JANGAN LEWAT AMBIL RAWATAN APABILA DISAHKAN KANSER

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Ketika bertugas sebagai wartawan di salah sebuah agensi media tertua di Malaysia, menjadi satu kebiasaan untuk menemubual doktor dan pesakit kanser terutama bila tibanya sambutan Hari Kanser Sedunia yang disambut setiap 4 Februari setiap tahun.

Pada ketika itu banyak kisah dan pedoman yang mereka kongsikan terutamanya selaku pesakit kanser ataupun bekas pesakit kanser.

Ada satu kisah yang sehingga kini masih segar diingatan tentang seorang pesakit kanser payudara berusia 40- an yang cuba ‘lari’ daripada rawatan hospital apabila telah disahkan menghidap kanser.

Beliau yang juga seorang ibu pada awalnya memilih untuk berubat dengan tabib cina dek kerana takut dengan pembedahan dan lebih percaya dengan rawatan alternatif.

Malangnya, kanser masih tidak sembuh bahkan telah merebak ke organ dalaman lain akibat lambat mendapat rawatan.

Akhirnya beliau kembali ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan setelah dinasihatkan oleh keluarga serta doktor.

Mujur pada ketika itu beliau masih bersemangat untuk mendapat rawatan dan memilih kaedah perubatan rawatan kanser yang dicadangkan oleh pihak hospital.

Melihat kepada situasi tersebut, kita tidak boleh menyalahkan mereka, kerana boleh jadi situasi ‘mendesak’ yang membuatkan pesakit cuba mendapatkan apa juga kaedah yang dikatakan terbaik untuk sembuh dari penyakit yang boleh membawa maut ini.

Tetapi perkara ini jika dibiarkan sangat membimbangkan kerana mengikut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016  sebanyak 60 peratus daripada individu yang mendapat kanser ini lambat mendapat rawatan iaitu pada tahap ketiga dan ke empat.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Zulkefly Ahmad pula,  terdapat segelintir masyarakat di Malaysia yang lebih menaruh kepercayaan dengan menjadikan rawatan alternatif sebagai kaedah penyembuhan utama apabila berhadapan dengan penyakit kanser.

Sedangkan penyakit ini boleh dirawat sekiranya segera mendapat rawatan hospital, dan kos perubatan akan lebih kurang berbanding jika penyakit sudah merebak.

Seperti yang dilaporkan dalam Berita Harian, Dr. Aizan Sofia Amin yang juga bekas pesakit kanser tulang menasihati mereka supaya segera menjalani pemeriksaan sekiranya sudah sedar dengan perubahan diri dan jangan takut supaya ianya tidak memberi ruang kepada penyakit itu untuk terus berkembang.

 

Nursabihah Mohtar

Ketua Pengarang ,

Biro Komunikasi Korporat Ikatan Muslimin Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat