Tragedi Spanish Flu di Tanah Melayu, jangan biarkan ia berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Wabak Covid 19 yang kini melanda dunia, turut melumpuhkan negara. Hingga hari ini, lebih seribu kes yang direkodkan dengan 15 kematian. Wabak Covid 19 ini kita harapkan agar tidak akan mengulang tragedi Spanish Flu yang pernah menggegarkan Tanah Melayu hingga menyebabkan berlaku lebih dari 35,000 kematian hanya dalam tempoh 2 tahun.

Wabak yang bermula di Eropah ini dikatakan dibawa masuk melalui Singapura oleh tentera yang pulang dari Perang Dunia dan imigran dari negara luar, dan kemudian merebak ke Tanah Melayu dengan amat pantas. Seluruh Tanah Melayu, termasuk Sabah dan Sarawak (Borneo pada ketika itu) menerima impak Spanish Flu hingga menyebabkan ramai rakyat terkorban.

Wabak ini juga menyebabkan banyak sektor perniagaan dan perkhidmatan awam terjejas teruk. Antaranya adalah perkhidmatan keretapi di Perak yang terhenti kerana hampir semua staf yang mengendalikan perkhidmatan jatuh sakit dan tidak dapat bekerja. Di Kedah, satu laporan akhbar menyatakan terlalu banyak kematian hingga ada mayat yang terpaksa dibiarkan di tepi jalan kerana terlalu banyak kematian yang tidak dapat dibawa ke hospital yang terlalu sesak dengan pesakit. Pernah dalam satu hari, berlaku 38 kematian di Perak hanya dalam masa satu hari.

Wabak ini tidak hanya meragut nyawa ramai rakyat awam dan mereka yang miskin di ladang dan kampung-kampung, tapi pada masa yang sama turut meragut nama-nama besar di Tanah Melayu, antaranya adalah Sultan Abdul Jalil yang merupakan Sultan Perak ketika itu.

Satu perkara yang menarik ketika pandemik Influenza ini menyerang Tanah Melayu adalah usaha komuniti baik dari tokoh perniagaan hingga kepada badan agama dalam memberi bantuan kepada mangsa yang terjejas.

Banyak tabung-tabung yang diusahakan oleh individu dan NGO untuk membantu pihak hospital dalam mengurus wabak. Ada yang membantu menyediakan bantuan selimut, ada yang menyumbangkan kenderaan untuk membawa pesakit ke hospital, bahkan ada yang menyediakan makanan buat mangsa dan mereka yang bertugas.

Ketika wabak ini menyerang Tanah Melayu, keadaan negara pada ketika itu masih mundur. Maklumat berkenaan wabak tidak dapat disampaikan dengan pantas walaupun media massa seperti Utusan Melayu, MalayMail dan Straits Times memainkan peranan dengan amat proaktif dalam memberi kesedaran berkenaan peri pentingnya menjaga kebersihan dan mengelakkan perhimpunan ramai.

Ramai juga pada ketika itu lebih suka berubat kampung dan menggunakan kaedah tradisional, dan hanya datang ke hospital bila keadaan telah terlalu teruk.

Hari ini, ketika Covid 19 datang menyerang, kita ada peluang yang lebih baik. Segala panduan keselamatan berada di hujung jari, manakala perkhidmatan kesihatan kita yang walaupun mengalami tekanan yang dasyat, tetap masih berfungsi dengan begitu cemerlang.

Selain itu, pergerakan kawalan terhad yang diperkenalkan juga membolehkan wabak ini dikekang, dan apabila kuantiti ujian saringan dapat dipertingkatkan, negara akan dapat mengurus wabak ini dengan lebih baik.

Kita juga ada akses kepada pengalaman negara lain yang lebih berjaya dalam mengekang wabak seperti Korea Selatan, China dan Taiwan selain bantuan analisa ‘big data’ yang membantu pengesanan kontek (contact tracing).

Bantuan dari kerajaan dalam pelbagai bentuk seperti pengeluaran KWSP dan Moratorium sedikit melegakan walau tidak dinafikan cabaran masa depan pasca Covid 19 adalah amat mencabar.

Di sana sini juga ada NGO yang bergerak untuk membantu dalam pelbagai sudut. Moga Allah SWT memberikan kekuatan kepada semua petugas barisan hadapan dan mengeluarkan negara dari kemelut ini dengan segera.

Kita dapat membantu mereka yang berada di barisan hadapan dengan tinggal di rumah dengan sabar. Bahkan Allah SWT menjanjikan pahala mati syahid buat mereka yang sabar di rumah ketika negara dilanda wabak penyakit.

Rujukan:

Kai Khiun Liew. (2007). Terribly Severe Though Mercifully Short: The Episode of the 1918 Influenza in British Malaya. Modern Asian Studies, 41(2), 221-252.

Dr Hisham Sharif
Pensyarah UUM
Aktivis Isma
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat