Elak anjur pertandingan melalaikan untuk remaja ketika wabak

Ketika negara tercinta Malaysia dan seluruh dunia sedang bergelut dilanda wabak Covid-19 ini masih lagi wujud pihak samada dari badan kerajaan, institusi atau syarikat yang menganjurkan pertandingan berbentuk hiburan atau permainan yang melalaikan. Contohnya seperti PUBG, Mobile Legends mahupun Tik Tok.

Tidak dinafikan mungkin kita masih boleh berlapang dada sekiranya perkara seperti hiburan dan permainan maya ini dilakukan oleh remaja untuk mengisi sedikit masa lapang mereka bagi mengurangkan tekanan atau kebosanan. Tetapi untuk perkara sebegini sekiranya dilakukan dalam bentuk pertandingan bukanlah suatu tindakan yang bijak ketika negara kita sedang dilanda wabak.

Saya terfikir apa sebenarnya agenda yang mahu kita terapkan pada generasi akan datang. Sudahlah mereka tiada peluang untuk ke sekolah dalam masa terdekat ini, ada pula pihak yang mengaburi mata anak muda dengan memberi ganjaran dan galakan untuk hiburan melalaikan.

Sepatutnya pihak-pihak sebegini menyambut usaha atau kempen yang membina jati diri anak muda. Sebagai contoh, usaha dari pihak KRIM sendiri yang menganjurkan Kempen Remaja Rindu Ramadhan. Di mana remaja kita diajak bertanding dan mencabar satu sama lain dalam memperbanyakkan bacaan tilawah Al-Quran melalui individu atau berkumpulan secara maya. Malah kempen sebegini juga telah mendapat sambutan yang bagus dari kalangan remaja sendiri.


Tambahan pula kita sangat menghampiri Ramadhan, tidakkah ujian Covid-19 ini sepatutnya membuka mata kita untuk bermuhasabah dengan kelalaian dan dosa kita. Maka, ayuh saya mengajak semua pihak berganding bahu untuk memelihara minda remaja kita, bekalkan mereka dengan keimanan dan ilmu menjelang hari mendatang. Moga Allah meredhai kehidupan kita di atas muka bumi ini.

Suhayl Salmi
Timbalan Pengerusi Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat