Nasihat buat penggerak dakwah sepanjang penularan wabak COVID-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

PARA nabi dan rasul berdakwah dan menyampaikan risalah Islam dalam keadaan takut, sebaliknya kita pula hari ini takut untuk menyampaikan risalah Islam!

Nabi Yusuf a.s tetap menyantuni rakan sepenjaranya dan menerangkan berkenaan keesaan Allah s.w.t sebelum mentafsirkan mimpi mereka walau berada dalam keadaan amat getir di dalam penjara

Begitu juga dengan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w yang tetap menyebarkan risalah Islam kepada Ummu Ma’bad walaupun dalam keadaan cemas sedang melarikan diri dari kampung halaman Mekah menuju ke kota Madinah dalam peristiwa hijrah

Malulah kita kalau dalam keadaan senang dan aman pun kita tidak ada langsung usaha untuk menceritakan kehebatan dan ketinggian agama Islam kepada orang di sekeliling kita semua

Mengambil pengajaran dari kisah di atas, dalam keadaan getir penyebaran wabak COVID-19 yang sedang melanda dunia hari ini, adakah kita seharusnya duduk diam dan hanya berseronok dengan anak isteri/suami di rumah?

TIdak!

Masih banyak tanggungjawab dakwah yang boleh kita laksanakan dengan penuh kesungguhan dan kreativiti, antaranya:

1) Membuat sesi tazkirah atau kuliah melalui medium FB Live atau merakamkannya untuk sebaran umum;

2) Melakukan perbincangan islami dan sesi diskusi (usrah) secara maya dengan rakan terdekat melalui pelbagai medium perbincangan atas talian;

3) Menelefon dan bertanya khabar kepada ahli keluarga, rakan taulan serta sahabat yang sedang kita dekati dan santuni untuk memberikan kefahaman dan mengajarkan aplikasi dakwah kepada mereka (mad’u);

4) Mencetus dan menyebarkan pelbagai projek kebajikan umum atas talian bagi mendidik masyarakat akan bahaya Covid-19 serta cara mencegah penyebarannya, membantu para pesakit, para petugas kesihatan di barisan hadapan serta sesiapa sahaja yang terkesan dari sudut emosi dan ekonomi hasil pendemik ini;

5) Menulis rencana dakwah di akhbar atau majalah, post media sosial yang menarik dan memberikan kesan serta apa sahaja hasil penulisan yang boleh disebarkan secara atas talian;

6) Membaca buku, mendengar audio, menonton video serta menelaah pelbagai bahan islami yang berasaskan ilmu dakwah bagi memantapkan kefahaman dan menyusun input bagi ceramah dan kuliah agama yang akan disampaikan;

7) Membaca, memahami, menghafal dan menghayati ayat-ayat Quran pilihan, hadis, syair arab serta kata-kata ulama bagi digunakan sebagai modal memperkuat hujah dakwah;

8) Berfikir, merancang dan melakukan pembangunan strategi untuk misi dakwah dan menyebarkan risalah Islam selepas keadaan kembali pulih nanti.

InsyaAllah jika kita mampu melakukan semua ini, hidup kita akan terisi, akaun bank emosi kita akan dipenuhi serta pahala yang tidak putus-putus akan kita perolehi

Selamat Beramal!

Semoga Allah s.w.t memberikan kita kesabaran bagi mengharungi ujian ini dan menyelamatkan kita semua dari wabak COVID-19. Amin

Ir Hj Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad
Ahli Jawatankuasa Pusat ISMA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat