RAMADAN SEPENUH HATI

Jam menunjukkan pukul tiga petang. Khadijah khusyuk menguruskan pesanan buku daripada pelanggan. Jari-jemarinya pantas memindahkan maklumat pelanggan ke dalam google form yang disediakan oleh syarikat pengeluaran. Mesej bertalu-talu masuk di aplikasi whatsapp sejak seminggu lalu menandakan strategi pemasaran yang dilakukannya berjaya.

Bibirnya mengukir senyuman. Khadijah bertahmid melahirkan kesyukuran kepada Rabb kerana buku berkaitan dengan tadabbur al-Quran yang dijualnya itu akan memberi manfaat pada ramai orang. Bagi Khadijah, menjual sesuatu yang baik dan bermanfaat adalah satu dakwah asalkan dengan niat mendapat redha Allah swt.

Tiba-tiba, satu notifikasi mesej di aplikasi instagram masuk. Khadijah pantas membuka aplikasi tersebut. Rupanya kiriman mesej dari senior Pembina yang dia rapat di Klang sewaktu zaman belajar dahulu.

“Khadijah, enti dah hias rumah sempena Ramadan?”

Khadijah tersentak dengan pertanyaan tersebut kerana dia belum membuat apa-apa persediaan menuju Ramadan. Matanya menjeling ke arah kalendar komputer riba dan baru dia sedar Ramadan akan tiba kurang dari seminggu lagi!

“Alamak, belum huhu. Akak dah ke?”

“Dah ukhti, buat simple je”

“Ok kak, jazakillah sebab ingatkan ana. InsyaAllah ana buat nanti hehe”. Khadijah membalas mesej yang turut disertakan dengan emotikon ‘hati’.

Dia pernah mendengar satu perkongsian mengenai galakan menghias sudut rumah sempena Ramadan. Antara tujuannya adalah supaya dapat menghidupkan suasana yang membangkitkan jiwa dan ruh semangat untuk beribadah dan mengumpul semaksimum mungkin pahala sepanjang melalui bulan yang mulia itu.

Misi pencarian idea untuk menghias sudut Ramadan dimulakan. Khadijah berazam mahu menjalani Ramadan yang juga dikenali sebagai madrasah ibadah dengan jiwa yang hidup dan semangat.

Malam itu, Khadijah teringat akan buku bertajuk ‘Ramadan Sepenuh Hati’ yang sudah dibelinya di Shopee minggu lalu. Buku itu dikarang oleh penulis dari negara seberang iaitu Muhammad Lili Nur Aulia. Sejak akhir-akhir ini, minat Khadijah terhadap buku-buku tarbawi daripada Indonesia semakin bercambah. Bagi Khadijah, lenggok bahasa yang digunakan sangat lembut dan menusuk jauh ke dalam hati. Buku setebal 134 muka surat itu dibacanya dengan penuh khusyuk.

“Allahu, banyak sungguh perkara yang perlu aku lakukan!” monolog Khadijah di dalam hatinya setelah selesai bacaannya. Dia perlu melakukan persiapan sebaik mungkin supaya Ramadan tahun ini dijalani dengan penuh keimanan dan ketaqwaan.

Seperti individu muslim lain, Khadijah tidak mahu ketinggalan untuk mahu tergolong dalam golongan yang disebutkan dalam hadis masyhur Riwayat Imam al-Bukhari yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kerana iman dan ikhlas mengharapkan pahala dari Allah, maka dosanya yang lalu akan diampunkan oleh Allah.”

Siapa yang tidak mahu dosa-dosanya yang terkumpul diampunkan Allah swt sekaligus? Bahagia bukan?

Khadijah kemudian mengambil buku nota bercorak bunga di rak buku. Berkerut dahinya kerana cuba mengingat kembali isi-isi penting dari buku tersebut. Beberapa ketika, dia mula menggerakkan pen di atas buku notanya.

Ramadan Sepenuh Hati:

  1. Meniatkan semua perkara yang dilakukan lillahi ta’ala supaya dikira sebagai ibadah.
  2. Menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang diharamkan.
    3. Berdoa dengan bersungguh-sungguh sehingga boleh mengalirkan air mata.
    4. Kerap beristighfar pada waktu siang dan malam.
    5. Membaca al-Quran dengan kehadiran hati iaitu dengan bertadabbur.
    6. Tingkatkan amalan-amalan sunat dan berlumba-lumba melakukan amal kebaikan.
    7. Tidak berlebih-lebihan dalam makanan supaya mudah untuk qiamullail dan tidak membazir.
    8. Konsisten melakukan solat malam dan mengejar lailatul qadar.
    9. Evaluasi amal harian supaya dapat memperbaiki diri menjadi lebih baik.
    10. Memperbanyakkan sedekah kepada orang yang memerlukan.

“Kholas!” Khadijah menjerit kecil. Dia berazam untuk menjalani Ramadan kali ini dengan sepenuh hati. “In sha Allah aku sudah bersedia! Ahlan ya Ramadan, bulan yang dirindui pencinta Syurga” bisiknya dalam hati.

Karya oleh,
Nur Suhaila binti Ahmad Sanusi
Setiausaha Pembina Bangi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat