HOTEL TH : Kekalkan Hotel Patuh Syariah, walau bertukar pengurusan

 

  1. Tabung Haji (TH) adalah institusi kewangan yang menyimpan tabungan umat Islam di Malaysia untuk menunaikan ibadah haji khususnya. Sesuatu isu yang melibatkan tabung haji, menjadi sensitiviti umat Islam di negara ini.
  2. Terbaru, TH mengumumkan empat (4) rangkaian hotel TH di lokasi strategik iaitu di Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Sabah bakal menamatkan operasi berkuat kuasa pada 1 April depan serta terdapat perubahan nama baharu iaitu Raia Hotel.
  3. Persoalannya, mengapa hotel TH di lokasi strategik ini ditamatkan operasi pengurusannya dan diambil oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) di bawah syarikat milik Kementerian Kewangan? Sedangkan, rangkaian hotel TH adalah salah satu daripada institusi milik umat Islam di Malaysia dan kononnya perlu dijual kerana tidak mendatangkan pendapatan kepada TH. Padahal hotel TH Terengganu mencatatkan keuntungan setiap tahun. Adakah dengan penukaran pengurusan baru akan menjadikan hotel TH Terengganu terus mendapat keuntungan besar?
  4. Adalah sangat tidak wajar aset umat Islam dikawal oleh bukan Islam. Sewajibnya, diurus selia oleh pemimpin Muslim. Di saat genting ini, di mana Pemimpin Melayu Islam ketika aset Melayu Islam dimamah dengan begitu rakus?
  5. Semestinya Hotel Tabung Haji yang patuh syariah sangat dekat di hati umat Islam dan menjadi pilihan orang Islam untuk menginap. Patuh syariah yang dimaksudkan apabila berlaku operasi yang halal dan tidak melibatkan unsur haram dalam perniagaan. Hotel yang patuh syariah bukan sahaja melihat kepada aspek transaksinya yang halal malah kepada perkhidmatan yang sesuai dengan harga dikenakan.
  6. Pengguna berhak memilih hotel yang diurus oleh Muslim supaya tidak datang keraguan dari segi pemakanan halal, manakala pengurusan hotel mestilah menyediakan makanan yang halal dari aspek kualiti, diketahui sumber bahannya, memiliki sijil halal JAKIM dan mematuhi akta yang ada. Sekurang-kurangnya, Hotel patuh syariah memberi alternatif kepada orang Islam yang kurang selesa untuk menginap di hotel-hotel mewah.
  7. Hotel-hotel Tabung Haji yang sedia ada menjadi satu tanda kebangkitan penguasaan umat Islam dalam bidang perhotelan yang selama ini terpalit dengan imej berlakunya perhubungan bebas antara lelaki dan perempuan sehingga berlakunya penzinaan. Hotel-hotel ini adalah model kepada pengurusan patuh syariah yang menzahirkan panduan kepada kemunculan sistem pengurusan hotel Muslim dengan menekankan zon tutup aurat di mana pengunjung yang menginap menutup aurat dengan sempurna.

Ustaz Abdul Rahim Sudin

Yang di-Pertua (YDP),

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seberang Perai Utara (SPU)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat