‘Bantulah perusahaan kecil dan sederhana’

Baru-baru ini, Menteri Kewangan ada mengulas mengenai kebimbangan pemilik-pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menghadapi krisis COVID-19 yang bakal memberikan impak teruk kepada mereka. Saya juga banyak menyuarakan pendapat saya mengenai isu ini.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkara tersebut merupakan isu yang menjadi tumpuan beliau pada minggu ini bagi merangka bantuan secara lebih bersasar.

Alhamdulillah, saya kira ini merupakan satu tindakan yang tepat kerana pakej rangsangan ekonomi peringkat awal ini tidak memberikan apa-apa manfaat atau bantuan spesifik kepada kepada PKS. Walhal PKS merangkumi lebih kurang 98.5% perniagaan di negara kita dan merangkumi 8 juta pekerjaan dalam kalangan rakyat Malaysia. Jika syarikat-syarikat PKS akhirnya terpaksa tutup bermakna jutaan rakyat akan hilang pekerjaan. Dalam keadaan sekarang ini pun dijangkakan 2.4 juta rakyat akan hilang pekerjaan.

PKS memerlukan insentif dalam keadaan perniagaan mereka tidak berjalan untuk membolehkan mereka mengekalkan kakitangan-kakitangan mereka.

Antara yang boleh dilaksaakan ialah peruntukan pinjaman dengan kadar faedah yang rendah atau mungkin juga pemberian geran untuk jangka masa sekurang-kurangnya 6 bulan. Selain itu, insentif cukai, subsidi gaji kakitangan, pengurangan kadar peratus sumbangan ke EPF dan seumpamanya juga boleh dipertimbangkan.

PKS adalah nadi ekonomi mana-mana negara di dunia ini. Jika PKS lumpuh bermakna ekonomi negara akan turut lumpuh dan ini adalah bahaya kepada struktur ekonomi dan sosial negara. Kita tahu majoriti pekerja yang terjejas adalah orang Melayu di mana golongan inilah yang paling banyak terkesan. Paling buruk ialah mungkin akan sampai ada yang bertindak di luar kawalan seperti merusuh dan sebagainya jika tidak ada duit untuk membeli makanan lagi. Moga dijauhkan situasi seperti ini, insyaAllah.

Kita menyokong insentif-insentif yang telah diumumkan oleh kerajaan kerana ianya adalah untuk kebajikan rakyat tetapi kerajaan perlu juga melihat insentif kepada PKS yang merupakan majikan kepada majoriti rakyat.

Perlu diingat bahawa bantuan kewangan kepada rakyat yang diumumkan hanya berbentuk ‘one-off’ tetapi pekerjaan dan gaji adalah untuk jangka masa panjang rakyat. Para majikan terutamanya PKS tidak mampu untuk menggaji jika bisnes tidak berjalan. Jadi insentif ini sangat diperlukan utk jangka masa 6 hingga 9 bulan mendatang.

Kita harap agar pakej rangsangan yang bakal diumumkan nanti akan benar-benar memulihkan semangat para usahawan PKS. InsyAllah.

Hj Aminuddin Bin Hj Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat