Nakbah Palestin pasti berakhir

Nakbah membawa maksud malapetaka atau bencana besar. Nakbah Palestin secara rasminya diingati pada 15 Mei setiap tahun. Ia merujuk kepada pengisytiharan negara haram Israel pada 15 Mei 1948 dan disambut di Israel sebagai ‘Hari Kemerdekaan’ Israel setelah mereka memenangi peperangan yang mereka dakwa sebagai ‘The War of Independence’ (Peperangan bagi memperoleh kemerdekaan).

Ia merupakan makar jahat dan gerak kerja yang teliti oleh Yahudi Zionis sejak sekian lama. Satu rantaian peristiwa pahit yang tidak akan hilang daripada kamus kehidupan umat Islam. Hakikatnya ialah mereka merampas negara Palestin dengan mengusir umat Islam dari tanah air mereka.

Akibat daripada keganasan oleh beberapa kumpulan bersenjata Yahudi Zionis, sebanyak 800,000 rakyat Palestin terpaksa menyelamatkan diri dengan meninggalkan kampung halaman dan berlindung di negara jiran seperti Syria, Lubnan dan Jordan. Bakinya dipencilkan dalam negara sendiri hanya tinggal di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

Kedudukan Palestin kini

Sehingga kini dianggarkan lebih 7 juta pelarian yang sebahagian besarnya merupakan generasi awal, kedua dan ketiga yang tidak pernah menjejakkan kaki di tanah air mereka yakni tidak pernah pulang. Selain itu, satu pelan damai, ‘Deal of the Century’ tajaan US dan sekutunya sedang diusahakan tetapi ditentang hebat oleh dunia Islam. Kita perlu sedar dan yakin, pertembungan hak dan batil ini akan sentiasa relevan hingga kiamat.     

Mengimbau sejarah penting ini, sudah 72 tahun Palestin berada dalam cengkaman Zionis Israel. Pelbagai halangan dan ujian yang terpaksa dilalui oleh saudara seaqidah kita di sana. Ada beberapa ibrah besar yang boleh kita ambil daripada sejarah hitam ini, antaranya;

Pertama; Sifat bersungguh, serius dan cita-cita yang jelas oleh Theodor Herzl, Pengasas Fahaman Neo-Zionisme hingga berlakunya Persidangan Zionis Antarabangsa yang pertama.

Ide penubuhan negara khas Yahudi telah dipelopori oleh Theodor Herzl, seorang warga Hungary sejak 123 tahun dahulu. Ide tersebut telah dinukilkan dalam sebuah buku bertajuk Die Judem Stat (Negara Yahudi) pada tahun 1896. Dia berjaya menubuhkan Pertubuhan Zionis Antarabangsa (WZO) dan membuat persidangan pertama pada 29-31 Ogos 1897 di Basel, Switzerland.

Pada hari kedua persidangan, mereka telah sepakat meletakkan KPI dalam tempoh 50 tahun, Palestin akan dikuasai. Maka bermulalah langkah strategik gerakan Zionis dalam usaha membentuk sebuah Negara Yahudi di Palestin.

Kongress Yaudi pertama

Kedua; Prinsip yang kuat, tidak mudah goyah dan tidak termakan dengan habuan duniawi oleh Khalifah Uthmaniyah dalam cubaan Yahudi membeli tanah Palestin. 

Langkah bermula, pada tahun 1901 Theodor Herzl telah menghantar seorang wakil bernama Lewinsky kepada Sultan Abdul Hamid II untuk mendesak baginda menjual tanah Palestin, namun telah ditolak secara keras oleh baginda. Sultan Abdul Hamid II berkata:

“Aku tidak akan menjual walau seinci dari tanah ini (Palestin), kerana tanah ini bukan milikku tetapi milik umat Islam, mereka telah membayar tanah ini dengan darah mereka, dan kami akan menebus tanah ini dengan darah kami.”

Pada tahun berikutnya, Theodor Herzl sekali lagi cuba berunding dengan pergi sendiri menghadap sultan dengan menyogok beberapa tawaran istimewa yang menggoda keimanan iaitu:

  1. Membayar semua hutang pemerintah Uthmaniyyah sebanyak 33 juta pound sterling Inggeris.
  2. Memberi 150 juta pound sterling Inggeris khusus untuk sultan.
  3. Membangun kapal induk untuk menjaga pemerintah dengan biaya 120 juta frank.
  4. Memberi pinjaman 5 juta pound sterling tanpa bunga.
  5. Membangun Universiti Uthmaniyyah di Palestin.

Tawaran itu turut ditolak oleh Sultan Abdul Hamid II dengan jawapan:

“Jika engkau mahu membeli Palestin, ketahuilah harganya adalah seluruh darah umat Islam.”

Tawaran Yahudi

Ketiga; Perancangan yang sistematik, strategik dan sinergi kuasa oleh musuh dalam Holocaust dan kedatangan Yahudi ke Palestin.

Holocaust adalah satu peristiwa yang dirancang secara sistematik oleh Nazi German yang diketuai oleh Hitler dengan kerjasama pemimpin Zionis di Eropah pada Perang Dunia Kedua. Pembunuhan Yahudi di Eropah secara beramai-ramai itu bertujuan untuk mempercepatkan proses perpindahan Yahudi Eropah bagi penubuhan negara yang dikhususkan untuk bangsa Yahudi iaitu di Palestin.

Sebenarnya, pemimpin Zionis mempunyai terlalu banyak peluang untuk menyelamatkan bangsa Yahudi Eropah jika mereka mahu berbuat demikian. Namun jenayah terancang ini dilakukan demi cita-cita besar mereka untuk membina negara Israel dan kemudiannya Israel Raya.

Sejak tahun 1933 berlakulah penghijrahan beramai-ramai yang sistematik yang melibatkan ratusan ribu Yahudi Eropah ke Palestin. Seterusnya menjadikan perubahan demografi buat tanah Palestin di mana pada asalnya seramai 55,000 orang yahudi meningkat mendadak kepada 646,000 orang Yahudi pada tahun 1948.

Akhirnya, kebanyakan daripada pendatang Yahudi telah berkhidmat menjadi tentera-tentera ‘underground’ seperti Haganah, Irgun dan Stern yang ditugaskan untuk memusnahkan kampung-kampung penduduk asal Palestin bagi memudahkan laluan untuk membina sebuah Negara Israel.

Holocaust

Persoalannya, bilakah Nakbah Palestin ini akan berakhir?! Apakah syarat kemenangan tersebut? Jawapannya ada pada kita semua.

Sheikh Dr Muhsein Salleh (Zaytounah Institute, Lebanon) pernah berkata,

“Untuk menang, umat Islam perlu bekerja kuat bersama kerahan empat jenis titisan iaitu Titisan keringat, Titisan dakwat (pena), Titisan air mata dan Titisan darah”.

Kita meyakini Nakbah Palestin pasti akan berakhir sekiranya kita bekerja kuat mengerah titisan keringat;

Berjuang bersungguh siang dan malam, berkorban masa, tenaga, wang ringgit, buah fikiran untuk kepentingan Islam, proaktif bukan reaktif, serius, bersemangat, tidak berputus asa, capaian dakwah meluas segenap lapisan masyarakat, mengutamakan yang lebih penting dan sebagainya. Semestinya semua ini mestilah direncana secara strategik dan sistematik.

Kita meyakini Nakbah Palestin pasti akan berakhir sekiranya kita, umat Islam bekerja kuat mengerah titisan dakwat (pena);

Menggunakan penulisan sebagai senjata ampuh untuk menyampaikan mesej kebenaran, kepelbagaian seni penulisan, menusuk, menyentap hati, mengarang dan menulis buku bagi yang berkemampuan, tulisan yang mampu menggerunkan musuh, menyedarkan masyarakat bukan yang melalaikan dan menjauhkan kita daripada Allah taala. Sifat membaca itu satu kewajipan bukan hobi, jauh sekali jika bermalas-malasan.

Kita meyakini Nakbah Palestin pasti akan berakhir sekiranya kita, umat Islam bekerja kuat mengerah titisan air mata;

Jarak di antara masalah dengan penyelesaiannya hanyalah sejauh jarak dahi kita dengan sejadah, tempat kita bersujud. Lagi dekat kita dengan Pencipta, lagi banyak masalah dapat diselesaikan. Hati yang tenang sentiasa akan menang. Mata yang menangis kerana takutkan Allah. Setinggi mana kita terbang mengejar dunia ketahuilah Allah jualah yang memberi segalanya. Jaga amal fardi kita, solat, tilawah al-quran, zikir mathurat, qiamullail, doa dan lain-lain. Tidak mudah hanyut dengan habuan dan buaian dunia yang mengasyikkan. Hubungan sillaturrahim dan ukhuwwah islamiah perlu dibajai dan disemai sentiasa.

Kita meyakini Nakbah Palestin pasti akan berakhir sekiranya kita, umat Islam bekerja kuat mengerah titisan darah;

Jihad yang paling besar adalah ‘qital’ peperangan fizikal melawan musuh Islam. Perjuangan inilah yang sedang dilalui oleh saudara kita di Palestin, bumi syam, bumi perjuangan, bumi jihad. Mereka bukan sekadar berkorban masa, tenaga dan harta tetapi mencapai peringkat mengorbankan nyawa mempertahankan tanah wakaf umat Islam. Merekalah ‘frontliners’ kita dan banteng terakhir umat Islam.

Rasulullah SAW pernah bersabda: “Barangsiapa yang mati sedangkan dia tidak pernah berperang, dan tidak pernah berniat dalam hatinya untuk berperang, maka dia mati dalam satu cabang daripada kemunafikan.

(HR Muslim)

Ketahuilah! Nakbah Palestin pasti dan pasti akan berakhir bilamana kita memenuhi syarat kemenangan. Mulakan dengan diri kita sendiri, keluarga dan masyarakat sekeliling. In sya Allah kemenangan yang hakiki makin hampir.

لا يحب الاقصى الا من عرفه

Tidak mencintai al-Aqsa kecuali yang mengenalinya

ولا يحب الاقصى الا من احب رسول الله

Dan tidaklah mencintai al-Aqsa kecuali orang yang mencintai Rasulullah

ولا يحب رسول الله الا من احب الاقصى

Dan tidaklah mencintai Rasulullah kecuali orang yang mencintai al-Aqsa

Di Kem Yarmouk, Syria-Bumi Syam

 

Ustaz Muhd Farhan bin Muhd Fadhil

Yang Di-Pertua

ISMA Subang Jaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat