Ummul Mundzir Binti Qais R.A, wanita yang ikut serta dalam dua baiah

“Wanita yang solat dengan mengadap 2 kiblat dan ikut serta dalam 2 baiah”

Iman bukanlah persoalan kecil dalam kehidupan seorang muslim. Malahan memerlukan pengorbanan jiwa dan raga. Ketika awal kebangkitan Islam , bilangan orang-orang yang memiliki Iman adalah sangat sedikit. Begitu juga yang tercatat dalam lembaran sejarah bahawa seorang wanita yang merupakan ibu saudara kepada Nabi junjungan kita iaitu Nabi Muhammad saw dari sebelah bapa nabi sendiri telah melakar sejarah.

Beliau adalah Ummul Mundzir binti Qais. Ummul Mundzir ini adalah wanita yang dianugerahkan oleh Allah swt untuk  berbaiah sebanyak dua kali dan pernah solat dengan menghadap dua kiblat.

 Keistimewaan Ummul Mundzir 

Antara keistimewaan yang telah Allah swt anugerahkan kepadanya adalah melalui ahli keluarganya sendiri. Adik beradiknya iaitu Ummu Sulaim binti Qais  dan Umairah binti Qais adalah termasuk di antara orang-orang Madinah yang pertama memeluk Islam dan 2 kali berbaiah kepada Rasulullah saw.

Begitu juga dengan adik beradik lelakinya ,Sulaith bin Qais yang merupakan seorang yang dermawan dan juga merupakan pahlawan yang berani,malahan mendapat pendidikan awal dengan Rasulullah saw dan menyertai beberapa peperangan iaitu Badar, Uhud , Khandaq dan peperangan lain.

Juga turut serta dalam perang Al-Jisr di bawah pimpinan Abu Ubaidah dan telah gugur syahid dalam perang yang berlaku pada tahun 14Hijrah itu.

Antara peristiwa penting yang pernah berlaku adalah bagaimana beliau mendapat penghormatan dari  Rasulullah saw kerana baginda kerap menziarahinya serta memakan makanan yang dihidangkan. Bahkan makanan tersebut penuh berkah.

Peristiwa Keislamannya 

Ummul Mundzir terbuka hatinya untuk memeluk Islam setelah mendengar sendiri nasihat  yang disampaikan dengan penuh hikmah  oleh Duta Pertama yang diutuskan oleh Rasulullah saw ke bumi Madinah. Duta tersebut adalah Musab bin Umair r.a  yang ketika itu memberikan peringatan yang meresap masuk ke jiwa-jiwa mereka yang telah dipilih oleh Allah swt untuk menerimanya sehingga Allah swt menyebut peristiwa yang berlaku ini dalam surah at-taubah ayat 100 : 

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ

عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

“ Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama (masuk islam) di antara orang-orang muhajirin dan ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya.Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.Itulah kemenangan yang besar( Surah At-Taubah :100)

 Baiah kepada nabi dalam Baiah Aqabah

Ummul Mundzir dan wanita lain bersegera bertemu dengan Rasulullah saw untuk berbaiah dan menerima syarat baiah tersebut. Beliau menceritakan antara syaratnya ialah tidak boleh mempersekutukan Allah , tidak boleh mencuri,tidak boleh berzina,tidak boleh membunuh anak-anak sendiri,tidak boleh membuat tuduhan palsu dan tidak boleh mendurhakai Rasulullah saw dalam kebaikan dan tidak boleh menipu suami sendiri.

Semua syarat tersebut diterima oleh mereka dan selepas berbaiah mereka semua pulang. Dalam perjalanan pulang Ummul Mundzir meminta kepada salah seorang wanita yang turut serta dalam baiah tersebut agar kembali semula bertemu Rasulullah saw untuk bertanyakan apakah maksud menipu suami sendiri.

Lalu wanita tersebut bertemu dengan Rasulullah saw dan baginda menjawab : “maksudnya kamu mengambil hartanya lalu kamu berikan kepada orang lain dengan pilih kasih” . Di sini terserlah bahawa beliau sangat mengambil berat mengenai isi kandungan perjanjian tersebut dengan segera mengemukakan persoalan yang berlegar di fikirannya untuk mengetahui jawapan yang tepat.

 Baiah kali ke dua dalam Baiah Ridwan

Ummul Mundzir juga berbaiah di bawah pokok sepertimana yang lain. Baiah ini berlaku selepas Rasulullah saw dan ahli rombongannya yang datang dari Madinah menuju ke Mekah terhalang  untuk melakukan umrah disana. Semua yang berbaiah disana mendapat redha Allah swt dan diharamkan tubuh mereka daripada api neraka.

 Contoh Terpuji

Beliau sangat bersemangat untuk mempelajari pelbagai ilmu samada dari segi akhlak, perilaku, ibadah dan muamalat. Sangat rajin membaca Al-Quran dan menghafal sunnah nabi saw. Termasuk wanita yang istimewa kerana pernah bersolat bersama nabi dengan menghadap dua kiblat. Contoh terpuji inilah seharusnya dijadikan ikutan oleh wanita pada masa kini dengan mempelajari pelbagai ilmu yang bermanfaat

 Peranan mulia Ummul Mundzir dalam peperangan Bani Quraizah

Ummul Mundzir sendiri melihat bagaimana  kaum muslimin sedang melaksanakan hukuman terhadap Bani Quraizah yang telah diputuskan oleh Saad bin Muadz. Seorang daripada kaum kerabatnya yang baik terhadap Ummul Mundzir dan Sulaith bin Qais serta keluarga mereka iaitu Rifaah bin Samaual Al-Qurazhi telah ditahan dipenjara.

Rifaah telah menulis surat kepadanya agar membebaskannya ketika itu. Akhirnya dia bebas dengan jaminan dari Ummul Mundzir kepada Rasulullah saw setelah baginda sendiri  melihat bagaimana Rifaah sangat menghormati dan patuh kepada Ummul Mundzir.

Ummul Mundzir menyatakan kepada baginda bahawa Rifaah ini akan solat dan akan makan daging unta yang bermaksud akan memeluk islam. Lalu baginda menjawab sekiranya dia benar-benar solat itu adalah baik bagi dirinya.Tetapi jika sebaliknya maka ia buruk buat dirinya.

Pengakhiran orang-orang yang bertaqwa

Ummul Mundzir wanita yang sanggup bersusah payah  mengharungi pelbagai ujian dalam mengejar redha Allah dan Rasulnya. Beliau juga banyak meriwayatkan dan menghafaz hadith rasulullah saw. Antara yang meriwayatkan darinya adalah Ummu Sulaith bin Ayyub bin Al-Hakam, Ayyub bin Abdurrahman dan Ya’kub bin Abu Ya’kub Al-Madani.

“ Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu di dalam taman-taman syurga dan sungai. Di tempat yang disenangi di sisi Tuhan yang berkuasa (Surah Al-Qamar : ayat 54-55)

Kisah bagaimana generasi terdahulu sanggup bersusah payah dalam mencapai matlamat yang diimpikan dalam menegakkan Islam di dalam diri , keluarga dan juga masyarakat ini boleh dijadikan contoh tauladan kepada semua. Begitu juga dengan keadaan persekitaran serta pengaruh baik antara ahli keluarga , jiran tetangga serta sahabat handai juga mampu menguatkan lagi jatidiri agar mencintai Islam serta beramal dengannya.

 

Ustazah Noraidah Abd Muner

Ketua Wanita Cawangan Nilai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat