampaikan oleh baginda.

10. DOA. DAN LETAKKAN SEPENUH KEPERCAYAAN KEPADA ALLAH

Anak-anak adalah amanah untuk diri kita, tapi mereka sebenarnya adalah milik Allah sepenuhnya. Kita kena yakin dengan hakikat ini.

Sebaik manapun usaha kita untuk mendidik anak-anak kita jadi pandai, hebat, bijak, berdikari sebagainya, sekiranya Allah tidak izinkan, tiada apa yang kita mampu buat.

Sebagai contoh;

Anak Nabi Adam as sanggup membunuh adiknya sendiri.

Anak nabi Nuh a.s tidak beriman kepada ajaran Nabi Nuh, walaupun ayahnya seorang Nabi.

Anak-anak Nabi Yaakub as sanggup mengadakan plot membunuh saudara mereka sendiri, juga menipu ayahnya.

# ayah-ayah mereka adalah seorang nabi yang dipilih oleh Allah dengan akhlak yang cukup terpuji dan ilmu yang banyak, tapi Allah telah menetapkan ketetapan yang lain untuk mereka.

Namun,

Nabi Ibrahim as punyai seorang ayah tukang pembuat berhala.

Nabi Isa as tidak mempunyai ayah.

Nabi Musa as dibesarkan didalam rumah Firaun.

mereka semua menjadi nabi-nabi yang cukup hebat dengan bimbingan dan pedoman drp Allah swt.

Kuasa dan kudrat Allah itu cukup hebat.
Kita merancang, Allah juga merancang. Sebaik-baik perancangan adalah perancangan Allah, maka doa adalah sebaik-baik kekuatan bagi kita.

SEKIAN.
Semoga bermanfaat untuk kita bersama.

Dr Shaiful Aizad

Ahli Isma Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat