FALSAFAH GENGGAM GELARAN PROFESOR DI USIA MUDA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Profesor Dr. Norbahiah Misran, telah memecahkan rekod tersendiri apabila mendapat gelaran profesor pada usia yang sangat muda, 36 tahun. Bahkan beliau juga pernah terlibat sama dalam Ekspidisi Penyelidikan ke Antartika pada 2007 sejurus selepas menghabiskan pengajian Ijazah Kedoktoran dari Belfast, UK.

Kini beliau yang memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem  di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekali lagi telah meledakkan dunia penyelidikan apabila telah berjaya mereka bentuk sebuah Antena Penampal untuk Satelit BIRDS-1 CUBESATS bersama rakan penyelidikannya Prof. Dr. Mohammad Tariqul Islam dan Dr. Mohd Fais Mansor.

Ya, mungkin ramai kita masih boleh berjumpa dengan wanita yang berada dalam dunia kejuruteraan sementelah dunia ini di kelilingi kelompok lelaki. Tetapi bagi anak kelahiran Felda Seri Pagi Jengka 17 itu bukanlah menjadi satu halangan buat Prof. Bahiah kerana segala apa yang diperoleh hingga ke hari ini adalah semua kerana ‘tuah’ dan izin yang Maha Esa.

‘Tuah’ yang dimaksudkan itu apabila pendakian menduduki tangga sekarang bermula dengan beliau mendapat peluang untuk terus melanjutkan pengajian ke Ijazah Kedoktoran melangkaui Ijazah Sarjana.

Sungguhpun begitu, beliau tidak mensia-siakan peluang tersebut. Datang ke Universiti of Queen’s Belfast seorang diri kemudian berkahwin dan meneruskan pengajian sehingga selesai.

Permulaan yang tenang, nampak sedikit goyah di akhir perjalanan apabila perlu menghabiskan penulisan tesis seorang diri, dek kerana suami perlu pulang bersama anak yang berusia setahun.

“Saya hampir putus asa. Hari-hari saya minta izin suami untuk balik meneruskan penulisan tesis di Malaysia. Suami yang ketika itu telah berada di Malaysia mendapatkan nasihat Prof. Dr. Mahamod yang merupakan penjamin pengajian PhD saya.  Prof Mahamod kata jangan balik, siapkan dulu! Prof Dr. Mahamod Ismail adalah seorang professor di jabatan yang sama.

“Memang terseksa juga waktu itu dengan seorang diri di sana. Jadi saya siapkan juga penulisan tesis dalam tempoh tiga bulan, memikirkan keadaan yang saya perlu pulang segera ke samping anak dan suami. Sehinggakan supervisor saya terkejut saya dapat habiskan cepat,” katanya.

“You write faster than I can read – itu komen supervisor saya”

Ujarnya, akan ada pengorbanan ‘air mata darah’ bagi sesiapa yang melanjutkan pelajaran ke tahap tertinggi. Cumanya dia tidak mahu mengingati segala perkara pahit sepanjang perjalanannya itu.

Baginya, dapat menyiapkan Ijazah Kedoktoran dengan jayanya banyak dibantu oleh penyelia yang sentiasa memotivasikan, bertimbang rasa dan bertolak-ansur. Penyelia yang sentiasa percaya pelajar yang diberi peluang akan boleh Berjaya.

“Penyelia saya Dr. Robert Cahill merupakan seorang yang sangat baik dan banyak memudahkan pengajian saya. Malahan sehingga sekarang dia sangat kagum dengan saya yang merupakan satu-satunya pelajar muslim dan wanita seliaan beliau ketika itu.

“Bukan itu sahaja, yang membuatkan dia kagum dengan saya kerana kemampuan menyiapkan penulisan tesis dalam masa yang singkat. Sebenarnya tulis cepat sebab nak balik cepat jumpa anak dan keluarga,” katanya.

Resepi kejayaan Prof Bahiah bukan sahaja dibantu oleh penyelia yang bagus tetapi kerana budi dan jasa pensyarah beliau (Prof Dr. Mahamod bin Ismail) yang sanggup menjadi penjamin beliau untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Saya sangat terharu dengan budi dan kepercayaan beliau terhadap saya. Di saat itu saya tidak ada sudara-mara atau kenalan yang sanggup dan berkemampuan untuk menjadi penjamin saya, beliau sanggup. Saya terpaku bila beliau terus sahaja turunkan tandatangan dokumen tanpa banyak soal”.

“Sekembali dari PhD saya bertanya mengapa beliau begitu yakin dengan saya? Prof Mahamod berkata, apa yang dilakukan ini adalah semua untuk kebaikan ummah dan dia tidak memikirkan yang saya akan tipu atau tidak kembali ke Malaysia lagi. Malahan baginya, mahu memudahkan urusan orang lain,” terang anak kedua daripada 11 beradik itu.

Rentetan dari situ, Prof. Bahiah belajar banyak perkara-perkara positif yang berlaku dalam hidupnya termasuklah mengubah sudut pandang hidupnya.

“Dalam menyelesaikan pengajian PhD, falsafah hidup saya banyak berubah. Tambah-tambah lagi apabila berada di kerusi tertinggi di jabatan (ketua). Saya selalu ingat suatu ketika dulu Prof Mahmud pernah memudahkan urusan saya untuk belajar, tapi sekarang mengapa tidak saya.

“Sebagai ketua sebolehnya saya akan cuba mudahkan urusan orang lain terutama kakitangan di bawah seliaan saya. Tidak perlu terlalu cerewet sehingga menyusahkan orang lain. Yang penting objektif tercapai dengan sempurna,” terangnya panjang lebar.

Sungguh beliau percaya yang Allah akan mudahkan urusannya, apabila membantu memudahkan urusan orang lain.

 

Nota :Prof Bahiah merupakan seorang aktivis Ikatan Muslimin Malaysia yang kisahnya dimuatkan dalam Majalah Harmoni terbitan Utusan Melayu pada 2017

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat