ISMA ucap tahniah, tawar kerjasama bangun ekonomi umat Islam di Kedah.

SETINGGI-TINGGI tahniah diucapkan kepada YB Muhammad Sanusi Md Nor serta kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) atas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar yang baharu selepas berlaku perubahan kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kita mengharapkan beliau akan mentadbir serta memimpin dengan lebih baik dan telus serta dapat memperkasakan lagi agenda-agenda Islam dan bangsa Melayu khususnya di negeri Kedah Darul Aman.

Walaubagaimanapun, saya ingin mengingatkan bahawa keutamaan pentadbiran baharu kerajaan negeri Kedah yang baharu ini haruslah diberikan kepada kebajikan rakyat bukan untuk menghapuskan parti lawan semata-mata. Jangan ulangi kesilapan-kesilapan kerajaan yang lalu, baik pada zaman Pakatan Rakyat, Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat dan mula bekerja keras membangunkan negeri Kedah dengan bersungguh-sungguh.

Kami, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang mempunyai cawangan-cawangan dan capaian-capaian yang meluas dan kuat di negeri Kedah akan sentiasa menjadi pemantau kepada perjalanan pentadbiran negeri Kedah serta sentiasa bersedia dan berbesar hati untuk menawarkan bakti kami untuk sama-sama membangunkan negeri Kedah terutamanya dalam konteks masyarakat Islam dan Melayu.

Kita mengharapkan agar kerajaan negeri tidak mengabaikan peranan NGO-NGO yang kebanyakkannya serba kekurangan tetapi tetap bekerja keras dan ikhlas berbakti di akar umbi masyarakat malah menjadikan kami sebagai rakan kerjasama strategik bagi membangunkan negeri. Banyak bidang yang boleh kita usahakan bersama terutamanya dalam membangunkan ekonomi umat Islam khususnya memperkasakan Kempen Beli Produk Muslim (BMF) di peringkat negeri Kedah secara rasmi.

Akhir sekali, kita mendoakan agar negeri Kedah akan dapat ditadbir dengan cemerlang yang akhirnya memberi manfaat yang melimpah ruah kepada rakyat. InsyaAllah.

Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat