Pengorbanan sebenar di sisi Allah SWT

Pada tahun ini, seluruh umat Islam menyambut Aidiladha seperti tahun-tahun sebelumnya. Aidiladha membawa peringatan supaya umat Islam kembali mengingati peristiwa besar yang berlaku dalam kehidupan hamba-Nya, Nabi Ibrahim dan anaknya, Ismail ‘alaihima as-salam.

Kedua-dua insan hebat itu sanggup meletakkan perintah Allah SWT melebihi kepentingan dan keinginan peribadi. Nabi Ibrahim dan anaknya melaksanakan perintah Allah SWT hanya untuk menzahirkan ketaatan dan keakuran sebagai hamba yang taat. Akhirnya, pengorbanan mereka diiktiraf sehingga menjadikan kedua-duanya termasuk dalam kalangan hamba-Nya yang sabar.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan dia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid) dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayangan-Nya.”
(Surah an-Nisa’, ayat 125)

Semua orang boleh mengatakan dirinya mampu melakukan pengorbanan. Namun, adakah pengorbanan itu dilakukan untuk kepentingan peribadi atau semata-mata mengharap ganjaran?

Ramai orang boleh berkorban jika mereka pasti mendapat keuntungan daripada pengorbanan itu.

Keuntungan sebegitu pastinya untuk memenuhi keinginan dan nafsu. Namun, adakah kita sanggup berkorban pada jalan Allah SWT?

Pengorbanan yang belum pasti mendapat ganjaran duniawi, tetapi ganjaran di akhirat pasti menanti.

Pada kesempatan merasai nikmat menyambut Aidiladha dan masih berada pada tahun ini, marilah sama-sama kita melakukan muhasabah diri. Adakah kita mampu berkorban hanya kerana Allah SWT?

Semangat pengorbanan untuk agama boleh disebatikan dalam diri jika memiliki iman yang benar-benar mengakui keesaan Allah SWT.

Apabila beriktikad hanya Allah SWT sahaja yang selayaknya memberi habuan dan kemudaratan, hati pasti tidak akan sangsi melakukan pengorbanan hanya kerana-Nya.

Lihat bagaimana Nabi Ibrahim bulat hati mengorbankan anaknya kerana menurut perintah Allah SWT. Ia menggambarkan betapa utuhnya iman Baginda meskipun anaknya itu amat disayanginya.

Akhirnya, Baginda diiktiraf Allah SWT sebagai hamba yang tidak sekali-kali menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu makhluk lain kerana keakurannya melakukan pengorbanan besar.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya, Ibrahim adalah seorang pemimpin yang dapat dijadikan teladan lagi patuh kepada Allah dan berdiri teguh atas dasar tauhid. Dan sekali-kali bukanlah dia termasuk orang yang mempersekutukan (Tuhan).” (Surah an-Nahl, ayat 120)

Setiap insan juga perlu menyedari dirinya hamba yang diciptakan untuk beribadat kepada Allah SWT. Umat Islam sepatutnya sanggup melakukan pengorbanan harta dan tenaga demi menyahut seruan Tuhan.

Umat Islam yang sukar berkorban demi agama adalah golongan yang lupa hakikat dirinya amat bergantung kepada rahmat dan kasih sayang Ilahi.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya dan Akulah Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Daku.” (Surah al-Anbiya’, ayat 92)

Dunia adalah tempat bersifat sementara. Kehidupan di dunia perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk melakukan kebaikan supaya dapat meraih rahmat Allah SWT.

Dengan rahmat itulah manusia boleh berada di dalam syurga kelak. Bagi insan yang memahami hakikat adanya kehidupan kekal abadi di akhirat nanti, sebarang bentuk pengorbanan demi agama mampu dilakukan tanpa sebarang keraguan.

Mungkin ada orang terpaksa mengorbankan harta, masa dan tenaganya untuk Islam namun tidak mendapat sebarang habuan di dunia ini. Percayalah apabila kita yakin adanya nikmat balasan baik yang adil lagi saksama daripada Allah SWT nanti, tidak timbul rasa kecewa kerana melakukan pengorbanan untuk Islam.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat