Wanita Isma Ipoh serah 790 unit PPE kepada HRPB

Oleh : Latifah Hashim

IPOH, 23 April – Wanita Isma cawangan Ipoh telah menyerahkan 790 unit Peralatan Perlindungan Diri atau Personal Protective Equipment (PPE) kepada wakil Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 21 April yang lalu.

Penyerahan PPE tersebut adalah merupakan hasil sumbangan orang ramai menerusi projek Sumbangan Musibah Covid-19 yang telah dimulakan sejak 18 Mac lagi.

Penyerahan 790 unit PPE itu telah diwakili oleh tiga orang ahli jawatan kuasa Wanita Isma Ipoh iaitu Cik Shafa Marzidah binti Abdullah Ayeop, Cik Siti Shakiroh binti Ahmad Tajudin dan Dr Faizatul Syazana binti Mohd Osmani yang juga merupakan pegawai perubatan di HRPB.

Sementara itu, wakil daripada pihak HRPB, Puan Syahirah turut menzahirkan ucapan terima kasihnya kepada para penyumbang dan sukarelawan yang telah bertungkus-lumus menjayakan projek ini.

“Saya mewakili Unit Farmasi Logistik HRPB ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penderma dan sukarelawan yang telah menjahit PPE ini,” ucapnya apabila ditemu bual oleh wakil media Wanita Isma Ipoh.

Seramai 26 orang sukarelawan telah terlibat secara langsung menjahit 395 unit ‘isolation gown’ dan 395 unit ‘head cover’ dalam tempoh dua minggu. Sukarelawan ini terdiri daripada pengusaha-pengusaha kedai jahitan, penjawat awam dan swasta serta para suri rumah.

Salah seorang sukarelawan, Puan Idayu binti Hasim yang merupakan guru kaunseling di Sekolah Menengah Kebangsaan Tarcisian Convent berasa amat bersemangat menyumbang tenaga dalam membantu para barisan hadapan negara.

“Alhamdulillah, saya berasa amat bertuah kerana dapat turut serta menjahit PPE ini. Selain memberikan sumbangan dalam bentuk duit, saya berasa amat bersemangat untuk membantu para barisan hadapan”, ujarnya.

“Berkat perkenalan dengan ustazah kepada anak saya, saya mengenali Wanita Isma Ipoh dan mendapat berita sukarelawan diperlukan untuk menjahit PPE, saya terus memasukkan nama tanpa berfikir panjang,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Wanita Isma Ipoh, Ustazah Dr Hajah Nornajwa binti Ghazali merasa amat terharu dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung kerana memberi kepercayaan kepada Wanita Isma Ipoh dalam mengendalikan projek ini.

“Sesungguhnya inilah jihad yang kita mampu lakukan bagi membantu barisan petugas hadapan KKM.

“Semoga Allah mengurniakan ganjaran pahala kepada para penyumbang yang menjayakan projek ini,” ujar Dr Nornajwa.

Keseluruhan kos bahan asas bagi penghasilan PPE tersebut telah menelan belanja sebanyak RM4,000. Kualiti kain kapas jenis non-woven yang digunakan juga adalah memenuhi paiwaian pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pihak Wanita Isma Ipoh akan meneruskan serahan baki PPE yang diterima daripada sumbangan orang ramai pada fasa kedua projek ini nanti.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat