Cukupkah bekalan padi negara untuk menghadapi krisis?

Nasi adalah makanan utama rakyat Malaysia tidak kira bangsa sejak dulu. Kita bersarapan dengan nasi lemak, nasi dagang atau nasi kerabu, makan tengahari pula dengan nasi berlauk, dan makan malam juga tidak kurang yang masih memilih nasi.

Walaupun populariti roti Gardenia meningkat naik ketika ini, tetap nasi adalah bekalan makanan utama yang menjadi santapan golongan M40 dan B40 kerana ianya murah dan mampu untuk mengenyangkan ramai ahli keluarga. Secara purata, rakyat Malaysia membelanjakan RM44 sebulan untuk nasi.

Pada tahun 2016 sahaja, kita menggunakan sekitar 2.7 juta tan metrik beras setahun. Setiap rakyat Malaysia secara purata menggunakan beras sebanyak 87.9 kilogram setahun, lebih tinggi dari purata penggunaan beras oleh negara-negara lain di dunia pada kadar 54.6 kilogram setahun. Industri beras negara ketika ini dianggarkan bernilai RM2.4 Billion, iaitu sekitar 2.3 peratus dari KDNK negara. Jelas ia adalah industri yang cukup kritikal buat negara kita.

Baru-baru ini, Vietnam mengisytiharkan akan menghentikan eksport beras ke luar negara untuk memastikan bekalan untuk rakyat negara mereka mencukupi ketika berdepan Covid 19. Timbul persoalan, ketika negara menghadapi krisis seperti yang kita hadapi hari ini, adakah bekalan nasi negara mencukupi tanpa kebergantungan kepada negara luar?

Pasca Merdeka, ujian Covid 19 mungkin adalah ujian terbesar yang sedang melanda negara. Negara berdepan dengan krisis kesihatan dan ekonomi serentak. Keadaan dunia juga tidak menentu, kemelesetan ekonomi yang teruk dijangka akan melanda dunia, dan Malaysia tidak terkecuali dalam menerima tempias.

Dalam suasana banyak negara menutup sempadan, antara senario yang paling membimbangkan adalah tahap bekalan beras negara jika negara pengeluar beras utama seperti Thailand, Vietnam dan Pakistan menghentikan aktiviti eksport beras ke negara kita, dan hari ini, ia hampir menjadi realiti.

Malaysia, walaupun menduduki tempat ke 28 dalam kedudukan indeks makanan global dunia, dan keenam di peringkat Asia, kita masih lagi mengimport beras dari negara luar untuk kegunaan dalam negara. Kapasiti pengeluaran beras dalam negara hingga hari ini hanya 70 peratus, manakala baki 30 peratus diimport dari negara-negara utama pengeluar beras seperti Thailand, Vietnam, Kemboja dan Pakistan.

Walaupun berlaku peningkatan dalam aktiviti pengeluaran beras dalam negara sejak 1990 hingga hari ini, namun kita masih belum dapat mencapai tahap yang mencukupi untuk memastikan bekalan beras dalam negara tidak terjejas jika berlaku krisis yang tidak dijangka hingga menyebabkan import beras dari negara luar terhenti seperti yang berlaku ketika ini.

Pihak kerajaan perlu lebih serius dan pantas dalam menyelesaikan isu-isu yang melingkari industri beras negara. Tidak dapat dinafikan, ekosistem industri beras negara adalah amat kompleks yang memerlukan penyelesaian yang lebih menyeluruh.

Suntikan dana tanpa strategi yang berkesan tidak akan mampu untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti pengeluaran beras hingga kita mampu mencapai tahap yang mencukupi untuk tidak bergantung kepada eksport beras dari negara luar.

Data terkini pada tahun 2016 menunjukkan terdapat 194, 931 ribu petani yang terlibat dalam penanaman padi dan kebanyakan mereka berusia 50 tahun dan ke atas. Selain itu, golongan petani Padi ini juga mempunyai purata pendapatan yang rendah. Menurut laporan tahun 2016, purata pendapatan isirumah petani Padi hanya RM2527, sekaligus meletakkan mereka dalam golongan B40. Situasi ini amat membimbangkan kerana rata-rata golongan muda lebih berminat untuk menceburi kerjaya dalam industri lain yang menjanjikan pulangan yang lebih lumayan dan mungkin, lebih popular.

Kerajaan perlu mewujudkan inisiatif yang lebih berbaloi untuk golongan petani Padi dan memberikan galakan yang lebih kepada golongan muda untuk menceburi bidang pertanian Padi dengan lebih serius. Jika tidak, dikhuatiri golongan petani yang ada pada hari ini akan semakin tua dan tidak akan melahirkan pelapis baru yang akan menggantikan mereka.

Selain itu, kecanggihan teknologi hari ini juga perlu dimanfaatkan untuk membantu industri padi negara. Sebagai contoh, penggunaan pesawat tanpa pemandu untuk pembajaan mesti dipergiatkan, kaedah-kaedah baru dalam memperkenalkan padi yang lebih berkualiti dan usaha-usaha untuk memperkemaskan rantaian bekalan padi mesti terus diberi dana dan keutamaan oleh pihak kerajaan.

Institut penyelidikan berkaitan beras dan padi perlu disuntik nafas yang lebih agresif dan mengambil pengalaman negara-negara luar yang lebih berjaya dalam bidang pertanian Padi.

Situasi getir Covid 19 yang sedang melanda negara hari ini akan berakhir, tapi apakah jaminan situasi yang sama tidak akan berlaku lagi pada masa depan.

Kerajaan perlu bertindak segera untuk memastikan keselamatan makanan utama negara.

 

Rujukan:
Khazanah Research Institute. 2019. The Status of the Paddy and Rice Industry in Malaysia. Kuala Lumpur: Khazanah Research Institute. License: Creative Commons Attribution CC BY 3.0.

Ahmad Nordin, Abdul Ghani, Chong & Abu Bakar. (2019). Food Imports and the Exchange Rate: More Than Meets the Eye. Bank Negara Malaysia.

https://foodsecurityindex.eiu.com/Index

Jomo Kwame Sundaram and Tan Zhai Gen. 2019. Achieving Food Security for all Malaysians. Kuala Lumpur: Khazanah Research Institute. License: Creative Commons Attribution CC BY 3.0.

 

 

Mohd Hisham Bin Sharif

Aktivis Isma

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat