Wanita Isma Ipoh agih sumbangan kepada klinik kesihatan

Oleh Latifah Hashim

IPOH, 4 April – Wanita Isma cawangan Ipoh telah memulakan agihan lima gulung kain kapas kepada para petugas kesihatan di klinik-klinik sekitar daerah Kinta bagi tujuan menghasilkan baju skrub untuk rawatan pesakit Covid-19 semalam.

Klinik kesihatan yang terlibat ialah Klinik Kesihatan Greentown, Klinik Kesihatan UTC, Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan dan Klinik Kesihatan Kampung Simee.

Pembelian kain kapas ini adalah merupakan hasil sumbangan orang ramai melalui projek Sumbangan Musibah Covid-19 fasa pertama yang telah dilancarkan oleh Wanita
Isma pada 27 Mac yang lalu.

Pengagihan sumbangan tersebut telah disampaikan oleh wakil daripada jawatan kuasa Wanita Isma cawangan Ipoh, Cik Shafa Marzidah binti Abdullah Ayeop dan Dr. Faizatul Syazana binti Mohd Osmani kepada para petugas di klinik-klinik kesihatan yang terlibat.

“Saya mewakili Klinik Kesihatan Greentown mengucapkan terima kasih kepada pihak Wanita Isma Ipoh dan juga para penyumbang projek Sumbangan Musibah Covid-19 ini. Terima kasih atas sokongan anda kepada kami”, ujar Puan Noorkhairulniza binti Ahmad Fikry yang merupakan jururawat di Klinik Kesihatan Greentown.

Sementara itu, Timbalan Ketua Wanita Isma Ipoh, Datin Hajah Rosnah binti Khamis berkata projek sumbangan ini dilancarkan demi meringankan beban para petugas kesihatan yang bertungkus lumus menghadapi wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia pada waktu ini.

“Wanita Isma Ipoh melihat masyarakat amat prihatin dalam membantu petugas kesihatan yang kekurangan peralatan perlindungan diri di saat musibah wabak Covid-19 ini melanda negara”.

“Justeru, kami mengambil langkah proaktif untuk melancarkan projek Sumbangan Musibah Covid-19 ini agar semua dapat menyampaikan sumbangan mereka”, tambahnya lagi.

Fasa kedua projek ini pula akan tertumpu kepada sumbangan bagi para petugas kesihatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh yang juga memerlukan tambahan keperluan peralatan perlindungan diri.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat