Kaji kasut hitam: Selesaikan isu dasar dahulu

BANGI, 16 Jan – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya menyelesaikan isu-isu dasar terlebih dahulu berbanding mengkaji semula pelaksanaan pemakaian kasut dan stoking hitam pada sesi persekolahan.

Menyifatkan kajian itu sebagai tidak penting, Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan berkata, kementerian itu harus mengutamakan penyelesaian isu perpaduan kaum melalui pendidikan seperti pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sekolah vernakular, selain mengangkat profesion perguruan.

“Kurangkan beban tugas guru dan angkat pendidikan kita setaraf dengan negara maju,” katanya.

Terdahulu, KPM akan mengkaji semula pelaksanaan pemakaian kasut dan stoking berwarna hitam secara beransur-ansur pada sesi persekolahan 2019 hingga 2021.

Dalam satu pekeliling yang diedarkan semalam, Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, Datuk Mohd. Jamil Mohamed berkata, kementerian berpandangan bahawa terdapat keperluan untuk melaksanakan kajian tersebut berdasarkan dapatan yang diperolehi dari pihak sekolah.

“Sehubungan dengan itu KPM memohon kerjasama pihak sekolah dalam membantu kajian ini dengan melengkapkan maklum balas bagi soalan kajian yang boleh diakses secara dalam talian.

“Adalah dimaklumkan bahawa kajian ini perlu diselesaikan oleh pihak sekolah sebelum atau pada 22 Januari 2020,” kata Mohd Jamil.

Surat pekeliling pelaksanaan pemakaian kasut dan stoking berwarna hitam itu dikongsi oleh Facebook Friends of Maszlee Malik.

Dasar kasut hitam diperkenalkan oleh bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik pada 29 Julai 2018 sebaik sahaja dilantik ke jawatan tersebut. – Ismaweb

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat