Korban lembu wagyu, mana lebih afdal?

Ibadah Korban lembu Wagyu RM29,000 satu bahagian.

Baru-baru ni terdapat iklan ibadah korban lembu wagyu. Harganya terlalu mahal bagi saya mencecah ratusan ribu seekor.

Ada sahabat-sahabat bertanya, manakah lebih afdal? Korban lembu Wagyu yang harga mahal ataupun korban lembu yang murah dapat banyak manfaat kepada orang ramai. Apakah hikmah pensyariatan dan maqasiq korban, mendekatkan diri kepada Allah atau memberi sedekah?

Pandangan saya:

Pada Ibadah korban banyak hikmah di sebalik pensyariatan dan maqasidnya oleh Islam.

1. Penafian syirik dan penetapan tauhid. Bila sembelih kita diwajibkan niat kerana Allah dan lafaz nama Allah SWT.
Ini berdasarkan ayat al-Quran:

(فاذكروا اسم الله عليها)
Alhaj-36
Ertinya:
Sebutlah Nama Allah ketika menyembelihnya).

Firman Allah:
(ونسكي لله رب العالمين)
Al-Ana’am-162
Ertinya: Dan seluruh amal ibadahku hanyalah kepada Allah Tuhan sekalian alam.

Ibadah korban termasuk dalam Ibadah, bahkan Ibadah khusus kepada Allah.

2. Mengingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dengan melakukan ibadah korban utk kita juga menjadi seorang yang bersedia berkorban seperti para Nabi dan Rasul.
Allah berfirman:

(فلما أسلما)
Assoffat-103.
Ertinya: Apabila mereka berdua terima dengan taat dan patuh kepada arahan

3. Pengajaran kisah habil dan qabil memilih yang terbaik untuk diserahkan kepada Allah. Kita pilih yang terbaik utk di infaqkan pada jalan Allah. Namun ikut kemampuan masing-masing.

Allah berfirman:
(قال إنما يتقبل الله من المتقين)
Al-Maidah-27
Ertinya: Sesungguhnya Allah hanya menerima daripada orang yang bertaqwa) dalam kisah ini Habil memilih sesuatu yang baik untuk dikorbankan berbanding qabil.

4. Mencukupkan fakir miskin dengan makanan dan bekalan. Sebab tu syarak menetapkan mestilah satu bahagian diagihkan kepada fakir miskin. Ada juga mazhab yang mengatakan mesti semuanya diagihkan.

Allah berfirman:
(كذلك سخرناها لكم لعلكم تشكرون).
Al-Haj-36
Ertinya: Demikianlah Kami kurniakan binatang ternakan untuk kemudahan manusia supaya mereka bersyukur).

Bersyukur di sini dengan menzahirkan nikmat Allah dengan berkorban dan mengagihkannya kepada fakir miskin.

Begitu juga Hadis Ibnu Umar yang driwayatkan oleh Addaruqutnu dan Ibnu Majah Rasulullah SAW bersabda:
(اغنوهم عن السؤال في هذا اليوم)
Cukupkanlah bagi orang fakir miskin itu keperluan mereka agar mereka tidak meminta-minta pada hari ini.

Walaupun hadis ini ditujukan kepada zakat fitrah pada hari raya aidil fitri, boleh juga diambil maqasid itu umum bagi hari raya termasuk Aidil Adha juga iaitu untuk semua bergembira, jadi ada hak bagi orang fakir miskin untuk mereka bergembira.

5. Mencapai darjat taqwa kepada Allah dengan ibadah Qurban.

(ولكن يناله التقوى منكم)
Al-Haj-37
Tetapi Allah menerima pengorbanan binatang itu kamu sebagai tanda taqwa kamu kepada Allah).

Untuk soalan di atas jawapan saya:

a. Dalam syariah Islam, ibadah-ibadah yang besar merupakan ibadah-ibadah yang menggabungkan antara hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia lain. Solat, zakat, puasa, haji. Semuanya ibadah-ibadah yang merangkumi kedua-dua maqasid. Bahkan Solat Sunat Hari Raya ditunaikan berjemaah afdhalnya di kawasan yang lapang sehinggalah perempuan yang uzur boleh hadir menyaksikan perhimpunan tersebut. Begitu jugalah ibadah korban.

b. Konsep ibadah Islam, lagi banyak manfaat sesuatu amalan itu kepada orang lain, lagi banyak pahalanya di sisi Allah. Dalam bahasa arab digelar النفع المتعدي manfaat yang pelbagai.

c. Konsep Ibadah dalam Islam juga tidak memerlukan kepada kemewahan sebaliknya hati yang suci itu yang mendekatkan diri kepada Allah.

d. Ibadah korban salah satu bentuk amalan yang digabungkan antara hubungan dengan Allah dan manfaat kepada manusia. Dan lagi banyak manfaat kepada manusia lagi banyak pahalanya di sisi Allah.

d. Oleh itu, korban binatang yang baik, yang boleh bagi manfaatnya kepada ramai orang adalah lebih afdhal.

e. Korban wagyu pula terdapat unsur-unsur kemewahan yang tidak dituntut oleh Islam dalam beribadah.

f. Begitu juga tiada tandingannya ibadah korban walau sumbang duit sebagai sedekah berdasarkan maqasid-maqasid di atas.

g. Pandangan saya bertujuan menerangkan yang afdal sahaja, bukanlah halal atau haram.

Semoga bermanfaat.

Ustaz Muhammad Ikram Abu Hassan 
Penyelidik Majlis Ulama Isma (MUIS) 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat