Pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi kembalikan manusia kepada fitrah

Dunia sedang mengalami satu fasa tidak pernah ditempuhi oleh majoriti umat manusia yang hidup hari ini. Krisis kesihatan dan ekonomi berlaku serentak dan merebak begitu pantas ke seluruh dunia. Ia telah mematahkan segala analisis atau jangkaan awal kebanyakan pakar ekonomi awal tahun 2020 tempoh hari.

Bayangkanlah baru 3 bulan lalu, ramalan IMF menunjukkan pertumbuhan positif ekonomi di 160 buah negara, tetapi minggu lepas mereka telah mengubah kenyataan dengan menjangkakan 170 buah negara bakal mengalami kemorosotan ekonomi (negative per capita income growth) bagi tahun 2020.

Minggu lalu juga, kita telah menerima khabar bahawa lebih 90 buah negara memohon pembiayaan kecemasan daripada IMF yang melibatkan ratusan billion dollar. Syukur alhamdulillah setakat ini, Malaysia masih mampu bertahan dan tidak berharap kepada pembiayaan kecemasan tersebut.

Namun kita menginsafi dan turut simpati kepada ramai kenalan, mungkin juga ahli keluarga kita sendiri, peniaga-peniaga runcit, PKS, syarikat-syarikat korporat yang sedang berhadapan masalah kewangan yang tidak pernah dilalui sebelum ini.

Tidak hairanlah jika dikatakan bahawa krisis ekonomi global hari ini bakal jatuh ke tahap yang paling teruk sejak krisis ekonomi yang dahsyat (Great Depression) sekitar 1930an yang lalu.

Siapakah dalang di sebalik semua ini, saya tidak mahu ulas lanjut di sini. Saya juga tidak nafikan pandangan sesetengah pengkaji termasuk seorang guru saya sendiri di INCEIF dahulu yang menyatakan bahawa setiap kali krisis ekonomi, akan menguntungkan golongan tertentu. Ada kelompok manusia yang sudah sedia kaya akan bertambah kaya berganda-ganda ketika krisis ekonomi berlaku. Wallah a’lam, sejauh mana kebenaran fakta ini perlukan ruangan lain untuk dibahaskan.

* * * *

Dari satu sudut, saya amat risau dengan pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi hari ini. Kerana boleh jadi ia merupakan azab yang sedang diturunkan Allah kepada seluruh manusia (tanpa mengira orang baik atau jahat) disebabkan maksiat yang dilakukan oleh sebahagian/majoriti manusia, dan disebabkan ketempangan sistem ciptaan manusia yang wujud hari ini – termasuk sistem ekonomi – yang banyak melanggar fitrah manusia bahkan bercanggah dengan lunas Syarak.

Sabda Rasulullah SAW:

إِذَا أَنْزَلَ اللَّهُ بِقَوْمٍ عَذَابًا أَصَابَ الْعَذَابُ مَنْ كَانَ فِيهِمْ ثُمَّ بُعِثُوا عَلَى أَعْمَالِهِمْ

“Jika Allah menurunkan azab ke atas sesuatu kaum, maka azab itu akan mengenai siapa saja yang berada ditengah-tengah mereka, kemudian mereka dibangkitkan sesuai dengan amalan mereka” (HR Bukhari)

Dalam hadis yang lain, Aisyah r.a. telah bertanya Rasulullah SAW tentang wabak taun, maka Rasulullah SAW menjawab:

أنَّه كان عَذابًا يَبعَثُه اللهُ على مَن يَشاءُ، فجعَلَه رَحمةً للمُؤمِنينَ

“Sesungguhnya ia adalah azab yang Allah jadikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, Dia juga menjadikannya rahmat buat orang-orang mukmin (HR Ahmad. Syeikh Syuaib Arnaout menilai isnad hadis ini sebagai sahih berdasarkan syarat al-Bukhari)

Ketempangan sistem buatan manusia hari ini dapat dilihat dalam pelbagai aspek kehidupan. Saya cuba lontarkan satu contoh sahaja, iaitu sistem ekonomi kapitalis yang telah bertakhta lebih 1 kurun di atas muka bumi ini yang gagal memberikan keadilan sosial (`adalah ijtima`iyyah) kepada manusia:

Falsafah atau idea pasaran bebas – dengan campur tangan minima oleh kerajaan – yang dicanangkan boleh mewujudkan persaingan sihat antara umat manusia lalu menghasilkan pengurusan dan agihan sumber/harta yang efisyen dan saksama, akhirnya GAGAL menjamin keadilan antara manusia. Bahkan jurang kekayaan peringkat negara dan antarabangsa sentiasa bertambah tahun demi tahun.

Lebih malang, ia lebih dilihat sebagai alat bagi sebahagian kelompok kecil manusia (sesetengah pengkaji menggelarnya “elit kapitalis”) untuk terus bebas mengaut keuntungan dan kekayaan, di atas kelemahan orang lain, di atas titik peluh golongan miskin (at the expense of the poor).

Idea sosialisme atau komunisme yang dianggap alternatif kepada kapitalisme pula turut menimbulkan masalah yang sama, jika tidak lebih teruk. Kerana segala harta kekayaan berpusat kepada pemerintah lantas menjadikannya golongan yang paling kuat, terkaya, miliki kuasa veto yang tidak boleh dicabar kedudukannya. Akhirnya rakyat dengan mudah boleh dimanipulasi dan dizalimi. Kehidupan rakyat tertekan dek kawalan yang ketat oleh pemerintah diktator yang kaya raya.

Amalan dan praktis dalam sistem kewangan yang merupakan salah satu komponen utama dalam sistem ekonomi pula banyak yang melanggari Syarak. Riba, perjudian, jualbeli gharar, tidak jujur dalam timbangan atau kuantiti dan kualiti barangan, telah menjadi norma dalam pasaran kewangan global. Elit kapitalis bersenang lenang meniagakan wang untuk mengganda-gandakan wang tanpa sebarang usaha, aktiviti real ekonomi, atau jual beli barangan yang sah di sisi Syarak.

Boleh jadi, inilah salah satu punca utama ‘azab’ atau ‘peperangan’ yang diisytiharkan-Nya pada hari ini dalam bentuk krisis ekonomi dan pandemic Covid-19, disebabkan perbuatan mungkar yang dilakukan oleh sebahagian manusia seluruh dunia hari ini.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿٢٧٨﴾ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّـهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ ﴿٢٧٩﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya. Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. (Al-Baqarah: 278-279)

وَإِلَىٰ مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا ۚ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّـهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُ ۖ وَلَا تَنقُصُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ ۚ إِنِّي أَرَاكُم بِخَيْرٍ وَإِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ مُّحِيطٍ

“Dan kepada penduduk Madyan Kami utuskan saudara mereka Nabi Syuaib. Ia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah Allah!Tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan. Sesungguhnya aku melihat kamu berada dalam kemewahan; dan sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang meliputi (orang-orang yang bersalah).” (Hud: 84)

* * * *

Dari sudut yang lain pula, saya cuba optimis dengan menganggap bahawa inilah permulaan transisi dunia ke arah satu fasa yang lebih baik. Boleh jadi pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi yang ditaqdirkan-Nya ini adalah untuk mensucikan muka bumi ini serta mengembalikan manusia kepada fitrah asalnya.

Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللهَ يبعثُ لهذهِ الأمةِ على رأسِ كلِّ مئةِ سنةٍ مَنْ يُجددُ لها دينَها

“Sesungguhnya Allah akan mengutuskan pada umat ini pada setiap awal 100 tahun, seseorang/sekumpulan yang men-tajdid Agama ini”. (HR Abu Daud)

“Tajdid Agama” dalam hadis ini bukanlah bermaksud buat bid`ah / perkara baru dalam agama, tetapi ia bermaksud mengislah, menghidupkan atau mengembalikan semula agama kepada bentuk/tempat asalnya (keasliannya).

Berdasarkan hadis ini, saya yakin bahawa akan ada segolongan manusia, organisasi atau negara yang akan mensucikan muka bumi ini daripada kefasadan dan ketempangan sistem buatan manusia, serta membimbing manusia ke jalan yang benar iaitu Syariat yang mampu membawa manusia kepada kemaslahatan dunia dan akhirat.

Baru-baru ini mula timbul idea model ekonomi baharu pasca pandemik Covid-19. Di barat contohnya orang mula naikkan semula idea “Doughnut Model” yang telah “dimasak” oleh pakar ekonomi di Universiti Oxford.

Tetapi bagi saya, jika idea dan model yang dicadangkan tersebut masih berakarkan falsafah ekonomi kapitalis mahupun sosialis, dalam masa yang sama segala amalan yang ditegah Syarak (riba, judi dll) diteruskan, ia tidak akan bawa manusia ke mana juga dalam jangka masa panjang melainkan berterusan menjadi ‘hamba’ kepada golongan elit tertentu.

Ramai manusia hatta orang Islam sendiri sebenarnya masih tercari-cari apakah falsafah, sistem, model yang mampu membawa kepada kesejahteraan dan kebahagiaan manusia.

Ramai juga yang sedang berusaha membangun dan mengemukakan solusi bagi menyahut seruan hadis Nabi di atas bagi melayakkan diri menjadi ‘mujaddid’ bagi Agama ini.

Apakah ia? Bagaimanakan bentuk sistemnya? Apakah solusi praktikalnya? Saya cuba ulas dalam tulisan akan datang, insya Allah.

Wallah A’lam.

 

Ustaz Ahmad Khiruddin

Majlis Ulama Isma (MUIS) 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat