Keberkatan Rezeki Bapa Qawwam.

Bapa Qawwam selalu dikaitkan sebagai role model, mampu mendidik anak-anak dan keluarga menuju Syurga. Saya cuba lihat dari sudut lain. Bapa qawwam juga ialah bapa yang sentiasa memastikan rezeki dan nafkah yang disalurkan kepada anak-anak adalah dari sumber dan usaha yang halal dan diberkati.

Ini kerana sumber rezeki inilah yang digunakan untuk menyara kehidupan dan menyediakan makan minum anak-anak sehingga menjadi darah daging mereka.

Keberkatan rezeki bapa qawwam termasuklah;

1. Memastikan pekerjaan yang halal dan patuh Syariah.
2. Memastikan gaji yang diterima dan semua akaun simpanan ditempatkan di perbankan Islam dan bukannya bank konvensional.
3. Memastikan akaun KWSP adalah akaun simpanan Syariah dan bukan di simpanan konvensional.
4. Sekiranya mengambil perlindungan, pastikan takaful dan bukannya insuran. Ini termasuklah perlindungan kesihatan, hayat, kenderaan, rumah, pembiayaan, musafir atau perjalanan.
5. Sekiranya ingin mendapatkan kemudahan kredit, pastikan ianya pembiyaan dari perbankan Islam bukannya pinjaman dari bank atau syarikat kredit konvensional.
6. Membayar Zakat termasuklah bayaran zakat fitrah, pendapatan, simpanan, ASB dan KWSP sekiranya membuat pengeluaran.
7. Jika membuat pelaburan, pastikan pelaburan patuh syariah samada saham, unit amanah, emas, hartanah dan lain-lain. Pastikan urusan jual beli atau sewa tiada unsur riba (biasanya ada caj lewat bayar dengan kadar faedah tertentu)
8. Infaq dan ajar anak bersedekah. Jika ke surau atau masjid, berikan seringgit dua kepada anak untuk di masukkan ke tabung.

Banyak tanggungjawab bapa qawwam dalam menguruskan kewangan rumahtangga. Ya, kita bukan hanya beli beras untuk keluarga tapi kita pastikan kewangan keluarga diberkati (bukan mencukupi kerana duit tak pernah cukup).

Ustaz Ibrahim Mohd Hasan
YDP ISMA Sepang

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top

Daftar sebagai ahli isma hari ini dan bersama membangun umat