Pengurusan Pandemik COVID-19 memerlukan kerjasama semua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

WHO telah mengisytiharkan pandemik COVID-19 pada 11 Mac 2020 di mana hampir 114 negara telah mengalami wabak dan epidemic di negara masing-masing. Bermula dari awal tahun ini kita telah melihat peningkatan kes-kes positif COVID-19 bermula di Asia Timur iaitu negara-negara berdekatan China seperti Taiwan, Korea, Jepun pada bulan Januari dan seterusnya Asia Tenggara seperti Singapura, Thailand dan Malaysia pada bulan Februari. Di awal bulan Mac peningkatan kes mula kelihatan mendadak di negara-negara Eropah dan kini di Amerika dan Kanada.

Apabila diisytiharkan Pandemik, pendekatan setiap negara dalam menghadapi wabak akan berubah. Sekatan perjalanan dan saringan di pintu masuk antarabangsa semakin diperketatkan dan diperluaskan kepada semua negara. Di Malaysia perubahan perancangan berlaku secara berkala, bermula dengan saringan di pintu-pintu masuk antarabangsa kepada sekatan perjalanan masuk dan keluar negara, larangan mengadakan perhimpunan besar dan kini Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac sehingga 31 Mac 2020.

Pada masa yang sama kita mengalami peningkatan kes mendadak. Selain daripada dari kluster Tabligh, ia juga disebabkan pengesanan kes-kes di lapangan yang dipertingkatkan dengan menyaring semua yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan mempunyai hubungan rapat dengan pesakit positif Covid-19. Mereka yang mempunyai symptom didahulukan pengambilan sampel tetapi kesemuanya diarahkan untuk kuarantin di rumah selama 14 hari. Pegawai-pegawai inspektor kesihatan atau penolong pegawai kesihatan persekitaran (PPKP) akan bertugas setiap hari mencari kontak rapat dan memantau mereka yang dikuarantin ini. Mereka mestilah berada di rumah apabila dihubungi jika tidak mereka akan dikenakan denda mengikut Akta 342 Kawalan Penyakit Berjangkit.

Seterusnya Malaysia dikejutkan dengan kes kematian yang kini sudah mencecah 12 orang sehingga semalam 23 Mac 2020. Perkembangan ini pastinya menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat khususnya kerisauan akan penyebaran lebih meluas dan juga kemampuan kerajaan dalam mengurus bencana wabak penyakit berskala besar ini. Kes-kes positif akan terus meningkat apabila lebih banyak pengesanan kontak dan saringan dilakukan di dalam komuniti. Justeru, rakyat perlu terus bersabar dan mengikut arahan pihak berkuasa khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan semua yang dikuarantin tidak menjangkiti orang lain.

Namun begitu, setiap perancangan negara perlu melihat kepada situasi semasa wabak dan melalui panduan WHO yang menilai situasi dan risiko sepanjang wabak berlaku. Sehingga kini peningkatan kes positif di Malaysia masih boleh dianggap terkawal berbanding negara-negara lain di dunia (rujuk graf) seperti Korea Selatan dan Itali. Pendekatan Malaysia berbeza dengan Korea Selatan yang menyaring hampir semua rakyatnya dan akhirnya mendapat peningkatan kes yang mendadak sebelum menjadi saturated. Singapura pula mengenakan sekatan perjalanan dan pergerakan rakyat dengan lebih awal menjadikan penyebarakan wabak lebih terkawal. Di Eropah, Itali dan Jerman menunjukkan peningkatan kes yang mendadak namun perbezaan pengurusan kedua-dua negara menyebabkan Itali mempunyai kes kematian yang lebih tinggi berbanding Jerman.

Ada beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan oleh setiap negara dalam menguruskan wabak antaranya ialah dinamik populasi dan kepadatan penduduk, kedudukan kewangan negara dan sistem kesihatan negara-negara berkenaan. Ada negara yang berpopulasi Tua menyebabkan kadar kematian yang tinggi dan ada yang ekonomi dan sistem kesihatan negara lemah maka kawalan dan saringan yang tidak menyeluruh.

Malaysia beruntung kerana kita belum menjadi Negara Tua, kedudukan kewangan yang agak stabil dan mempunyai sistem kesihatan antara yang terbaik di dunia. Sistem kesihatan kita adalah meluas dan mencakupi seluruh rakyat, mudah diakses dan murah. Maka setiap rakyat tidak perlu takut untuk menanggung kos perubatan apabila disaring dan dimasukkan ke hospital. Di bawah Akta 342 juga kos saringan dan rawatan penyakit berjangkit warga asing turut ditanggung kerajaan.

Kakitangan kesihatan di sektor awam pula ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan maka ia amat stabil dan mampu digerakkan dengan sepenuh potensi sepanjang pengurusan wabak. Malaysia juga terkenal dengan kepakaran perubatan dan kemudahan fasiliti yang setanding dengan negara-negara maju beserta kakitangan yang dedikasi.

Menurut Pakar Epidemiologi Universiti Malaya, Datuk Dr Awang Burgiba Awang Mahmud, Malaysia perlu melaksanakan perintah kawalan pergerakan sekurang-kurangnya 6 minggu untuk memastikan kadar penyebaran dapat dikurangkan, kadar pesakit positif COVID-19 terkawal dan system kesihatan mampu menampung beban rawatan di hospital-hospital kerajaan.

Akhir sekali, perjuangan melawan wabak Covid-19 memerlukan kerjasama dan sokongan penuh dari seluruh rakyat tanpa mengenal usia, kaum, Agama dan ideologi politik. Semua perbezaan hendaklah diketepikan untuk memfokuskan kepada segala usaha mengekang penyebaran dan merawat pesakit-pesakit di samping menjaga kebajikan rakyat. Setiap rakyat berperanan pada kapasiti masing-masing, mempersoalkan tindakan satu sama lain hanyalah mengeruhkan keadaan. Bersama-samalah kita berganding bahu lawan #COVID19.

Dr Mohd Ihsanuddin Abas
Ketua Unit Penyelidikan dan Penerbitan, Ikatan Pengamal Perubatan Malaysia (i-Medik)
Pensyarah Perubatan Pelatih UniSZA

*Graf perbandingan negara-negara mengikut jumlah kes ke-100

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat