Nyanyian lagu Negaraku dalam Mandarin tindakan yang tidak wajar

SEREMBAN , 7 Dis – Yang Dipertua Isma Seremban, Hj Norhelmi Bin Jamil sangat kesal dengan tindakan sebuah sekolah vernakular di sini yang telah menyanyikan lagu kebangsaan negara, lagu NegaraKu dalam Bahasa Mandarin.

“Adalah sangat tidak wajar untuk lagu Negaraku yang sudah sebati dengan jiwa rakyat di negara ini diubah liriknya dalam bahasa lain, walaupun berlaku ketika proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di bilik darjah,” katanya.

Berdasarkan hasil siasatan Kementerian Pendidikan semalam, video nyanyian lagu kebangsaan, Negaraku dalam Bahasa Mandarin adalah bertujuan untuk memberi kefahaman terhadap maksud, tujuan dan adab ketika menyanyikan lagu ini.

“Adakah pelajar-pelajar di sekolah ini tidak memahami bahasa kebangsaan menyebabkan mereka tidak memahami lagu kebangsaan ini, sehinggakan terpaksa di terjemahkan dalam bahasa mereka?” Jika benar, perkara ini juga sangat membimbangkan dan sewajarnya kedudukan sekolah vernakular ini dikaji semula secara serius oleh pihak berwajib.

“Pihak berwajib dan seluruh rakyat Malaysia perlu sedar dan peka, belum reda isu mengubah bendera, kini kita berdepan dengan usaha mengubah lirik lagu yang mana pelajar-pelajar yang terlibat sudah lancar menghafal lirik yang ditukar ke Bahasa Mandarin.”

“Lagu Negaraku, yang dicipta pada tahun 1957 dan diperdengarkan buat julung kalinya selepas detik 12 malam 31 Ogos 1957 seharusnya menjadi sebab perpaduan dan keutuhan kaum di negara ini bukan perpecahan kaum,” ujarnya lagi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat