Tahaluf yang membawa kepada hilangnya Islam dari negara adalah haram

1. Beberapa pandangan dilontarkan dari pelbagai pihak berkenaan tindak tanduk MCA  dan sesekali berkenaan MIC berkaitan isu-isu pendirian politik tanahair. Saya tidak berniat untuk memaparkannya di sini.

2. Apa yang ingin saya sampaikan hanya berkenaan isu tahaluf siasi (persepakatan politik) antara muslim dan non muslim. Moga ada manfaatnya untuk ahli politik (khususnya UMNO) jika mereka sudi mendengar. Saya akan cuba menulisnya seringkas mungkin.

3. Tahaluf siasi bermaksud persepakatan politik yang membawa erti timbal balik manfaat antara dua pihak, Ulamak bila membincangkan tajuk ini akan membincangkan dua isu sekali gus; اعانة (menolong) dan استعانة (meminta tolong). Dengan erti kata mudahnya satu pihak meminta tolong dari satu pihak untuk mencapai matlamat tertentu dan di masa yang sama dia akan menolong pihak tersebut untuk mencapai matlamat tertentu pihak tersebut pula.

4. Dalam tahaluf siasi, kedua pihak akan mendapat manfaat tertentu dalam apa juga bentuk. Kalau tahaluf dalam PH, maknanya DAP akan dapat manfaat tertentu dan Amanah dan PKR juga akan dapat manfaat tertentu. Kalau dalam BN, UMNO akan dapat manfaat tertentu dan MCA, MIC akan dapat manfat tertentu. Mustahil berlaku tahaluf siasi tanpa manfaat.

5. Tahaluf siasi hukumnya diperselisihkan oleh ulamak. Ada yang mengharuskan dan ada yang mengharamkan. Boleh rujuk perinciannya di dalam mana-mana kitab fiqh.

6. Tetapi, dalam perselisihan itu, ada persepakatan di antara ulamak terhadap batas yang dibenarkan di dalam tahaluf siasi. Batas inilah yang sebenarnya menjadi kerunsingan pihak yang mengkritik tindakan MCA dan MIC tersebut. Amatlah baik dan murni jika batas ini dijaga oleh UMNO jika UMNO tidak mahu mengulangi kesilapan ahli politik Muslim di dalam PH.

7. Batas paling penting adalah berkenaan apakah syarat tahaluf siasi itu? Syarat apakah yang dikenakan oleh non muslim terhadap muslim yang kemudiannya akan mengikat mereka? Apa juga syarat yang haram dari segi syarak, maka menandatanganinya adalah haram dan usaha memenuhinya juga haram.

Dari situ difahami sebagai contoh, tahaluf yang membawa kepada hilangnya Islam dari negara adalah haram.

Halal dan haram dalam isu kenegaraan adalah ilmu fardhu ain kepada ahli politik Islam. Ilmu fardhu ain bukan setakat istinjak dan solat sahaja. Tetapi apa juga isu yang diperlukan oleh seorang muslim di dalam bidangnya adalah ilmu fardhu ain kepadanya. Sebagaimana ahli perniagaan wajib mempelajari hukum riba, maka begitulah juga ahli politik wajib mempelajari isu kenegaraan.

Saya suka jika ahli politik di dalam UMNO mendalami dengan segala perinciannya segala isu kenegaraan menurut fiqh Islam. Samada pada peringkat individu, atau paling kurang pada peringkat organisasi. Tahu batas apa Allah mahu dan apa Allah tak mahu dalam isu kuasa. Sekadar nasihat dari aktivis ngo kecil.

8. Batas seterusnya adalah sejauhmana dominasi muslim di dalam tahaluf tersebut?
Ulamak menggunakan istilah yang pelbagai di dalam menggambarkan dominasi sebagai syarat kepada tahaluf siasi. Ada yang menulis: ‘hendaklah orang Islam berada di saf hadapan’, ‘hendaklah hukum Islam itu yang ghalib (menang)’, ‘hendaklah bagi orang Islam itu ada syaukah (kuasa)’ dan lain-lain ibarat yang diungkapkan oleh ulamak Islam.

Dalam PH, DAP lah yang dominan. Walau pun ahli politik Muslim di dalam PH menafikannya, tapi pemerhati dengan jelas boleh melihat masa depan PH ditentukan oleh DAP.

Bagaimana pula dominasi UMNO terhadap rakannya MCA dan MIC? Soalan lontaran yang saya serahkan kepada UMNO untuk jawab. Apa pun jawapannya, ketahuilah bahawa sebahagian rakyat sudah bimbang UMNO tidak mampu menentukan hala tuju MCA dan MIC. Fikirlah tentang kebimbangan itu walau sejenak.

9. Kita ada sejarah yang panjang dan berulang-ulang di banyak tempat …. setiap tahaluf antara muslim dan non muslim yang tidak disertai dengan matlamat yang betul dan jika tidak disertai dengan dominasi muslim, ianya berakhir dengan kehancuran negara. Lihatlah sejarah Andalus, Melaka, Singapura dan 2/3 dunia yang dulunya adalah negara Islam.

 

Ustaz Hj. Muhammad Fauzi Asmuni

Timbalan Presiden Isma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat