Doakan keselamatan umat Islam di India

1. Sesiapa yang mengikuti perkembangan politik di India, dengan mudah boleh melihat pendekatan yang digunakan oleh kerajaan India di bawah Modi terhadap umat Islam di sana.

2. Beberapa dasar yang diperkenalkan Modi seperti mengiktiraf Qadiani sebagai ajaran Islam, menarik subsidi haji kepada orang Islam, meletakkan talak tiga dalam senarai kesalahan jenayah, diskriminasi dan penindasan terhadap perternak lembu di kalangan orang Islam dan membiarkan beberapa jenayah anti muslim berlaku di India. Semua itu dilihat sebagai usaha untuk meletakkan umat Islam di kandang pesalah.

3. Keadaan bertambah buruk apabila pada tahun 2019, kerajaan di bawah Modi meluluskan tiga undang-undang baru berkaitan isu kewarganegaraan.

Yang pertama adalah menghapuskan autonomi wilayah majoriti Islam di Kashmir. Ini dilihat bertujuan untuk menguatkan cengkaman nasionalis Hindu terhadap majoriti umat Islam di Kashmir.

Yang kedua adalah undang-undang yang menetapkan hanya mereka yang mempunyai dokumen bukti bahawa keturunan mereka telah tinggal di Assam sejak 1971 sahaja yang sah sebagai warganegara. Ini dilihat untuk memberikan tekanan kepada berjuta umat Islam Bangladesh yang memasuki Assam kesan perang lampau. Undang-undang ini boleh menyebabkan dua juta umat Islam di Assam akan hilang kewarganegaraan.

Yang ketiga adalah Akta Kewarganegaraan India 2019. Akta ini memudahkan permohonan kewarganegaraan India bagi enam komuniti iaitu Hindu, Sikh, Buddha, Jain, Parsi dan Kristian yang berasal dari Bangladesh, Pakistan dan Afghanistan. Tetapi tidak memberikan kemudahan yang sama kepada orang Islam yang datang dari negara-negara tersebut ke India.

4. Manakala yang terbaru, adalah pendekatan pimpinan politik BJP yang menyalahkan umat Islam terutamanya dari anggota Jemaah Tabligh sebagai punca penyebaran Covid-19. Bahkan pimpinan Tabligh India, Mohamad Saad berdepan dengan tuduhan homisid salah yang boleh membawa kepada penjara 10 tahun.

Sedangkan umum mengetahui bahawa perhimpunan tabligh itu dilakukan di Nizamudin adalah sebelum dari ‘national lockdown’ yang berlaku pada 24 Mac 2020. Dan di masa yang sama juga terdapat banyak perhimpunan lain juga berlaku di India tetapi tidak disalahkan.

5. Sentimen anti Islam ini dilihat sengaja ditimbulkan dan dibiarkan oleh Modi untuk meraih sokongan dari penganut agama Hindui. Tetapi tanpa disedari, beliau telah meletakkan India di satu keadaan kritikal kerana negara diuruskan dengan satu pendekatan yang boleh mencetuskan rusuhan sesama penduduk.

6. Moga Allah memelihara umat Islam di India dan menyelamatkan mereka dari permainan jahat pimpinan mereka sendiri.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

Naib Presiden Isma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat