Lambang sebagai syiar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Syiar merupakan salah satu petanda aras bahawa sesuatu kefahaman atau ideologi itu sedang bertapak kukuh dan mula wujud di alam realiti.

Dalam mana-mana peperangan, antara perkara yang paling penting adalah bendera yang merupakan lambang bagi sesebuah batalion tentera.

Apabila kalahnya sesebuah pasukan, bendera pihak yang kalah akan dijatuhkan dan dilipat sebagai bentuk kekalahan di medan perang.

Dalam peristiwa perang Mu’tah (peperangan melawan tentera Rom), tiga orang sahabat Rasulullah SAW yang dilantik oleh baginda SAW sebagai komander dan pemegang panji Islam dalam peperangan itu.

Yang pertama adalah Zaid bin Harithah yang membawa bendera tersebut, apabila beliau hampir gugur syahid, bendera itu disambar oleh Jaafar bin Abd Muttalib yang merupakan pakcik kepada Rasulullah SAW. Apabila beliau dikepung, tentera Rom memotong tangan kanannya, lalu beliau memegang bendera dengan tangan kirinya.

Kemudian dipotong pula tangan kirinya, lalu beliau memeluk bendera itu dengan pangkal lengannya. Hingga akhirnya beliau menemui syahid, bendera itu disambar oleh Abdullah bin Rawahah.

Apabila Abdullah bin Rawahah juga hampir gugur, bendera itu disambut oleh Khalid bin Al-Walid yang akhirnya Berjaya menyelamatkan tentera Islam untuk kembali ke Madinah dengan taktik perang yang hebat.

Musab bin Umair juga mati syahid di medan Uhud kerana mempertahankan bendera Islam, beliau juga mempertahankan bendera Islam hingga ke hujung hayatnya.

Beliau telah dipotong lengan kanannya, dan kirinya, hingga beliau membongkok dan memeluk bendera dengan pangkal lengannya, akhirnya beliau ditusuk oleh tombak hingga menjadikan beliau gugur syahid.

Isu syiar yang wujud dalam Islam bukanlah semata-mata simbol yang tertentu atau sehelai kain yang dikibarkan. Ia adalah identiti kekuatan dan lambang bahawa Islam telah bertapak kukuh di kawasan itu.

Oleh itu sesiapa yang mempunyai perasaan keimanan yang jelas akan rasa sensitif apabila wujudnya syiar-syiar agama lain diangkat (secara luar biasa) walau secara tak langsung, seperti wujudnya lampu di bangunan-bangunan tertentu yang dinyalakan pada waktu malam, seolah-olah memberi isyarat bahawa sesetengah kefahaman atau agama sudah pun bertapak di sesuatu tempat.

Barangsiapa yang tidak rasa ada apa-apa masalah, dan merasakan tidak ada sebarang kemungkinan bahawa pihak agama lain sedang mengukuhkan pengaruh mereka di atas bumi Malaysia ini, maka seharusnya dia kembali memuhasabah imannya, kerana dia sudah tidak sensitif dengan apa yang Allah dan Rasul cukup benci, iaitu terangkatnya ‘kalimah’ kekufuran.

 

Ustaz Syamil Esa

Majlis Ulama Isma (MUIS)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat