Iffah dan kehormatan wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

WANITA adalah asas kepada masyarakat. Jika baik wanita maka baiklah masyarakat. Jika buruk wanita maka buruklah masyarakat.

Tanggungjawab mendidik generasi masa depan terletak di tangan para wanita. Kata-kata orang Melayu terdahulu “tangan yang menghayun buaian akan menggoncang dunia” menggambarkan betapa pentingnya wanita.

Justeru Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) ingin mengajak wanita dan lelaki di seluruh Malaysia pada tahun 2020 ini untuk mengambil satu langkah kehadapan dan menghargai wanita seperti mana yang telah digariskan Allah dan RasulNya.

Asas kehormatan seorang wanita yang digariskan oleh Islam adalah aurat, sifat malu dalam pertuturan dan pergaulan serta memelihara faraj daripada zina.

Datangnya Islam ke Tanah Arab membawa peranan yang besar dalam mengubah martabat seorang wanita bukan sahaja di Arab, malah di seluruh dunia.

Sebelum kedatangan Islam, wanita menjadi warga kelas kedua di setiap tamadun dunia dan dianggap sebagai objek pemuas nafsu semata-mata.

Tamadun Yunani umpamanya menganggap wanita sebagai alat untuk bersuka-suka dan berfoya-foya. Tamadun Rom pula memberikan hak atas seorang ayah atau suami menjual anak perempuan atau isterinya.

Manakala orang-orang Arab sanggup membunuh anak perempuan hidup-hidup dek kerana terbeban dengan pandangan serta perlakuan masyarakat terhadap wanita pada ketika itu.

Cahaya Islam terbit menerangi kegelapan itu melalui risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Kemuliaan dan hak wanita diangkat tanpa mengira kedudukan mereka dalam masyarakat sama ada golongan kaya mahupun miskin, bangsawan mahupun tidak.

Setiap wanita dianggap berharga hanya kerana mereka diciptakan sebagai wanita. Wanita diberi kewajipan dan tanggungjawan sesuai dengan fitrahnya.

Islam mempertanggungjawabkan lelaki untuk menjaga wanita, mendidik, memberikan nafkah, serta menjadi ketua keluarga.

Kedudukan wanita sebagai ibu diangkat dengan meletakkan syurga dibawah tapak kakinya.

Anak perempuan yang dididik dengan sempurna mampu menjadi pendinding api neraka bagi kedua ibu bapanya.

Bertitik tolak dari seruan Islam, masyarakat Arab tidak lagi meletakkan wanita sebagai warga kelas kedua, malah memuliakan wanita dan menjadikan mereka sumber rujukan dalam kehidupan sehari-hari.

‘Iffah

Menjaga ‘iffah bermaksud menahan diri dari melakukan perkara yang haram.

Wanita yang mempunyai ‘iffah bermaksud wanita bermaruah yang sentiasa memelihara dirinya dari melakukan perkara yang ditegah Allah.

Itulah wanita yang tidak menurut hawa nafsu dan mempunyai pendirian yang jelas tentang matlamat hidupnya. ‘Iffah adalah bagaimana seorang wanita muslimah memelihara dan menjaga kesucian dirinya dengan menjadikan malu sebagai pakaian mereka.

Malu adalah sebahagian daripada iman dan malu adalah akhlak Islam.

Bahkan Rasulullah ﷺ bersabda, “Jika engkau tidak malu, berbuatlah sesuka hatimu” (HR Bukhari).

Malu itu adalah satu sifat yang di dalam diri manusia dan sifat itu akan mendorong manusia untuk melakukan perkara-perkara terpuji serta meninggalkan apa yang dicela dan mengaibkan.

Sifat malu daripada melakukan sesuatu yang menyanggahi adab, tatasusila dan kerukunan masyarakat adalah satu sifat yang amat terpuji.

Sifat malu inilah yang akan menjadi benteng masyarakat daripada terjebak ke dalam krisis moral, keruntuhan akhlak dan kebejatan sosial.

Kemungkaran yang berlaku sebenarnya berpunca dari hilangnya sifat malu dalam diri manusia.

Kehilangan sifat ini akan menyebabkan seseorang berani melakukan maksiat secara terang-terangan baik di khalayak, apatah lagi bila bersendirian.

Malu yang dianjurkan oleh Islam ialah malu daripada melakukan perkara-perkara yang negatif sifatnya dan malu daripada meninggalkan perkara-perkara yang baik dan menguntungkan.

Seorang muslim mestilah bersifat malu dalam semua keadaan, tetapi sifat malu itu tidak menghalang kita dari memperkatakan kebenaran.

Jika seseorang itu mempunyai malu, imannya berada di dalam tahap yang selamat.

Hal ini kerana orang yang tidak memiliki sifat malu, mereka akan tenggelam dalam setiap perbuatan keji dan mungkar.

Apabila masyarakat dikuasai oleh sifat malu yang sejati, maka akan bersihlah masyarakat itu dari pelbagai jenis gejala sosial.

Sebaliknya, masyarakat yang penuh dengan gejala sosial, tandanya masyarakat itu telah luntur sifat malu dari anggotanya.

Hal ini dapat kita lihat dalam masyarakat kita sendiri. Hilangnya malu seorang ayah yang merogol anak perempuannya sendiri.

Hilangnya malu seorang anak gadis dan sanggup ditiduri beberapa orang lelaki berbeza.

Hilangnya malu pasangan lelaki dan wanita dan sanggup membuang anak yang dilahirkan di tong-tong sampah dan mangkuk-mangkuk tandas.

Aurat terpelihara kehormatan terjaga

Perintah menutup aurat dengan memakai tudung yang labuh menutupi dada, baju yang longgar dan tidak menarik perhatian merupakan landasan yang kuat bagi seorang wanita untuk menjaga kehormatan dirinya.

Hakikat ini jelas dalam surah al-Ahzab ayat 59 di mana Allah SWT berfirman yang bermaksud;

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (al-Ahzab: 59)

Di dalam ayat di atas, Allah SWT jelas mengatakan bahawa wanita-wanita yang menutup aurat adalah tanda kepada wanita yang baik-baik.

Ia juga menjadi pelindung daripada mereka yang cuba mengganggu. Saidatina Aisyah turut memuji wanita muhajirin kerana kesungguhan mereka menutup aurat seperti yang telah diwajibkan oleh Allah SWT.

Perkara ini diceritakan oleh beliau sendiri dalam riwayat Abu Daud yang menyebutkan:

“Semoga Allah merahmati kepada kaum wanita Muhajirin yang awal. Mereka, apabila Allah menurunkan ayat : وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ, mereka lantas mengoyakkan kain Murat (sejenis tekstil yang diperbuat daripada bulu bebiri) mereka lalu mereka jadikan sebagai tudung.”

Kehormatan wanita dicabar

Namun pada hari ini, kehormatan wanita semakin berani dirobek-robek oleh musuh-musuh Islam.

Lebih malang lagi apabila pelbagai hak dan keistimewaan yang diberikan oleh Islam kepada wanita dikatakan sebagai belenggu. Mereka mendakwa kononnya ulama-ulama menggunakan Islam untuk membelenggu wanita menerusi suruhan dan larangan yang terdapat dalam al-Quran dan hadis.

Sisters In Islam (SIS) umpamanya, yang memperjuangkan hak kesamarataan wanita dengan lelaki, mempertikaikan banyak perkara yang digariskan oleh Islam untuk wanita.

Antaranya perintah menutup aurat dan pemakaian tudung yang dianggap sebagai satu usaha merendah-rendahkan wanita, dan membayangkan seolah-olah wanita ini cacat dari segi mental, fizikal dan rohani.

Mereka juga memperjuangkan peningkatan had umur perkahwinan bagi wanita, namun sunyi sepi tentang kes-kes penzinaan yang banyak berlaku dikalangan remaja.

Tidak cukup dengan isu aurat, corak pergaulan wanita turut disasarkan.

Yang terbaru, isu “Sugarbook” yang juga adaalah usaha terancang untuk .menjatuhkan maruah wanita.

Pengasasnya menghiasi perbuatan menjadi “sugar baby” sebagai satu pemerkasaan terhadap wanita yang terbabit kononnya akan memperolehi kestabilan ekonomi melalui “pekerjaan” sebagai pelayan lelaki kaya.

Hakikatnya perbuatan ini merendahkan martabat wanita dengan meletakkan nilai mereka hanya sebagai pemuas nafsu sahaja, dengan mendapat upah yang picisan, saling tidak tumpah seperti zaman jahiliah.

Dalam Islam, seorang wanita hanyalah menjadi pelayan setia kepada suaminya dan pergaulan di luar batas dengan lelaki bukan mahram adalah perbuatan yang berdosa.

Sekiranya seorang wanita mengikut penetapan ini, dan golongan lelaki turut mempunyai rasa hormat terhadap wanita, nescaya banyak masalah sosial yang boleh dielakkan..

Cabaran wanita dalam memelihara ‘Iffah

Era globalisasi dan media sosial pada hari ini menjadikan kehidupan sebagai seorang wanita yang ingin menjaga kehormatan diri terlalu mencabar.

Kita dapat lihat golongan wanita yang kelihatan menjaga aurat dan ‘iffah di dunia nyata bertukar 180 darjah di alam maya.

Betapa ramai wanita pada zaman kini yang tanpa rasa segan silu mempertontonkan diri mereka termasuklah aurat.

Lebih parah lagi, ada sesetengah daripada masyarakat kita sendiri menganggap melakukan dosa sebagai perkara biasa, malah sesuatu yang boleh dipertontonkan dan dibangga-banggakan di media sosial.

Perkara ini tidak menghairankan kerana umat Islam pada saat ini sangat terpengaruh dengan budaya barat yang berasaskan kebebasan.

Wanita berlumba-lumba tampil cantik di depan khalayak umum demi mendapatkan populariti atau sekadar mendapatkan pujian.

Mereka mungkin menganggap dunia maya tidak sebahaya dunia nyata.

Hakikatnya dunia maya mungkin lebih merbahaya kerana kebebasan pengguna media sosial dalam mengakses maklumat-maklumat peribadi tidak terbatas.

Para muslimah masa kini kebanyakannya sibuk mempercantikkan fizikalnya hingga lupa mempercantikkan hati, ibadah, dan akhlaknya.

Seruan wanita Isma

Wanita Isma menyeru supaya kita menjadikan Tahun 2020 sebagai permulaan yang baru dan menanamkan azam untuk memelihara aurat, menjaga kehormatan serta menjaga pergaulan seperti yang digariskan oleh al-Quran dan sunnah.

Tahun baru ini juga seharusnya menjadi satu permulaan yang baik bagi semua wanita luar sana.

Bagi anak gadis, peliharalah kehormatanmu, bagi ibu-ibu, didiklah anak kita dengan akhlak yang mulia, bagi wanita bekerja, bekerjalah dengan amanah dan jagalah pergaulan di tempat kerja supaya tidak terjebak dengan pelbagai masalah berkaitan rumah tangga.

Bagi warga emas, keluarkanlah mutiara-mutiara kata untuk memandu generasi muda. Apabila setiap anggota masyarakat memainkan peranannya dengan sempurna, akan lahirlah sebuah masyarakat yang bertamadun dan sejahtera.

Ustazah Suriani Sudi
KETUA WANITA ISMA
3 Januari 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Tentang Isma

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) merupakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang memfokuskan pembangunan masyarakat melalui dakwah, pendidikan dan khidmat masyarakat.

Alamat

8-03-03A, Jalan Medan Pusat Bandar 7A, Bangi Sentral, 43650 Bandar Baru Bangi

03-8912 3838
03-8912 3939 (Fax)

salam@isma.org.my

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat