‘Bersabarlah, tunggulah wabak ini benar-benar reda dahulu’

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini sekali lagi mendesak kerajaan supaya mengadakan sidang khas parlimen untuk membincangkan mengenai penularan wabak COVID-19 dan peruntukan belanjawan tambahan bagi meringankan beban rakyat yang terjejas pendapatannya berikutan COVID-19. Kita tidak tahu apa niat sebenar-benarnya mereka mendesak secara bertalu-talu agar sidang parlimen diadakan untuk membahaskan mengenai COVID-19 seolah-olah keadaan sudah tidak terkawal.

Sebenarnya, rakyat sudah rasa sangsi apabila PH mendesak untuk mengadakan sidang parlimen sejak awal-awal lagi kerana pemimpin-pemimpin PH seringkali menyebut mengenai undi tidak percaya kepada Perdana Menteri bagi mengambil alih kerajaan pusat semula. Ini dikuatkan lagi apabila pemimpin-pemimpin mereka setiap hari meratib ‘kerajaan pintu belakang’, ‘kerajaan tidak sah’ dan sebagainya seolah-olah kerajaan yang ada sekarang perlu dijatuhkan secepat mungkin. Maka, tidak mustahil jika desakan untuk sidang parlimen kali ini bukannya untuk membincangkan hal rakyat pun.

Bayangkan, kerajaan berubah semula tatkala wabak COVID-19 ini baru sahaja mula reda selepas memuncak. Tidakkah kita lupa akan peristiwa pembubaran kerajaan selepas Tun Mahathir letak jawatan hampir dua bulan yang lalu? Tidakkah kita lupa bahawa peristiwa ini telah mencetuskan kegusaran rakyat apabila kerajaan gagal dibentuk untuk satu masa yang agak lama? Rakyat tidak berani untuk ambil risiko tersebut.

Jika PH tidak mahu menjatuhkan kerajaan pada sidang parlimen kali ini sekalipun, kita yakin bahawa sidang kali ini hanyalah sebagai pentas ahli-ahli politik bertikam lidah kononnya mahu menonjolkan diri masing-masing. Lebih-lebih lagi semua ‘spotlight’ ada pada kerajaan sekarang yang membuat pembangkang tidak tenteram. Malah, hujah-hujah dan kritikan-kritkan yang telah diberikan oleh pemimpin-pemimpin PH dalam isu COVID ini kebanyakkannya adalah kebudak-budakan sahaja. Maka, apa jaminan sidang parlimen ini tidak menjadi sebuah sarkis seperti biasa?

Nasihat saya, bersabarlah. Tunggulah wabak ini benar-benar reda dahulu. Lagipun, perkumpulan lebih 200 orang ini (sidang parlimen) adalah sangat berisiko serta bercanggah dengan saranan kementerian kesihatan. Malah, kita tidak mahu ada kluster baru, iaitu kluster parlimen pula.

Hj Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Sumber:
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/ph-gesa-kerajaan-adakan-sidang-parlimen-khas-covid-19-sebelum-18-mei-238644

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat