Nga Kor Ming gopoh terhadap segala inisiatif pemerkasaan Islam di Malaysia.

1. Terbaru kita dapat lihat bagaimana sikap gopoh DAP ini dizahirkan melalui gesaan Timbalan Setiausaha Agungnya, Nga Kor Ming supaya kerajaan pusat campur tangan isu pengasingan jantina di pawagam Terengganu atas alasan kemajmukan budaya di Malaysia. Nga juga mengaitkan usaha kerajaan Negeri Terengganu ini dengan alasan kononnya usaha ini akan memberikan imej buruk buat negeri itu.

2. Sepertimana kenyataan-kenyataan Nga sebelum ini yang provokatif dan anti-Islam, gesaan kali ini juga jelas dangkal dan tergesa-gesa dikeluarkan tanpa terlebih dahulu meneliti Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu yang ternyata telah mengambil kira pelbagai aspek termasuk soal agama, budaya dan kepercayaan masyarakat yang bukan Islam.

3.Berdasarkan penelitian yang dilakukan terhadap Garis Panduan tersebut, terdapat subtopik khusus yang menyentuh berkenaan perlaksanaannya terhadap golongan bukan muslim. Sebagai contoh perkara (1) di bawah subtopik Golongan Bukan Muslim menyatakan bahawa “Orang-orang bukan Muslim pada amnya tidak dipaksa mengikut amalan kebudayaan Islam, sebaliknya digalakkan untuk turut serta meraikannya”.

4.Jika benar alasan kemajmukan budaya yang dijadikan asas kepada gesaan Nga tersebut, sepatutnya sebagai seorang yang mendokong perlembagaan yang mana Islam merupakan agama persekutuan, sudah tentu menghormati  sensitiviti dan budaya Islam yang mengambil berat soal pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan merupakan setinggi-tinggi toleransi terhadap kemajmukan budaya di Malaysia.

5.Namun mudah untuk kita perhatikan gelagat DAP yang hanya menilai apa juga isu dalam konteks melindungi kepentingan kaum dan agama mereka sahaja dengan menolak ketepi sensitiviti agama Islam yang merupakan majoriti penduduk di Malaysia.

6. Sekiranya kita tidak melihat kepada aspek sensitiviti dan budaya Islam sekalipun, secara fitrah dan logiknya budaya pergaulan bebas yang melampau antara lelaki dan perempuan akan menatijahkan kesan masalah sosial khususnya kepada golongan muda. Kajian-kajian lepas berkenaan punca berlakunya kesalahan khalwat menunjukkan bahawa tidak menitikberatkan soal pergaulan antara pasangan yang bukan mahram adalah merupakan salah satu punca kepada masalah tersebut. (Ainul Bashirah Ismail 2012; Zuliza Mohd Kusrin et al. 2012; Noor ‘Ashikin Hamid et al. 2015).

7.Kesan daripada masalah khalwat yang tidak dibendung ini juga akan membuka ruang kepada masalah sosial dan jenayah yang lain seperti zina dan rogol. Teori Rational Choice (Cesare Beccaria) dalam perspektif ahli kriminologi menyatakan bahawa perlanggaran undang-undang berlaku apabila pelaku jenayah (offender) membuat keputusan untuk mengambil risiko setelah mengambil kira faktor peribadi (keperluan wang, dendam, ancaman dan juga kepuasan) dan faktor situasi (sejauh mana sasaran itu dilindungi dan keberkesanan kawalan pihak berkuasa). (Renggert dan Wasilchick, 1985).

8.Justeru jika dilihat daripada perspektif tersebut, usaha membendung pergaulan bebas antara jantina di tempat awam seperti pawagam merupakan kawalan pihak berkuasa bagi mengurangkan peluang dan ruang kesalahan khalwat berlaku dan kemungkinan jenayah berlaku hasil daripada bibit-bibit perlakuan sumbang yang berlaku di pawagam. Teori jenayah peluang menyatakan bahawa walaupun penjenayah bermotif melakukan jenayah, tetapi tidak mempunyai peluang mendapat mangsa, maka jenayah tidak akan berlaku. (Cantor dan Land, 1985)

9.Adapun kegopohan seterusnya yang dilakukan Nga adalah dengan mengaitkan perlaksanaan Garis Panduan tersebut dengan aktiviti riadah keluarga yang kononnya akan mengasingkan pasangan berkahwin, bapa dan anak serta ibu dan anak. Sedangkan di bawah subtopik Pawagamperkara (4) dalam Garis Panduan tersebut menyatakan bahawa;

“Tempat duduk penonton lelaki dan wanita hendaklah diasingkan mengikut tiga lokasi, iaitu:

  • Lokasi lelaki – untuk semua individu atau kumpulan penonton lelaki sahaja,
  • Lokasi wanita –  untuk semua individu atau kumpulan penonton wanita sahaja,
  • Lokasi keluarga – pasangan suami isteri atau mahram
  1. Klausa tersebut dengan jelas menolak prejudis Nga yang berimiginasi dengan larangan yang direka-reka terhadap perlaksanaan Garis Panduan tersebut. Ini tidak lain merupakan provokasi bagi menakutkan-nakutkan orang ramai khususnya golongan bukan Islam, samaada dilakukan dengan tidak cermat ataupun menyembunyikan fakta sebenar.
  2. Kenyataan Nga diakhiri dengan cuba menjadi hero kepada masyarakat bukan Islam yang kononnya bimbang terhadap isu terkini seperti pembekuan lesen alkohol baru di Kuala Lumpur dan pengasingan jantina di pawagam Terengganu. Nga mengaitkan tindakan Kerajaan Terengganu tersebut sebagai berundur kebelakang. Walhal pendirian dia dan DAP terhadap isu arak, yang telah banyak meragut nyawa tidak berdosa adalah lebih jauh berundur kebelakang.
  3. Mana tidaknya, sedangkan negara-negara lain pun sudah mengorak langkah kehadapan dengan mula mengharamkan penjualan arak dalam tempoh kawalan berkurung yang lalu. Sebagai contoh, Menteri Keselamatan Afrika Selatan, Bheki Hamilton Cele pada 26 Mac yang lalu telah melakukan pengumuman itu dengan justifikasi bahawa pengharaman penjualan arak dalam tempoh kawalan berkurung ini berupaya memutuskan rantaian penyebaran Covid-19. Salah satu justifikasi yang diberikan adalah kerana alkohol dikatakan berupaya melemahkan sistem pertahanan badan seseorang.
  4. Di Nuuk, ibu negeri Greenland turut mengenakan sekatan penjualan arak dalam tempoh kawalan berkurung. Martha Abelsen, Menteri Kesihatan tempatan menjelaskan bahawa sekatan penjualan arak ini adalah bertujuan menyelamatkan mangsa dera kanak-kanak yang berlaku sepanjang tempoh perintah kawalan berkurung yang berlaku di Greenland.
  5. Begitu juga di Hong Kong, Ketua Eksekutif Carrie Lam telah mengumumkan penyekatan pengeluaran lesen arak bagi 8600 resteoran dan bar dalam menghadapi tempoh kedua gelombang Covid-19 di Hong Kong.
  6. Akhirnya, jika dilihat ‘trend’ kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh DAP ini kita dapat melihat sejauh mana mereka berusaha kuat untuk menentang apa juga pemerkasaan terhadap kedudukan Islam dan cuba memberi gambaran yang salah terhadap Islam atas alasan seperti kemajmukan budaya dan lain-lain.

Kamarul Azizan bin Abd Raman

Naib. Yang diPertua ISMA Kuala Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat