‘Kita bimbang Tun akan dikenang sebagai pengkhianat bangsa’

Saya terkejut membaca tulisan Tun Mahathir baru-baru ini di mana beliau sekali lagi menghina dan merendah-rendahkan orang Melayu dengan tuduhan-tuduhan dan hujah-hujah yang cetek dan tidak berasas.

Beliau menuduh orang Melayu takut pada DAP yang akan menghancurkan Melayu. Bagi saya, tuduhan ini adalah sangat tidak benar dan menyimpang. Ini bukan kali pertama, kedua atau ketiga Tun M memfitnah dan menghina orang Melayu. Hakikat sebenarnya ialah orang Melayu tidak takut pada DAP, tetapi benci kepada DAP.

Saya teringat lagi apabila Tun menghina orang Melayu ketika berada di pentas Kongres Maruah Melayu tahun lalu yang mana ketika itu saya rasa sangat tercabar terhadap hinaan Tun terhadap bangsa saya. Mungkin jika ungkapan sebegini berlaku untuk kali pertama atau kedua, bolehlah kita ambil dan tafsirkan sebagai nasihat dan kritikan bagi membangkitkan semangat orang Melayu untuk menjadi lebih baik. Tetapi apabila kata-kata sebegini sudah diucapkan dan diulang berkali-kali, maka saya merasakan bahawa memang sudah ada keyakinan dalam hati Tun M bahawa orang Melayu ini memang lemah dan lekeh.

Kita tidak nafikan bahawa ada pemimpin-pemimpin yang berbangsa Melayu yang memang rosak dari segi integritinya dan sebagainya. Tetapi Tun tidak boleh terus membuat konklusi dan pukul rata bahawa orang Melayu sememangnya lekeh dan lemah sebegini.

Saya tidak pasti apa sebenar-benarnya pandangan Tun tehadap DAP. Seingat saya pada ketika Tun menjadi Perdana Menteri sejak tahun 1981 lagi Tun melabelkan DAP sebagai sebuah parti rasis, cauvinis dan sebagainya yang akan merosakkan negara dan orang Melayu secara khususnya. Ungkapan sebegini bukannya sekali, tetapi telah menjadi ratiban selama berpuluh-puluh tahun. Tetapi secara tiba-tiba, apa yang diperkatakan selama puluhan tahun itu berubah pula dalam sekelip mata hanya kerana perkelahian dengan seteru politik sahaja?

Sebenarnya, jika mahu disenaraikan bukti bahawa DAP adalah sebuah parti yang merosakkan negara dan khususnya orang Melayu memang terlalu banyak. Tidak cukupkah pemerintahan 22 bulan mereka? Saya ambil satu contoh sahaja, seruan DAP iaitu ‘Malaysian Malaysia’ sudah cukup membuktikan bahawa mereka mahu menghapuskan Melayu sebagai identiti dan sejarah negara dan seolah-olah di Malaysia ini tiada lagi bangsa dan kaum tetapi hanya ‘Malaysian’ sahaja. Sedangkan sejarahnya, ini adalah Tanah Melayu yang berdaulat serta Islam merupakan agama negara. Malah, DAP sendiri adalah penentang kuat kepada falsafah dan status Malaysia Negara Islam.

Kita tidak pasti, apakah Tun memang tidak nampak akan hakikat perjuangan DAP ini. Bak kata sesetengah orang, jika masih ada orang Melayu yang tidak nampak lagi akan kefasadan pemikiran dan visi DAP yang sudah terang lagi bersuluh melalui segala apa yang mereka ucapkan, lakukan dan perjuangkan selama ini, maka mungkin hatinya sudah buta dan gelap.

Namun, saya yakin bahawa Tun bukanlah orang yang dimaksudkan ini tetapi mungkin kerana kegagalan Tun mencapai hasrat dan cita-citanya maka Tun menjadi marah dan hilang pertimbangan sebegini sehingga sanggup bekerjasama dengan DAP, ‘memuliakan’ mereka dan akhirnya menghina bangsa Melayu. Bagi saya, ini sesuatu yang cukup luar biasa dan malang sekali.

Ya, tahniah kepada Tun kerana satu ketika dahulu telah berjaya menumbangkan sebuah kepimpinan yang banyak masalah integriti. Sekarang ini telah dibangunkan sebuah kerajaan Melayu Islam selepas tumbangnya pula sebuah kepimpinan yang jauh lebih bermasalah. Saya tidak nafikan, kerajaan baru ini tidak sempurna, masih ada kekurangan dan banyak yang harus diperbaiki. Namun, dengan adanya kekurangan yang ada pada pemimpin Melayu, tidak bermakna kita boleh terus menerima sebuah organisasi yang sejak sekian lama lagi, malah sejak peristiwa 13 Mei lagi yang tidak berputus asa menegakkan cita-cita mereka sehingga sekarang.

Kalau bercakap mengenai kleptokrasi pula, Tun mesti ingat bawa Tun telah memerintah dua kali iaitu selama 22 tahun dan satu lagi selama 22 bulan. Maka, ‘kleptokrat-kleptokrat’ ini lahir di bawah didikan Tun sendiri. Seingat saya, jarang kita mendengar masalah-masalah korupsi yang berlaku sebelum zaman Tun menjadi Pedana Menteri. Tetapi sejak era Tun menjadi Perdana Menterilah banyak kita mula dengar mengenai kronisme, nepotisme, salahguna kuasa dan sebagainya. Pada era itu jugalah banyak tauke-tauke dan taikun-taikun Cina yang ‘naik’ di mana kebanyakannya adalah kroni-kroni Tun juga. Takkan Tun tidak sedar atau lupa hakikat ini? Atau Tun sengaja mahu dipadamkan dari ingatan rakyat?

Jadi, Tun mesti menginsafi diri kerana orang Melayu sudah mual dengan kritikan-kritikan yang tidak berasas ini. Saya nasihatkan agar Tun banyakkan beristighfar di bulan yg mulia ini. Marilah kita sama-sama bina negara ini. Yang lemah kita perbaiki. Yang lepas itu kita sama-sama ambil sebagai pengajaran.

Saya sangat berharap agar Tun diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk memikirkan semula segala hinaan Tun terhadap orang Melayu yang tidak berasas itu sebelum terlambat. Mungkin ada cita-cita Tun yang masih belum tercapai yang menyebabkan Tun ‘melatah’ sebegini.

Cukup-cukuplah. Tun dan keluarga sudah dapat segala-galanya; kuasa dan pangkat yang tinggi serta harta yang melimpah ruah. Biarlah orang lain menerajui negara pula. Masih ramai lagi yang bersih dan berkebolehan memimpin negara. Bukan Tun sahaja yang boleh memimpin.

Saya yakin bahawa orang Melayu sudah tidak melihat ungkapan-ungkapan Tun ini sebagai nasihat atau kritikan yang membina. Saya bimbang jika sebelum ini, Tun dikenali sebagai seorang negarawan tetapi akhirnya akan dikenang sebagai pengkhianat kepada bangsa. Bertaubatlah.

Hj Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat