Program Rehal Wanita tarik minat anak muda belajar al-Quran

Oleh : Akmar Ramli

SHAH ALAM, 5 Mei – Usia tidak menjadi penghalang untuk seseorang menimba ilmu. Apatah lagi dalam hal yang menjadi asas kehidupan orang beriman iaitu membaca Al-Quran.

Itulah yang dilakukan oleh salah seorang peserta program Rehal Wanita, Nurul Asmah yang berasal dari Kedah.

Mengetahui bahawa membaca al-Quran dengan betul adalah merupakan suatu tuntutan, Nurul Asmah tekad memperbetulkan bacaan bersama dengan para wanita lain melalui program Rehal Wanita anjuran Wanita ISMA.

“Alhamdulillah banyak ilmu dapat dan rasa seronok pula nak baca. Sebelum ini malu nak baca sebab baca pun merangkak-rangkak,” ujar remaja berusia 21 tahun ini.

Berkonsepkan tilawah dan tadarus yang berlangsung di seluruh Malaysia di sepanjang Ramadan, program ini membuka peluang kepada para wanita untuk memperdengarkan bacaan masing-masing untuk disemak bersama. Apa yang menariknya kali ini, program ini dijalankan secara atas talian sempena arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlangsung.

Walaupun sewaktu PKP kebanyakan aktiviti seolah-olah kelihatan terhenti, ini tidak bermakna bahawa proses untuk belajar juga terhenti. Apatah lagi dalam bulan Ramadan ini, bulan yang sangat sinonim dengan al-Quran. Inilah waktunya teknologi dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya demi mencapai objektif menambah ilmu dan memperbaiki diri.

Nurul Asmah menambah bahawa program ini dapat diketahuinya melalui hebahan yang dibuat oleh Wanita Isma Shah Alam di laman Instagram.

Program Rehal Wanita mensasarkan ribuan wanita dari seluruh Malaysia untuk khatam Al-Quran pada bulan Ramadan ini. Kemuncak kepada program ini adalah Majlis Khatam Al-Quran Wanita yang akan julung kali bersiaran secara atas talian melalui saluran TV Pertiwi pada 15 Mei 2020 bersamaan dengan 22 Ramadan 1441 hijrah nanti.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat