Mahasiswa, elakkan pulang ke kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, saudara-saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi.

Umum sedia maklum bahawa wabak Covid-19 telah merebak ke seluruh dunia disebabkan migrasi penduduk di sesuatu tempat ke tempat yang lain. Ancaman wabak Covid-19 ini telah menimbulkan kebimbangan bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh dunia.

Sehingga kini, wabak Covid-19 telah merebak di 135 buah negara. Seramai 162,711 orang telah disahkan positif Covid-19 di seluruh dunia. Daripada jumlah ini, seramai 6,443 orang telah meninggal dunia.

Di Malaysia, telah berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak, iaitu 190 kes semalam, disusuli 125 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti wabak ini adalah sebanyak 553 orang. Daripada jumlah tersebut, seramai 511 orang sedang dirawat di hospital, manakala 42 orang telah pun pulih.

Kerajaan juga telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac 2020, iaitu lusa hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara. Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Di UKM, mahasiswa kini beramai-ramai akan pulang ke kampung halaman pada minggu ini disebabkan kelas kuliah mereka beralih melalui pembelajaran secara atas talian. Umum sedia maklum, kesan mahasiswa pulang ke kampung berkemungkinan menyebabkan gelombang ke-3 akan muncul apabila berlakunya migrasi secara besar-besaran oleh penduduk di bandar mahupun di luar bandar pada minggu ini.

Persoalannya, bagaimana wabak ini boleh merebak?

Wabak ini boleh merebak di pusat perhubungan pengangkutan awam seperti di Hentian Kajang, Terminal Bandar Tasik Selatan dan lain-lain. Wabak ini mudah merebak apabila agent pembawa virus ini berada di sana. Kesannya, penumpang pengangkutan awam akan terkena wabak ini dan akan membawa wabak Covid-19 ke seluruh negeri di Malaysia.

Maka, pihak berwajib perlu membuat pemantauan yang ketat terhadap pengunjung di terminal tersebut. Setiap pengunjung dan penumpang perlu menjalankan saringan terlebih dahulu sebelum menaiki pengangkutan awam bagi mengelakkan penyebaran virus Covid-19 kepada penumpang yang lain. Ketibaan penumpang di mana-mana terminal perlu juga di saringkan sekali lagi agar wabak ini dapat dikenal pasti.

Kepada mahasiswa di IPT mahupun penduduk di mana-mana kawasan, berfikirlah sebaik mungkin dalam segala tindakan untuk bermigrasi ke sesuatu kawasan lain. Amalkan langkah-langkah pencegahan yang telah digariskan oleh KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA.

Saya berharap saudara-saudari dapat bersabar menghadapi dugaan ini. Jangan panik, jangan cemas, dan sentiasalah bertenang. Saya percaya dengan langkah-langkah sekatan pergerakan yang dilaksanakan oleh Kerajaan.

Saya merayu kepada saudara-saudari agar sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini. Ini adalah tanggungjawab kita bersama yang mesti kita laksanakan sebagai rakyat yang prihatin terhadap keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita.

Nabi SAW ketika berbicara tentang taun menyebut (bermaksud):

“Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sekian.

 

Luqman Arifin

YDP Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat