Kisah Al-Fiil versi akhir zaman, sikap manusia sombong

Seperti kebanyakan kita tahu, Surah Al-Fiil merupakan satu kisah yang menceritakan tentang tentera bergajah yang diketuai oleh Abrahah untuk menghancurkan Ka’abah. Walaupun surah ini pendek dan hanya mempunyai lima ayat, namun pengajaran tersiratnya cukup untuk membasahkan jiwa manusia yang kontang.

Tentera bergajah merupakan pasukan yang hebat ketika itu. Akibat dari sifat sombong manusia, akhirnya, kehebatan yang dilihat gah hanya dikalahkan dengan kehadiran tentera Allah berupa burung-burung kecil yang membawa azabnya hingga mereka menjadi seperti daun-daun yang dimakan ulat.

Begitulah realiti kehidupan manusia yang hidup di akhir zaman saat ini. Kesombongan dan lupa diri hingga mencabar kuasa Allah telah memancing azab Allah untuk menimpa penduduk Bumi. Kerosakan itu berpunca daripada golongan yang sedikit tetapi kesannya menimpa seluruh pelusuk Bumi sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Anfal ayat 25 yang bermaksud:

Dan peliharalah dirimu dari seksaan yang tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Ketahuilah bahawa Allah sangat berat seksaan-Nya.”

Kini, kedamaian dan keamanan telah Allah cabut. Keegoan dan keangkuhan musnah diratah wabak Covid-19. Akhirnya, kita dapati banyak kubur sudah digali menanti penghuni. Begitulah Allah S.W.T mendidik kita untuk percaya bahawa Dia berkuasa atas setiap sesuatu yang berlaku.

Sebagaimana firman Allah SWT di dalam al-Quran, Bukankah engkau telah mengetahui bahawasanya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi? Sesungguhnya yang demikian itu ada tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz); sesungguhnya hal itu amatlah mudah bagi Allah.” (Surah Al-Hajj ayat 70)

Semoga peringatan ini membuatkan semua manusia kembali mengamalkan hak-hak Islam dan membina kembali tembok keimanan dengan tawaduk dan takwa agar dosa-dosa kita diampuni Allah serta ujian yang diberi segera diangkat.

 

Oleh Norfaiezah A.Rahman

Aktivis Isma Seperang Perai Utara

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat