Isu langgar PKP, pihak polis dan dilema hak asasi barat

Merujuk kepada kes tindakan yang akan dikenakan kepada pegawai polis yang merotan remaja engkar PKP menggunakan ranting kayu dan pegawai polis yang meninggikan suara kepada pemuda engkar PKP yang memarahi polis, tulilsan ini ditulis. Pautan di bawah dirujuk dan gambar diambil dari myMetro.

Pegawai polis rotan remaja dikenakan tindakan

Video polis tinggi suara, siasat semua pihak

Inilah dilema yang akan kita hadapi apabila kita mula mengambil hak asasi manusia versi Barat sedikit demi sedikit. Perkara yang sama kalau berlaku di awal kemerdekaan dahulu, ia dianggap biasa sahaja dan tidak ada sesiapa yang akan mempertikaikan tindakan pihak polis tersebut. Tetapi dengan penerapan sedikit demi sedikit hak asasi manusia versi Barat ini, tindakan seumpama ini akan mengundang pertikaian dan perbahasan panjang. Samalah seperti isu guru disiplin dan murid di sekolah yang saban hari ada sahaja kes yang mengundang polemik.

Hak asasi manusia versi Barat mempunyai ciri-ciri tertentu yang membezakannya dengan hak asasi manusia berdasarkan nilaian dan neraca Islam. Oleh kerana ia lahir dari falsafah yang berbeza, maka natijahnya juga akan berbeza di dalam realiti kehidupan.

1. Hak asasi manusia versi Barat lahir dari falsafah ‘humanisme’ yang menjadikan kehendak manusia sebagai kuasa tertinggi. Dari situ manusia bersaing untuk merebut kuasa Tuhan dalam menentukan bagaimanakah dunia dan kehidupan ini disusun.

2. Dari falsafah itu, dapat difahami bahawa hak asasi manusia versi Barat bukan sekadar memberikan hak kepada manusia tetapi sebaliknya akan menjadikan kebenaran sebagai suatu yang tidak lagi ada kaitan dengan wahyu atau perlembagaan. Kebenaran akan menjadi suatu yang abstrak. Apa sahaja yang dikehendaki oleh manusia, maka ia adalah kebenaran dan hak.

3. Hak asasi manusia versi Barat akan menjadikan jenayah sebagai bukan jenayah dengan apa juga cara. Kenapa? Congaknya mudah; kerana manusia mahu melakukan jenayah. Dari situ kita lihat di Barat rumah pelacuran dan pusat judi diberikan lesen, penagih dadah diberikan hak untuk memiliki dadah pada kadar tertentu, rasuah politik digubal menjadi sumbangan, pasangan gay boleh berkahwin secara rasmi di gereja dan sebagainya.

4. Hak asasi manusia versi Barat akan memberikan hak yang banyak kepada pesalah undang-undang bahkan mungkin melebihi hak mangsa jenayah itu sendiri. Kita akan lihat pejuang hak asasi manusia versi Barat ini memperjuangkan nasib pesalah dengan bersungguh-sungguh kerana asas pemikiran mereka adalah di sana tidak ada kesalahan, yang ada hanyalah hak.

5. Hak asasi manusia versi Barat tidak akan membincangkan sama sekali tentang tanggungjawab. Hak diberikan kepada manusia secara bulat, tidak langsung disertakan dengan tanggungjawab. Kecualilah jika tanggungjawab itu dilihat memberikan hak kepada manusia; seperti tanggungjawab penganjur keraian ramai untuk menyediakan tong sampah khas (drug bin) untuk penagih dadah membuang dadah mereka sebelum menghadiri keraian. Itulah kerangka asas tanggungjawab dalam falsafah hak asasi manusia versi Barat ini.

Dilema yang akan kita hadapi dalam kes pegawai-pegawai polis tadi … siapakah yang sepatutnya dibela? Remaja dan pemuda yang engkar arahan PKP? Atau pegawai polis yang merotan menggunakan ranting kayu dan yang meninggikan suara dengan tujuan arahan PKP dipatuhi?

Pandangan saya, jika kita ada SOP, kita ikutlah SOP. Tapi kalau SOP dilanggar dengan tujuan menyelamatkan nyawa, pihak atasan gunalah budi bicara kalau nak ambil tindakan terhadap pegawai-pegawai polis tersebut. Jangan beri ruang kepada budaya ‘melanggar peraturan adalah hak manusia’. Mahal harga yang negara perlu bayar apabila budaya itu bertapak di negara kita.

Wallahu a’lam.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat