Bolehkah kaitkan ayat 33, surah 33 dengan COVID-19?

Ayat 33 surah 33 mengenai Covid-19 ?

Saya cuba jelaskan dengan izin Allah SWT :

1. Setiap ayat Al-Quran ada konteks dan penafsirannya yang tersendiri, ia mesti dilihat dalam konteks tersebut untuk memahami makna sebenar bagi setiap ayat. Sekiranya kita memandai-mandai mentafsirkan sesuatu perkara di luar konteksnya dan mengatakan ia ‘secara pasti’ itulah yang dimaksudkan oleh Allah SWT, kita sudah pun memandai-mandai dalam memperkatakan sesuatu terhadap ayat-ayat Allah SWT.

2. Orang beriman melihat Al-Quran sebagai panduan yang menyelesaikan masalah hidup mereka. Setiap apa yang ada dalam Al-Quran sekiranya betul cara dan disiplinnya boleh didapati sebagai sebuah ubat dan penawar bagi orang yang beriman. Jadi, menafikan Al-Quran itu tiada kaitan dengan perihal hidup kita juga adalah perkara yang tidak benar.

3. Dalam mengenengahkan ayat-ayat tertentu daripada Al-Quran lalu dikaitkan dengan peristiwa tertentu, saya berpendapat untuk lebih selamat kita tidak menyatakan sesuatu perkaitan itu secara ‘pasti’, tetapi lebih mengambil ia sebagai isyarat daripada Allah SWT untuk menyatakan sesuatu, bagi sesiapa yang melihat kitab Allah SWT sebagai petunjuk.

4. Dalam menggarap ayat-ayat Al-Quran, kefahaman manusia berbeza-beza sesuai dengan latar belakang mereka, dan sesuai dengan kesediaan jiwa mereka serta taufiq Allah SWT kepada mereka, dalam menerima cahaya Al-Quran dan menggarapnya. Imam Syafie boleh mengeluarkan hukum fiqh daripada ayat Al-Quran (secara tafsir isyari), yang mana ayat itu langsung tidak difahami begitu oleh ulamak yang lain.

5. Sesiapa yang hatinya sentiasa bersama dengan Allah SWT akan melihat setiap yang dilaluinya itu adalah satu bentuk isyarat daripada Allah SWT untuk dirinya melalui satu bentuk kehidupan yang diredhai oleh-Nya. Al-Quran merupakan salah satu pintu untuk memahami tuntutan dan kehendak Allah SWT terhadap hidup kita. Orang yang begini tidak memerlukan angka-angka luaran seperti angka harian Covid-19 bagi melihat kehendak Allah kepada dirinya, kerana dirinya sendiri sudah pun membuka Al-Quran sejak sebelum wujudnya angka-angka luaran tersebut.

6. Kesimpulan yang saya nak bawa adalah ; kita tidak perlu menolak bahawa angka 3333 itu ‘mungkin’ boleh membawa isyarat tertentu daripada ayat Allah dalam saranan tersebut, dalam masa yang sama kita juga tidak bermudah-mudah dalam menetapkan apa yang Allah kehendaki daripada ilmu kita yang cetek ini.

Apa yang lebih penting bagi saya, daripada isu 3333 ini, adalah sebenarnya Allah sedang menegur kita, alangkah jauhnya kita daripada Al-Quran.

“Dan Kami turunkan Al-Quran itu sebagai penawar dan rahmat kepada orang-orang yang beriman, dan ia tidaklah menambah kepada orang yang zalim melainkan kerugian” – Surah Al-Israa’, ayat 82

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Ahmad Syamil Esa
Ahli Majlis Ulama ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat