JAGA PERINTAH ALLAH, KUNCI KEJAYAAN SPM 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Oleh M Naim Yusof

K. TERENGGANU,7 Mac – Anak-anak aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Kuala Terengganu yang menduduki Sijil Pelajaran Malysia (SPM) pada tahun 2019 rata-rata memperoleh keputusan cemerlang.

Lebih membanggakan lagi, Engku Sofiyyah Hanan binti Engku Omar Amiruddin merupakan anak kepada Yang Di-Pertua (YDP) Isma K. Terengganu memperoleh keputusan 11A dan dianugerahkan pelajar terbaik di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Shaikh Abdul Malik.

Antara rahsia didikan keluarga yang dikongsikan oleh Ustaz Engku Omar Amiruddin bin Engku Ali, YDP Isma K. Terenganu adalah dengan memberikan didikan seimbang antara dunia dan akhirat, serta sentiasa meletakkan urusan kita dengan Allah SWT di depan tanpa membelakangkan urusan keluarga.

Menurut beliau, keputusan cemerlang ini merupakan anugerah daripada Allah SWT. Walaupun sibuk dengan urusan dakwah dan kegiatan masyarakat, urusan membina keluarga tidak seharusnya diketepikan dan kebergantungan harus diletakkan sepenuhnya kepada Allah SWT dengan menjaga semua ketetapan-Nya.

“Semua keputusan adalah kurniaan Allah. Usaha kita terlalu kecil, Allah yang Maha Pemurah kurniakan lebih dari itu. Antara amalan yang dipegang dalam menguruskan keluarga ialah dengan sedaya upaya memastikan pendapatan rezeki yang diperolehi adalah halal dan diredhai Allah,”katanya.

Tambahnya lagi kerjasama dan komunikasi yang berkesan antara suami dan isteri juga amat penting bagi memastikan urusan keluarga berlaku dengan baik.

“Kerjasama daripada isteri saya yang sabar melayan keranah anak-anak seramai 10 orang selain berkhidmat kepada ibu bapa yang sudah tua amat membantu, dan mungkin penyebab urusan kami sekeluarga dimudahkan,” ujarnya lagi.

Turut mendapat keputusan 11 A, Fatimah Azzahra binti Shaikh Sabri, merupakan anak kepada bendahari Isma K. Terengganu yang juga mendapat anugerah pelajar terbaik SPM SMAA Sultan Zainal Abidin.

Manakala, Muhammad Naufal bin Nujaimin dan Afif Ramadhan bin Kamaruddin masing-masing mendapat 11A 1B dan 7A 2C,

Dapat dilihat bahawa kesibukan keluarga masing-masing dalam urusan dakwah dan pengurusan organisasi tidak menghalang mereka untuk cemerlang dalam pembelajaran mereka.

Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada guru-guru mereka dan pihak sekolah yang telah bertungkus lumus mendidik dan membimbing mereka dalam pelajaran. Kejayaan ini merupakan satu titik permulaan untuk kejayaan yang lebih besar. Diharapkan pada masa akan datang mereka ini dapat menyumbang kembali kepada bangsa dan agama mereka demi mengembalikan kembali kegemilangan tamadun Melayu Islam kita yang hebat ini.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat