Cabar PKP di mahkamah, bukti PH terdesak cari modal berpolitik

CADANGAN bekas Menteri Undang-Undang untuk membawa soal keabsahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk melawan wabak COVID-19 ke mahkamah ini adalah satu usaha yang mengarut, terdesak dan kehabisan modal berpolitik sahaja.

PKP yang telah diamalkan oleh Malaysia telah terbukti berjaya dan dipuji oleh negara-negara lain dan pihak-pihak komuniti antarabangsa, terutamanya apabila Pengarah Kementerian Kesihatan iaitu Datuk Dr Noor Hisham sendiri mendapat pengiktirafan yang sangat membanggakan.

Kini, hasil daripada penguatkuasaan PKP, jumlah kes aktif dan pertambahan kes baharu sudah semakin rendah dan jumlah yang pulih dari wabak ini sudahpun melebihi jumlah kes.

Malah, perniagaan-perniagaan sudah mula dibuka dan berjalan secara berperingkat serta bantuan-bantuan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan geran-geran sudah atau sedang diagihkan.

Maka, apa sebenarnya motif beliau untuk mencabar keabsahan PKP ini di mahkamah? Apakah sebenarnya beliau mahu Malaysia menjadi seperti Amerika Syarikat yang sudah mencecah sejuta kes positif?

Di sini timbul satu persoalan, apakah jika Pakatan Harapan masih memerintah, dasar PKP tidak akan dikuatkuasakan? Apa solusi mereka untuk mengekang penularan wabak ini? Atau adakah mereka tidak kisah pun soal nyawa rakyat?

Berpada-padalah apabila mahu berpolitik. Bukannya segala-galanya perlu dibangkang dan dijadikan isu. Malah, dengan perlakuan sebeginilah yang menyebabkan rakyat semakin meluat dengan para politikus yang hanya mementingkan pengaruh dan kekuasaan politik sahaja.

Hj Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

 

 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat