TKP : Apa yang seorang pelajar boleh buat untuk elak ‘kepishangan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Oleh : Mus’ab Bin Omar

Perintah Kawalan Pergerakan selama empat belas hari seperti diarahkan oleh pihak berwajib tentunya mengganggu jadual harian kita yang sudah terbiasa dengan amalan rutin harian.

Individu yang berkerja tidak boleh ke pejabat, yang bersekolah perlu bercuti lebih panjang dan pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi pula terpaksa bercuti.

Hakikatnya bagi seorang pelajar ‘kepishangan’ (baca kebosanan) kita selama empat belas hari ini boleh diubah menjadi sesuatu yang berbeza jika dilihat dari sudut pandang yang positif.

Masa lapang yang panjang ini perlu digunakan sebaiknya oleh para pelajar.

Nikmat masa lapang ini boleh untuk diisi dengan menguasai dan pelajari semula perkara-perkara yang tidak difahami di dalam kelas mahupun dewan kuliah, bukan sekadar menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru dan pensyarah sahaja.

Ya, sudah tentu mereka akan menyediakan tugasan sepanjang cuti ini kepada kita, namun kita mesti berusaha untuk menambah lagi dengan belajar dan menguasai apa sahaja topik yang masih belum betul-betul faham. Kita boleh mencari bahan itu di internet, bertanya kepada ahli keluarga dan rakan, belajar secara berkumpulan melalui whatsapp, ‘video call” dan sebagainya.

Di samping itu, kita boleh usahakan untuk membuat senarai aktiviti harian yang akan kita buat pada setiap hari selama tempoh kawalan pergerakan ini.

Contohnya kita boleh menjadualkan diri secara konsisten untuk mengulangkaji pelajaran, membaca Al-Quran, qiyamullail, beriadah di dalam rumah, membaca buku dan sebagainya.

Untuk membantu kita mematuhi jadual tersebut, kita disarankan juga membuat senarai untuk kita tandakan sebagai bukti kita berjaya menyelesaikan aktiviti tersebut pada hari itu.

Untuk menjayakan usaha yang baik ini, kita sangat digalakkan untuk mengajak kawan-kawan dan ahli keluarga yang lain kerana aktiviti sebegini akan lebih seronok jika dilakukan bersama-sama dan ada cabaran sesama sendiri.

Akhir sekali, elakkan terlalu bermewah-mewah dengan masa lapang ini. Jangan terlalu leka bermain permainan video atau menonton televisyen sehingga kita tertinggal solat sunat Dhuha, mengabaikan bacaan Al-Quran dan terlupa untuk membaca bahan-bahan bacaan ilmiah yang lain.

Ayuh, manfaatkan masa lapang ini sebaiknya kerana masa yang berlalu tidak akan boleh diputarkan semula. Semoga Allah redha dengan perbuatan kita semua dan mengembalikan dunia ini kepada keadaan asalnya yang bebas daripada wabak COVID-19 ini atas sebab amalan-amalan soleh kita insyaAllah.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat