Israa’ Mikraj : Pujukan Allah SWT Kepada Rasulullah SAW

Oleh : Ustaz Amar Ismat

Sempena Israa’ dan Mikraj pada hari ini, terkenang pula saat menapakkan kaki di bumi Thaif pada dua tahun lepas. Perjalanannya jauh, menaiki bas dari Makkah menelan masa 3-4 jam. Jalan yang dilalui pula di lereng-lereng bukit. Sepanjang perjalanan hanyalah pasir dan batu yang kering-kontang, tiada tanaman yang tumbuh subur melainkan sedikit.

Rasulullah SAW pergi ke Thaif dari Makkah, mencari sasaran dakwah baru setelah Quraisy (yang merupakan keluarga baginda) menolak dakwah Islam. Perjalanan yang panjang itu, yang disangka penduduknya merupakan prospek dakwah yang baik, menyambut baginda dengan cercaan dan balingan batu.

Selepas peristiwa itu, baginda SAW berehat di sebuah pohon dan mengadu kepada Allah dalam sebuah ungkapan syair yang sangat menyentuh jiwa:

“Wahai Allah Tuhanku, kepada-Mu aku mengadukan kelemahan diriku, kekurangan daya upayaku dan kehinaanku di hadapan sesama manusia. Wahai Allah Yang Maha Kasih dari segala kasih, Engkau adalah pelindung orang-orang yang lemah dan teraniaya. Engkau adalah pelindungku. Tuhanku, kepada siapa Engkau serahkan diriku? Apakah kepada orang jauh yang membenciku atau kepada orang dekat (keluarga) yang menguasai diri dan urusanku. Tetapi asal Kau tidak murka padaku, aku tidak peduli semua itu. Kurnia-Mu lebih luas bagiku, aku berlindung dengan cahaya-Mu yang menerangi segala kegelapan, yang karenanya membawa kebahagiaan bagi dunia dan akhirat, daripada murka-Mu yang akan Kau timpakan kepadaku. Engkaulah yang berhak menegurku sehingga Engkau meredhaiku. Tiada daya dan upaya kecuali dari-Mu”.

Manusia mana yang tidak luluh hatinya apabila dilakukan sedemikiran rupa. Datang dengan niat yang baik, tiada apa-apa kepentingan. Namun disambut dengan penuh hina luka di badan dan perasaan.

Tambahan pula ketika itu, tempat baginda berpaut kasih iaitu Khadijah RA dan Abu Talib telah meninggal dunia. Kalaulah manusia biasa boleh merajuk dengan majikan mereka, masakan pula Rasul yang bekerja untuk Allah boleh merajuk dengan majikannya sendiri?

Selepas peristiwa ini, Allah telah menganugerahkan baginda dengan kurniaan ISRAK dan MIKRAJ, sebagai pujukan dan rangsangan kepada Rasulullah SAW. Allah memahami hati budi baginda. Allah memberi peluang kepada Rasulullah untuk bertemu dengan para anbiya’ terdahulu, yang telah melalui jalan yang sama serta berhadapan dengan pelbagai dugaan dan mehnah seperti baginda.

Itulah tabiat dakwah dan perjuangan, ia tidak akan bergerak melainkan di hadapannya ada ujian dan cabaran..

Salam Israk dan Mikraj 1441H.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat