Pertandingan TikTok : apa idea yang cuba dibawa Menteri KPT?

Tindakan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Dr. Noraini Ahmad menganjurkan pertandingan Tik Tok pada malam Nisfu Sya’ban telah mengundang kemarahan, kritikan dan kecaman pelbagai pihak.

Sehingga kini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada YB Dato’ Dr. Noraini Ahmad untuk memohon maaf terhadap tindakan tersebut walaupun hantaran (post) berkenaan pertandingan Tik Tok itu telah dipadam dari akaun Twitter dan Facebook milik beliau setelah mendapat pelbagai respon negatif daripada wargamaya.

Hanya sebuah poster bertemakan ‘Salam Nisfu Sya’ban’ dimuatnaik ke media sosial sebagai langkah ‘damage control’ terhadap kesilapan yang telah dilakukan.

Seperti wargamaya yang lain, penulis turut tertanya-tanya siapakah gerangan Norreen dan Iskandar Rahman ini sehingga diangkat sebagai ‘influencer’ atau pempengaruh oleh Menteri Pengajian TInggi?

Apa sumbangan mereka terhadap sistem pendidikan negara?

Adakah mereka berdua merupakan tokoh aktivisme mahasiswa dan belia?

Apakah pengaruh yang cuba disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi kepada mahasiswa melalui dua ‘influencer’ dalam video Tik Tok yang sungguh ‘cringe’ ini?

Paling mengejutkan, apabila diteliti video salah seorang ‘influencer’ yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Gaming Video Creator’ ini, terlalu banyak kata-kata cacian dan carutan yang dihemburkan olehnya secara terbuka di media sosial.

Tindakan ini langsung tidak mencerminkan malah bertentangan dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Negara untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Nasihat penulis, masih belum terlambat untuk YB Dato’ Dr. Noraini bertaubat serta menggantikan pempengaruh-pempengaruh yang tidak mencerminkan aspirasi Falsafah Pendidikan Negara ini dengan tokoh-tokoh aktivisme mahasiswa dan belia yang memiliki akhlak terpuji, cemerlang dalam aspek akademik dan kokurikulum serta memberi banyak sumbangan kepada masyarakat di luar sana.

Sekiranya tokoh-tokoh mahasiswa dan belia ini tidak dikenali kerana tidak mempunyai pengikut yang ramai di media sosial, maka peluang inilah yang perlu dan sepatutnya diambil oleh Menteri Pengajian Tinggi untuk mengangkat tokoh-tokoh ini sebagai suri teladan kepada golongan belia.

Memetik kata-kata yang dimahsyurkan oleh Saidina Ali R.A.:

“Sekiranya kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.”

Sudah pasti, sebagai manusia yang memiliki akal fikiran yang waras dan normal, kita tidak mahu masa depan negara hancur dengan budaya terkinja-kinja dan menggeletis ke sana ke sini di hadapan kamera video.

Akhir kalam, terimalah serangkap pantun daripada penulis:

Bunga selasih si bunga padi,
Kembanglah mekar di dalam taman,
Pemimpin dikasih berakhlak terpuji,
Budi yang baik menjadi teladan.

Mohon bertaubat.

Amirul Eqhwan Rahim
Ketua Unit Komunikasi & Penerangan
PEMBINA Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat