Janji populis zon khas perokok, Zuraida kejar populariti

BANGI, 11 Jan– Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin sepatutnya memperuntukkan wang ke arah usaha mengurangkan ketagihan merokok, berbanding merancang membina kawasan khas untuk perokok di tempat awam.

Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Suriani Sudi berkata, peruntukan RM1 juta bagi membina tempat merokok itu dilihat sebagai tiada keperluan sama sekali, kerana ia tidak mengurangkan amalan merokok bahkan lebih menggalakkannya.

Beliau berkata, sedangkan usaha kerajaan menguatkuasakan larangan merokok di premis makanan sejak 1 Januari lalu juga tidak dipandang serius oleh golongan perokok, apatah lagi jika ada peruntukan khusus untuk kemudahan mereka.

“Zon merokok yang disediakan lebih besar dari zon larangan merokok, malah kelihatan lebih selesa. Penyelesaian tidak menumpukan kepada ‘root cause’ sebaliknya menggalakkan lagi orang untuk turut serta.

“Pernah ada syarikat korporat yang ada bilik merokok khas di pejabat. Bila bos besar dan berpengaruh yang merokok berada di situ, anak-anak buah juga cenderung untuk berada di situ juga, malah pekerja yang selama ini tidak merokok pula terjebak sekali atas nama ‘social smoke’.

“Adakah selepas ini akan ada pula zon penagih dadah, zon mat rempit dan sebagainya?,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Zuraida dilaporkan berkata, KPKT akan memperuntukkan RM1 juta bagi pembinaan kawasan merokok di tempat awam termasuk kawasan komersial dan medan selera milik 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

“Bagi pemilik restoran atau kedai makan (persendirian), kita mempunyai garis panduan yang akan dikeluarkan KPKT berhubung perkara terbabit di mana mereka perlu memohon kebenaran daripada PBT untuk membina kawasan khas merokok dalam skala kecil termasuk premis yang berada dalam lot kedai.

“Namun bagi kawasan awam pula, PBT diminta membuat permohonan peruntukan kepada KPKT untuk menyediakan kawasan khas merokok dengan KPKT memperuntukkan setiap sebuah pembinaan kawasan merokok itu kira-kira RM5,000, ” kata Zuraida.

Serentak itu, Dr Suriani mengingatkan Zuraida supaya tidak ‘mengejar’ populariti dengan cadangan-cadangan populis seumpamanya yang dilihat tiada manfaat kepada masyarakat.

“RM1 yang diperoleh daripada hasil jualan rokok tetapi lebih empat kali ganda perlu dibelanjakan untuk rawatan akibat rokok. Peruntukan boleh dibelanjakan untuk rawatan akibat komplikasi merokok.

“Sebelum ini kementerian kesihatan telah mengisytihar larangan merokok di premis makanan. Nampak perokok dah tak ambil kisah larangan itu, kemudia ditambah dengan peruntukan RM1 juta untuk sediakan zon khas kepada mereka, maka tiada jaminan mereka akan patuh,” katanya.-Ismaweb

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat