Jadilah manusia terbaik pada bulan Syaban ini

Oleh : Ustazah Jamiah Wahab

“Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”

Berkat bermaksud berkembang atau bertambah. Menurut Imam Nawawi Rahimahullah pula, berkat bermakna kebaikan yang banyak.

Lantaran banyaknya kekurangan dan kelemahan kita sebagai seorang hamba, ibu bapa, anggota masyarakat, rakyat dan sebagainya Allah sentiasa menyediakan ruang dan peluang seluas-luasnya bagi manusia untuk ‘top up’ dan mengecas tabung kebaikan (khairat) masing-masing sepanjang masa.

Kita berada di awal bulan Syaaban dan gerbang Ramadan akan terbuka kira-kira tiga minggu lagi untuk kita masuk ke dalamnya. Itu pun sekiranya masih dipinjamkan dan dipanjangkan umur.

Jasad kita juga telah terkurung di rumah selama lebih kurang dua minggu. Namun begitu kita masih mewah dengan perlbagai makanan dan menu di dapur, api air masih ada, semua gajet masih berfungsi. Televisyen, ‘Whassap’, ‘facebook’, ‘instagram’ tetap aktif.

Namun hari ini, setiap hari kita menyaksikan seorang demi seorang kita berpindah ke alam barzakh. Mata kita laju menatap angka orang yang dijangkiti wabak yang merungsingkan semua manusia tatkala ini. Esak tangis keluarga yang ditinggalkan amat menghiris tangkai hati.

Sakit dan musibah penghapus dosa

Abu Said al Khudri dan Abu Hurairah meriwayatkan bahawa semua musibah dan penyakit yang menimpa orang beriman dan mereka bersabar dengannya akan menghapuskan dosa-dosa dan kesalahan mereka.

Rasulullah SAW memuji keajaiban sifat seorang mukmin dalam menanggapi apa jua situasi samada suka maupun duka.

“Amat menakjubkan urusan seorang mumin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat nikmat akan bersyukur, maka itu baik baginya. Jika ditimpa musibah dia akan bersabar, maka itupun baik baginya” (Hadis Riwayat Muslim)

Bagaimana menggarap berkat dalam situasi ujian seperti ini?

Daripada Ma’qil bin Yasar RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Beribadah pada masa keadaan kacau bilau adalah seperti hijrah kepadaku (pahalanya)” (Hadis Riwayat Muslim)

Justeru, kembalilah kepada Pencipta segala sesuatu yang Maha Kuasa dengan bertaubat. Solat sunat taubat dan istighfar akan menyucikan jiwa dan batin kita yang berkeladak dengan dosa. Istighfar juga dapat mengangkat dan menghilangkan musibah yang melanda.

Selain itu, ibadah sunat adalah penguat kita. Istiqomahlah dengan solat berjemaah dan solat-solat sunat yang lain. Puasa, tilawah al-quran, zikir, perbanyakkan doa dan sedekah sebagai persediaan menjelang hari pendaftaran ke madrasah Ramadan nanti. Nabi SAW sendiri banyak berpuasa pada bulan Syaaban.

Allah SWT berfirman dalam Surah al Hajj ayat 77 bermaksud: “Perbuatlah kebaikan (wahai manusia) nescaya kamu akan mendapat kejayaan”

Marilah kita bersama-sama membantu mengikut kemampuan kita. Hulurkan tangan, ringankan beban saudara-saudara kita sama ada mereka yang berada di barisan hadapan mahupun golongan yang tersepit dan terhimpit dengan situasi yang berlaku kini iaitu mereka yang susah, fakir dan miskin.

Rasullah SAW bersabda :

Pertolongan Allah kepada hamba-Nya selama mana seseorang itu menolong saudaranya yang lain”

Siapakah yang terbaik di sisi Allah?

Allah SWT berfirman dalam Surah al Baqarah, ayat 155 yang bermaksud, :

“Kami pasti menguji kamu dengan sedikit rasa takut, lapar, kekurangan harta dan kehilangan hasil kerja. Maka bergembiralah orang-orang yang sabar”

Allah berfirman juga dalam Surah al Mulk ayat 3 bermaksud, :

“Dialah yang menjadikan hidup dan mati untuk menguji kamu siapakah yang terbaik amalannya”

Pada musim seluruh dunia diuji dengan wabak ini siapakah orang yang paling baik di sisi Allah SWT? Adakah manusia yang diuji Allah dengan wabak ini? Adakah mereka yang bertugas di barisan hadapan? Atau kebanyakan kita yang perlu mematuhi arahan untuk duduk di rumah tatkala ini?

Alangkah luar biasanya musim ini. Allah membuka pintu maghfirah dan syurga-Nya seluas langit dan bumi untuk semua golongan menjadi orang yang luar biasa dengan hanya satu kata kunci,,”ahsanu amala” (yang terbaik amalannya), tidak kira di manakah posisinya, jawatannya, lelaki atau wanita, tua atau muda, di kampung atau di bandar, kaya maupun miskin.

Jadikanlah diri kita orang yang bermanfaat untuk negara dan bangsa. Lihatlah semua perkara dengan kaca mata positif dan hikmah. Kawal tingkah laku dan lidah daripada menyakiti orang. Janganlah menjadi beban dan menyusahkan orang lain. Memudahkan urusan orang juga adalah sedekah. Orang yang terbaik amalannya sudah pastilah orang yang bersabar tatkala diuji. Maka keberkatan hidup akan dapat dirasai.

Marilah kita bersegera menjadi orang yang terbaik di bulan Syaaban yang mulia ini agar ruh dan jasad kita suci daripada sebarang wabak. Moga kita diizinkan oleh Allah menjadi hambanya yang bersedia untuk mengabdikan diri tatkala masuk ke bulan Ramadhan al Mubarak nanti.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat