Kebebasan Bersuara Jangan Disalah Guna

Oleh : Norrasidah Binti Masnon

Kecoh di media sosial seminggu dua ini tentang isu Al-Jazeera dan berita separuh masaknya.

Pelbagai maklum balas boleh dilihat samada dari pihak berautoriti hingga ke warga netizen di media sosial tentang perkara ini.

Ada yang bersetuju dan ramai juga yang menganggap ini sebagai satu agenda untuk memecah belahkan keharmonian negara. Pada hakikatnya setiap dari kita berhak untuk memberikan pendapat dan pandangan sesuai dengan kefahaman kita.

Kita diberikan kebebasan bersuara oleh kerajaan tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai asas kepada sebuah kerajaan demokrasi bagi menjamin kebebasan asasi manusia.

Bahagian II Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan yang antaranya membolehkan kita bebas bercakap, berhimpun dan berpesatuan seperti terkandung dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Namun, dalam keseronokan kita memberi pendapat biarlah ianya terpandu kepada hakikat kebenaran dengan fakta yang tepat. Bukan bertujuan untuk memanipulasikan sebagai alat mencapai matlamat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sebagai orang Islam kita diajar untuk meneliti setiap berita yang kita dengar. Surah Al-Hujurat ayat 6 perlu dijadikan panduan. Ayat ini mengajarkan kepada kita betapa Allah menegaskan supaya sesuatu berita itu perlu diselidiki terlebih dahulu akan kesahihannya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Rasulullah SAW juga membimbing kita dalam perkara ini melalui sebuah hadith daripada Abu Hurairah r.a yang bermaksud, “barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hakikatnya kebebasan bersuara yang diberikan kepada kita wajib digunakan sebaiknya sebagai alat untuk menyampaikan sesuatu yang tepat berlandaskan syariat Islam dan undang-undang negara.

Jangan sampai lidah kita menipu tanpa sedar dan lebih buruk lagi kita menjadi lidah musuh agama dan negara. Berfikir dalam neraca liberal dan bertindak mengikut kehendak nafsu semata-mata.

Berkatalah yang betul walaupun pahit. Tegakkanlah yang benar walaupun sedikit. Carilah ilmu, agar diri sentiasa terpandu.

Sampaikan yang makruf dalam setiap huruf. Tinggalkan yang mungkar walaupun ia sukar.
Berdoalah supaya Allah sentiasa memandu kita di jalan yang lurus.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat