Adab-adab berziarah di Aidilfitri musim PKPB

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) lebih baik duduk di rumah sahaja termasuklah ketika Hari Raya Aidilfitri ini bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga terjamin dari jangkitan Covid19 yang nyata masih ada di luar sana.

Namun jika ada keadaan tertentu yang perlu untuk berziarah, maka SOP yang telah digariskan oleh pihak Kerajaan Malaysia perlulah dipatuhi serta adab-adab ini dapat diamalkan sebaiknya.

1. Mintalah Izin dari tuan rumah terlebih dahulu terutama rumah-rumah yang diketahui mempunyai bayi, anak-anak kecil, orang tua atau orang yang sakit.

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat. (Surah An-Nur: 27)

Penting untuk bertanyakan kesediaan tuan rumah bagi menerima tetamu terutamanya rumah-rumah yang mempunyai ahli kategori golongan bersiko tinggi dalam fasa penularan wabak Covid19 kini.

Dengan persediaan begini tuan rumah akan menyambut kehadiran tetamu dalam keadaan terbuka hati dan gembira.

2. Berziarahlah pada masa yang bersesuaian seperti yang dianjurkan Islam. Sebaiknya berziarahlah pada waktu pagi dan waktu petang selepas waktu asar.

Sekiranya tuan rumah tidak bersedia menerima kunjungan pada masa tertentu, maka terima dan hormatilah. Disana tetap ada keberkatan dan rahmat Allah swt.

Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu “baliklah”, maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan. (Surah An-Nur: 28)

3. Pastikan bilangan ahli yang datang berziarah tidaklah terlalu ramai dalam satu-satu masa yang sama dan tidak perlu berlama-lama ketika berziarah.

Sebaiknya datanglah berziarah dengan sedikit bilangan dan tidak melebihi 20 orang, serta cukuplah sekadar masa 20-30 minit sahaja. Hal ini demi keselesaan dan keselamatan tuan rumah dan ahlinya lebih-lebih lagi kita masih dalam tempoh PKPB.

4. Jagalah tatatertib semasa berziarah terutama perihal anak-anak. Nasihat dan berpesanlah lebih awal kepada anak-anak untuk menjaga tingkahlaku semasa di rumah orang. Jika tidak dapat juga mengawalnya, sebaiknya cukuplah berziarah untuk masa yang lebih ringkas.

Janganlah dipandang remeh akan hal ini. Dibimbangi perkara yang tidak baik berlaku ketika bertamu yang disebabkan oleh tindakan anak-anak akan memberi kesan kepada silaturrahim ibu bapa dengan tuan rumah.

5. Masuklah ke rumah yang diziarahi dengan ‘mata yang buta’ dan keluarlah dengan ‘mulut yang bisu’.

Ketika berziarah, jagalah aib tuan rumah. Perkara-perkara yang terkurang dimata kita, tidak perlulah di bawa keluar ceritanya ketika pulang.

“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah an-Nisa’ 4:148)

Mariam Malek,

JK Wanita Isma Sepang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat