KRIM Kemaman anjur seminar online pertama untuk berkongsi tips belajar

Oleh: Anis Sakinah binti Lokman Hakim

KEMAMAN, 6 Jul – Menyahut seruan kerajaan untuk mengambil langkah jarak selamat bagi mengekang penularan COVID-19, Kelab Remaja Islam (KRIM) Kemaman telah mengadakan ‘Seminar Belajar Power (SBP)’ secara dalam talian untuk berkongsi tips belajar kepada para pelajar sekolah menengah di sekitar Kemaman terutamanya kepada pelajar Tingkatan 4 dan 5.

Seminar dalam talian ini telah menarik seramai lebih 100 penyertaan yang diadakan buat julung-julung kali pada 4 Julai 2020 (Sabtu) melalui aplikasi Zoom.

Menurut Saudara Rudianto Edi, Pengarah Seminar Belajar Power 2020, objektif seminar ini adalah bagi memberikan motivasi kepada para pelajar sebagai langkah persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selama dua jam berlangsung, seminar ini memberikan kesedaran kepada pelajar agar bukan hanya fokus kepada kecemerlangan akademik sahaja, tetapi agar seiring dengan kecemerlangan rohani. Pelbagai pengisian menarik seperti ‘Formula skor dalam exam dan hidup’ dan ‘Cara study smart until straight As’, telah disampaikan oleh jemputan khas, pengasas Tarbiah Sentap, Ustaz Adnin bin Roslan.

“Bila kita hendak melakukan sesuatu dalam hidup, kita sebagai orang islam perlu meletakkan matlamat akhir kita iaitu hendak berjumpa dan melihat wajah Allah serta hendak masuk ke dalam syurga”, ujar Ustaz Adnin.

Kata beliau lagi ayahnya pernah berpesan, “Kalau kita berada dalam keadaan tertekan, kita akan mampu untuk lakukan sesuatu yang kita tidak sedar sebenarnya kita mampu untuk lakukan”.

Sebahagian peserta SBP 2020 Kemaman

Menurut salah seorang peserta seminar, Nurul Khatima Norain binti Othman, setiap kata-kata penyampai telah membangkitkan semangat mereka untuk terus maju dan buat yang terbaik dalam hidup.

Di tengah-tengah penularan COVID-19 yang mencengkam seluruh dunia, seminar SBP merupakan usaha pertama KRIM Kemaman mencuba aplikasi persidangan atas talian secara langsung bagi membantu golongan remaja khususnya para pelajar dalam memotivasikan mereka ke arah mencapai kejayaan duniawi dan ukhrawi.

Selain program ini, pelbagai lagi aktiviti KRIM Kemaman yang boleh didapati menerusi akaun Facebook dan Instagram.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat