Empat golongan wanita pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan

Oleh : Akhma Deena Binti Khalid

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memasuki hari ke-7 hari ini. Masyarakat yang terpaksa menghadkan pergerakan mereka telah mengekspresikan pelbagai reaksi di laman media sosial sejak hari Rabu yang lalu. Namun, ayuh kita selami keadaan para wanita yang melalui fasa ini.

1. Wanita Terpaksa Bekerja
Golongan pertama ialah golongan wanita yang terpaksa bekerja. Mereka mungkin berada dalam kategori perkhidmatan penting (essential services) yang tidak boleh untuk dihentikan perkhidmatannya kerana sangat diperlukan oleh masyarakat awam. Namun, dalam golongan ini, terdapat segelintir wanita yang terpaksa berpisah dengan keluarga dan anak-anak melebihi waktu bekerja yang biasa kerana terlibat sebagai pasukan barisan hadapan (frontliners) yang bertanggungjawab mengendalikan kes-kes pesakit Covid-19 di setiap hospital seluruh Malaysia. Bayangkan, ada di antara mereka yang terpaksa menghantar anak mereka untuk dijaga oleh ahli keluarga lain di kampung kerana tuntutan kerja yang tidak tentu masa ini. Perpisahan ini mungkin mengambil masa dua minggu atau lebih. Selami perasaan mereka sedalam-dalamnya dan hargai mereka.

2. ‘Work From Home Mother’
Golongan kedua pula ialah golongan wanita yang berstatus bekerja dari rumah (work from home). Golongan ini dilihat lebih bernasib baik dari golongan yang pertama kerana sekurang-kurangnya mereka berkesempatan untuk berada di rumah bersama anak-anak. Namun, statusnya yang bekerja itu tetap mempunyai batas masa bersama anak-anak. Yang pastinya sepanjang waktu bekerja iaitu 9.00 pagi hingga 5.00 petang, masa dan tenaganya adalah milik majikannya. Mungkin ada majikan yang tidak terlalu ketat tentang perlaksanaan bekerja dari rumah ini. Namun sesetengah majikan memang mengharapkan kualiti kerja yang sama seperti bekerja di pejabat. Bayangkan, bagaimana seorang ibu mampu meluangkan masa beraktiviti bersama anak-anak kecilnya sedangkan dia sepatutnya bekerja. Akhirnya anak-anak dibiarkan seharian bersama pembantu rumah.

3. Sunyi Tanpa Teman
Golongan ketiga pula adalah wanita bujang yang tinggal sendirian di rumah sewa. Niat untuk balik ke kampung terhenti dengan penguatkuasaan PKP. Lebih malang lagi, jika rakan serumah pula nekad untuk pulang ke kampung lebih awal dan meninggalkannya sendirian tanpa teman. Namun, sekurang-kurangnya golongan ini tidak terperangkap dalam dilema pembahagian masa bersama ahli keluarga. Cuma sesekali pastilah perasaan sunyi itu akan datang menerpa juga.

4. Wanita Yang Beruntung
Jika kita bukan tergolong dalam ketiga-tiga golongan wanita tersebut, maka kita adalah golongan keempat. Hal ini membawa kita untuk menginsafi dan mensyukuri setiap kurniaan Allah kepada kita. Nikmat tidak perlu keluar bekerja, nikmat dapat berkumpul dengan anak-anak dan juga nikmat masa lapang untuk menyelesaikan kerja-kerja yang tertunggak selama ini. Perbanyakkan tahmid dan hargai setiap nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Sangatlah tidak wajar jika kita pula yang lebih merungut di media sosial dek kebosanan berhari-hari memerap di rumah dan melayan karenah anak-anak. Sedangkan wanita-wanita yang dalam golongan di atas hanya mampu berdoa siang dan malam untuk berada di tempat kita.

Pesanan untuk semua, walaupun bunyinya ‘cliché’ namun bersyukurlah dan bersabarlah.

عَنْ صُهَيْبٍ قَالَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Daripada Shuhaib RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”
(Hadith riwayat Muslim, No.Hadith : 2999)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat